Wednesday, October 28, 2009
Farid tarik nafas lega
Penantian Farid Kamil selama empat tahun untuk menyaksikan filem kedua lakonannya, Lembing Awang Pulang Ke Dayang (LAPKD), ke panggung kini berakhir. Entah di mana silapnya, filem arahan Majed Salleh yang diilhamkan menerusi novel Sasterawan Negara, Shahnon Ahmad, itu mengambil masa yang lama untuk disiapkan.
Namun yang pasti filem lagenda dari Johor ini mengalami pelbagai kesukaran. Dalam tempoh lima tahun, LAPKD pernah dua kali bertukar pengarah dan empat kali bertukar heroinnya. Selain Fasha Sanda, watak Dayang pernah menjadi milik pelakon jelita, Natasha Hudson dan juga Maya Karin dan akhirnya menjadi milik Siti Elizad.
Meskipun LAPKD mengambil masa yang lama untuk disiapkan, namun bagi Farid Kamil ada hikmah di sebalik penantian itu. Selain dapat menambah ilmu lakonannya, secara tidak langsung juga dia dapat mendalami tentang sejarah yang berkaitan dengan lagenda Awang.
“Sebelum saya berlakon filem ini, saya tak tahu pun tentang lagenda ini (Lembing Awang Pulang Ke Dayang), tapi bila saya sedia untuk memikul peranan sebagai Awang, maka banyak pula yang saya ketahui. Lebih bertuah, bila saya dapat jumpa waris Awang itu sendiri yang kini berada di Johor. Warisnya itu ada memberitahu yang Lembing Awang itu memang wujud dan dia pernah ternampak moyangnya memegang lembing itu,” cerita Farid yang ditemui selepas pratonton filem tersebut di Cineleisure, Damansara Utama.
Menurut Farid, LAPKD adalah filem keduanya lakonannya setelah filem Tujuh Perhentian yang pernah menaikkan namanya dulu. Walaupun sudah membawa banyak watak hero, namun dia tetap teruja untuk menantikan filem LAPKD yang dianggap berbeza dari wataknya sebelum ini.
”Terus-terang, saya kurang berpuas hati dengan lakonan saya dalam filem ini dan dapat rasakan ada kelemahannya kerana pada ketika itu, saya masih muda dan terlalu baru dalam bidang lakonan. Malah ada beberapa babak dalam filem ini yang saya lakonkan ketika usia 22 tahun dan 25 tahun.
“Hal ini berlaku sebab filem ini pernah tertangguh seketika dan kami kena buat penggambaran semula. Memanglah agak rumit, sebab saya kena dapatkan feel untuk melakonkan watak Awang semula, tapi apa pun saya gembira kerana filem ini akhirnya ke panggung juga,” katanya yang turut belajar silat selama sebulan sebagai persiapan untuk memenuhi karakter sebagai Awang.
Memandangkan LAPKD diadaptasikan dari cerita lagenda negara dan sukar difilemkan, maka Farid menyeru orang ramai menonton filem ini agar warisan lagenda terus dihargai. Filem yang menelan kos sebanyak RM1.8 juta ini baru sahaja ditayangkan di pawagam bermula 22 Oktober.
Kisah cinta tragis
Selain Farid Kamil dan Siti Elizad, filem terbitan Dayang Digital Sdn Bhd ini turut membariskan pelakon hebat seperti Zul Huzaimy, Khir Rahman, Kuswadinata, Datuk Musthapa Maarof, Datin Rosnani Jamil, Uji Rashid, Hattan dan M Rajoli.
Kisah terjadi kira-kira 200 tahun dahulu di sebuah pekan bernama Padang (sekarang di daerah Muar) yang mengisahkan pengembaraan Awang selama tiga tahun bagi menyempurnakan adat untuk mengahwini kekasih hatinya, Dayang, gadis cantik di kampungnya.
Dalam pengembaraan Awang, dia mula memahami erti hidup dan mempelajari sejarah kebesaran keluarganya. Dia juga bertemu beberapa watak di mana dia mampu menimba ilmu, menjalin persahabatan dan menerima penghormatan. Bagaimanapun, sepeninggalan Awang, hati tunangnya Dayang cuba dicuri oleh Bachok dengan bantuan guru silatnya, Panglima Merah, bekas ketua lanun yang amat digeruni di perairan laut Melaka.
Setelah menempuh pelbagai dugaan dan cabaran, Awang dianugerahkan dengan dua bilah lembing pusaka bernama Lembing Laki dan Lembing Bini. Pelayaran Awang membawanya ke pelabuhan Makasar di mana peluang memenuhi cita-citanya tersedia.
Adakah cintanya masih setia bila digoda wanita Belanda? Hikayat ini terkenal kerana peristiwa berdarah yang meragut 99 nyawa. Saksikan kesudahan filem ini, adakah tragedi ini padah akibat adat janji yang dimungkiri atau angkara nafsu dendam yang tersimpan?
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: