Wednesday, October 28, 2009

Standing ovation untuk Cuci The Musical



Seboleh-bolehnya dia tidak mahu lagi menguliti dirinya dengan sebarang kontroversi yang mampu menjatuhkan karier seni yang sudah dibinanya sejak 15 tahun yang lalu.

Apa sahaja episod duka telah dibuangnya jauh dari kotak fikirannya kerana dia ada tanggungjawab yang perlu dilunaskannya demi masa depan industri hiburan tanah air.

Menerusi pementasan Cuci the Musical (CTM), pelakon, pengarah dan penerbit, Hans Isaac bukan sahaja mahu memberikan hiburan kepada masyarakat tetapi dia mempunyai misi dan visi yang mahu diperjuangkan.

Ini terbukti apabila pementasan pertama CTM pada 23 Oktober lalu cukup menghiburkan setiap penonton yang hadir.

Memang jauh bezanya teater Cuci The Musical jika dibandingkan dengan filem. Tahniah diucapkan kepada team produksinya terutama pelakon yang berjaya ‘menghidupkan’ watak masing-masing terutama sekali Hans Isaac selaku Penerbit Eksekutif Tall Order Production selain mendukung watak utama di samping Awie, AC Mizal, Afdlin Shauki, Vanidah Imran, Harith Iskandar, Adibah Noor dan Reefa.

Setiap dialog yang dilontarkan pasti mengundang hilai tawa mereka yang hadir. Walaupun jalan ceritanya mudah dan tidak seberat naskhah Puteri Gunung Ledang yang pernah dipentaskan di IB tempoh hari, namun wang ringgit yang dilaburkan untuk membeli tiket yang bernilai dari RM43 hingga RM253 jelas sekali amat berbaloi.

Biar pun CTM diadaptasi dari filem Cuci, namun pada mereka yang tidak pernah menonton filem itu jangan risau kerana jalan ceritanya jelas dan boleh difahami dengan mudah.

Secara ringkasnya CTM mengisahkan empat adik-beradik, Fairil (Afdlin), Khai (Hans), Jojo (Awie) dan C’Tan (AC Mizal) yang mengendalikan syarikat Cuci-Cuci Services, sebuah syarikat kecil yang menyediakan perkhidmatan mencuci tingkap premis tetapi cuba ditindas oleh Wira (Harith) yang merupakan bos kepada syarikat besar, Wiramaju, yang juga menyediakan khidmat yang sama. Bagaimana pun, CJ (Vanidah) cuba membantu Cuci-Cuci Services keluar daripada kemelut tersebut.

Apa yang pasti graf ceritanya penuh warna-warni, suka dan duka serta turun naiknya sekata. Pelbagai isu juga dikupas seperti rasuah, orang kaya menindas orang miskin, yang disampaikan amat menepati dunia realiti sekarang.

Gandingan pelakon yang begitu mengagumkan dan percaturan Hans cukup bijak. Tema ‘1Malaysia’ turut diselitkan tanpa dibuat-buat. Bak kata AC Mizal yang menyebut ‘1Malaysia’ dalam salah satu babak teater itu, boleh disimpulkan tema itu didukung penuh melalui penyertaan pelakon, krew dan penonton yang terdiri daripada pelbagai bangsa.

Penulis juga tertarik untuk menceritakan tentang latar set, props, permainan warna, muzik dan kreativiti lain yang mencerminkan teater ini mempunyai ‘kelas’ tersendiri.

Ditambah pula dengan persembahan vokal yang boleh dikatakan baik oleh pelakon yang tidak mempunyai latar belakang sebagai penyanyi seperti Hans dan Vanidah.

Tahniah juga kepada pengarah teater berkenaan, Datuk Zahim Albakry atas ‘air tangannya’ yang ternyata sangat menjadi itu hingga menyebabkan pementasan CTM mendapat standing ovation hampir 10 minit sejurus selepas berakhirnya persembahan. Tidak kurang juga koreografer yang menarik hasil bimbingan Stephen Rahman Huges.

Ayuh ramai-ramai ke Istana Budaya untuk menyaksikan persembahan mantap CTM yang dipentaskan sehingga 8 November.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: