Sunday, October 4, 2009

Umie Aida impi perkahwinan Melayu klasik




LIMA bulan mungkin masih terlalu hijau warna sebuah perhubungan namun kalau sudah namanya jodoh, mudah sahaja segala urusan.

Seperti juga jodoh Umie Aida dengan pilihan hatinya, Datuk Paduka Khairuddin Abu Hassan. Tanpa perlu bercinta lama, Umie nekad memberi hatinya kepada Khairuddin yang juga merupakan seorang usahawan berjaya.

Ya, Tuhan sudah membukakan pintu hati dua insan ini untuk menyatukan dua jiwa yang sedang kekosongan.

Umie telah lama bersendirian. Dan Khairuddin pula sudah 15 tahun menduda.

Mengambil keberkatan bulan mulia bulan Syawal, Umie dan Khairuddin memilih 29 September untuk menyimpulkan tali pertunangan.

Kini sah menjadi tunangan orang, aktres yang pernah dijulang Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia itu juga tidak mahu mengambil masa yang terlalu lama untuk mengikat cinta.

Cukup tiga bulan, awal Januari depan, kedua sepakat mahu diijabkabulkan. Biar masih belum mempunyai tarikh, ada ura-ura mengatakan bahawa pasangan itu mahu dinikahkan pada tarikh lahir aktres tersebut.

Sekalipun tarikh pernikahan mereka masih menjadi tandatanya, apa yang pasti pasangan itu mahu mengadakan majlis pernikahan secara tertutup.

Permintaan mereka - biar acara penuh bermakna itu hanya dihadiri kaum keluarga dan saudara mara terdekat kedua-dua belah pihak sahaja.

"Memang saya mahukan sebuah majlis pernikahan yang sangat intim hanya untuk kedua-dua belah keluarga terapat sahaja," tegasnya yang cantik berbusana biru firus rekaan Bill Keith pada majlis pertunangan yang berlangsung Selasa lalu.

Pun begitu, jelas Umie, dia tidak akan merahsiakan majlis pernikahannya malah akan terus mengedarkan gambar sekitar acara itu sebaik selesai diijabkabulkan.

Malah tegas Umie, dia dan bakal suaminya juga merancang untuk mengadakan sebuah majlis untuk meraikan perkahwinannya.

Bakal dilangsungkan selepas dua minggu dia bernikah, ia akan diadakan di ibu kota.

Masih belum membuat perancangan ke arah itu namun Umie memberitahu dia mahu mengadakan majlis perkahwinan penuh istiadat Melayu klasik.

"Itu memang impian saya," katanya yang mengakui lega dengan kelancaran majlis pertunangannya tempoh hari.

l Gilang gemilang

Berkonsepkan moden dengan tema biru-putih, acara pertunangan tersebut berlangsung penuh gilang gemilang di dupleks mewah hadiah perkahwinannya yang terletak di I-Zen, Mont Kiara, Kuala Lumpur.

Duduk di pelaminan dekorasi hiasan Kem Salleh daripada Kapas, Umie disarungkan set pertunangan berupa cincin, subang dan rantai berloket bentuk hati oleh bakal ibu mertuanya, Balkish Ahmad, 70, sambil disaksikan kira-kira 200 tetamu termasuk dua anak Khairuddin iaitu Mohd Shafiq, 19 dan Mohd Shahir, 16.

Rakan artis yang hadir pula antaranya Sofia Jane, Deja Moss, Nur Aliah Lee, Linda Onn, Rebecca Nur Al-Islam dan Noryn Aziz.

Teman baiknya Erra Fazira dan Zahida Rafik menjadi pengapit Umie yang dipimpin oleh ibunya Asmah Mohd. Ali, 61 menuruni tangga untuk upacara menyarung cincin sambil diiringi alunan muzik daripada trio Jali Jali.

Erma Fatima membawa dulang hantaran manakala adiknya Betty serta rakan baiknya, aktres Nora Danish dan Lisa Surihani sebagai pengiring bersama anak-anak Umie, Mohd. Daniel Firdaus, 16, dan Mohd. Dzulhelmy, 15 serta tiga anak teruna Erma.

Memilih merah jambu samar sebagai tema sebelah perempuan, pihak lelaki dari Bukit Mertajam, Pulai Pinang pula hadir segak dan cantik dengan rona kelabu.

Tiga dulang hantaran diserahkan kepada pihak perempuan iaitu tepak sirih, satu set perhiasan sebagai tanda serta coklat.

Sementara pihak perempuan pula membalas lima dulang hantaran meliputi tepak sirih, strawberi, kurma, biskut serta kek.

"Alhamdulillah... Segala persiapan dan perancangan yang dilakukan sepanjang Ramadan lalu berjalan lancar.

"Ini adalah satu berita gembira yang ingin saya kongsi bersama semua - keluarga, sanak saudara, rakan-rakan dan para peminat," tambahnya.

l Abang, bukan Datuk atau jutawan

Bakal menjadi orang bergelar, Umie, 36 tidak menganggap status itu satu kepentingan, jauh sekali yang didambakan.

Menjadi orang biasa adalah keinginannya namun menjadi adat, kalau sudah bergelar haruslah menghormatinya.

"Tapi saya tetap saya dan tidak mahu dipanggil dengan sebarang gelaran," kata Umie yang turut meminta agar tidak memberikan panggilan atau gelaran seperti datuk jutawan, abang K dan sebagainya seperti yang banyak ditulis selama ini.

Malah pelakon berbakat itu juga menegaskan memilih Khairuddin bukan kerana pangkat dan wang ringgit tetapi hati budi dan pekerti mulia yang dipandang.

"Ya, dia jodoh terbaik saya," kata Umie yang pernah beberapa kali kecundang dalam percintaan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: