![]() |
| SEBAHAGIAN daripada 30 penonton Astro Citra bertuah yang sempat merakamkan foto bersama pelakon filem Papadom. |
BIARPUN baru empat bulan beroperasi, namun Astro Citra (saluran 131, Astro) semakin hari semakin meraih perhatian ramai.
Manakan tidak, Astro Citra yang dianggap sebagai hab filem-filem tempatan itu berjaya mencuri perhatian ramai menerusi tayangan filem-filem di saluran itu.
Biarpun pelanggan Astro harus membayar RM12.95 untuk melanggan Astro Citra yang dimuatkan dalam pakej Mustika itu, ternyata ia bukanlah satu halangan bagi Astro Citra terus memperkukuhkan kedudukannya.
Namun, untuk menyakinkan penonton dan pelanggan setia Astro bukanlah mudah dan untuk itu, Astro Citra harus sentiasa memberikan santapan yang terbaik buat penonton setianya.
Malah, Astro Citra sentiasa membuka pintunya untuk sebarang kritikan dan teguran bagi memastikan saluran itu terus diminati dan memperkasakan kedudukannya sebagai saluran terbaik dalam menayangkan filem-filem tempatan.
"Kami akan terus menyiarkan dan menyajikan filem-filem tempatan khusus buat pelanggan dan penonton kami yang mungkin mencari saluran terbaik untuk menonton filem-filem tempatan.
"Daripada kritikan serta maklum balas yang diterima oleh pihak kami, ia adalah salah satu cara untuk mengetahui apa yang penonton mahukan.
"Tetapi, mereka harus sedar bahawa untuk menayangkan filem-filem tempatan di Astro Citra bukannya mudah kerana ia perlu melalui beberapa proses sebelum ia dapat ditayangkan," demikian penjelasan Pengurus Saluran Astro Citra, Sharlyza Alis Sharkawi.
Beliau ditemui pada majlis tayangan istimewa filem Papadom bagi meraikan pemenang dan penonton setia Astro Citra di Cathay Cineleisure, The Curve, Damansara, Selangor, baru-baru ini.
Turut hadir ialah empat pelakon filem berkenaan iaitu Liyana Jasmay, Scha Al-Yahya, Farid Kamil dan Chelsia Ng.
Menyambung bicara, Sharlyza Alis menjelaskan, untuk mendapatkan hak penyiaran filem menerusi saluran Astro Citra sememangnya satu perkara yang cukup merumitkan.
Bukan itu sahaja, kadang-kala kualiti filem yang diterima bukan semuanya di dalam keadaan yang baik dan jika ada yang rosak, ia memerlukan masa yang panjang untuk diperbaiki.
"Sebagai contoh, ada satu masa kami menerima 51 filem dan hanya 15 daripadanya sahaja yang kualitinya masih lagi elok dan boleh ditonton.
"Selebihnya, sungguh menyedihkan dan kami sebagai penyiar ada kalanya berasa terkilan juga kerana ia tidak dapat ditayangkan.
"Kerana itulah penonton dan pelanggan perlu faham mengapa filem-filem di saluran itu ada kalanya diulang berkali-kali.
"Semuanya kerana kebanyakan filem yang kami terima keadaannya tidak begitu baik. Bagaimanapun kami akan tetap berusaha untuk memberikan yang terbaik kepada penonton kami," ujarnya penuh optimis.
Saat ditanya tentang rating atau jumlah penonton yang melanggan serta menonton Astro Citra, Sharlyza Alis menjelaskan pihaknya masih lagi belum boleh menghebahkannya memandangkan saluran itu masih lagi baru.
Di sebalik tayangan filem-filem tempatan, apa yang membuatkan Sharlyza Alis berbangga dan berkeyakinan tinggi adalah slot Suatu Ketika yang mendapat respons yang cukup positif.
Untuk pengetahuan, slot tersebut merupakan drama bersiri sebanyak lapan episod yang ditayangkan selama setiap bulan dengan tajuk yang berbeza.
"Kami terharu sebenarnya bila mendapat tahu slot tersebut ada pengikutnya yang tersendiri memandangkan ia bukanlah drama bersiri yang biasa ditonton.
"Slot Suatu Ketika merupakan slot yang mengangkat kisah sebenar mahupun diinspirasikan daripada kisah sejarah, mitos dan legenda.
"Ini juga salah satu usaha kami untuk terus memartabatkan industri penerbitan televisyen negara sekali gus menunjukkan kepada orang ramai bahawa karyawan seni kita memiliki kreativiti yang bagus," katanya yang mahu terus karya terbaik ditayangkan menerusi slot tersebut.
Mengulas tentang penglibatan Astro Citra dalam meraikan penonton setianya, Sharlyza Alis memberitahu ia merupakan percubaan pertama yang dilakukan oleh pihaknya.
Katanya, ia juga adalah sebagai satu usaha dan langkah Astro Citra dalam menyokong industri perfileman tanah air.
Tayangan istimewa Filem Terbaik Festival Filem Malaysia Ke-22 itu dianjurkan dengan kerjasama Tayangan Unggul Sdn. Bhd., selaku penerbit filem berkenaan.
Kata Sharlyza Alis, apa yang perlu mereka lakukan adalah untuk menulis slogan mengapa mereka mahu menonton filem Papadom.
"Penyertaan yang kami terima cukup menggalakkan menerusi laman web dan juga iklan di saluran Astro Citra.
"Namun, hanya 30 penyertaan terbaik sahaja yang dipilih dan mereka berpeluang untuk menonton filem bersama pelakon-pelakonnya.
"Insya-Allah, usaha ini akan diteruskan di masa-masa hadapan dan kami akan bekerjasama dengan semua penerbit filem di negara ini," ujarnya yang mensasarkan acara seperti akan dianjurkan setiap dua atau tiga bulan sekali.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: