Apakah yang ingin disampaikan oleh sebilangan pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT) dalam program Meja Bulat 1Siswa 1Malaysia yang diadakan baru-baru ini?

APABILA diberi peluang mendengar perbincangan bakal-bakal pemimpin negara, iaitu wakil-wakil pelajar institusi pengajian tinggi (IPT), ternyata semangat mereka amat meyakinkan.
Bukan sekadar memahami konsep 1Malaysia itu sendiri, bahkan ia diterjemahkan ke dalam bentuk sumbangan yang boleh mereka sampaikan.
"Saya percaya konsep bersifat elit seperti 1Malaysia ini seharusnya menjadi asas bagi pelajar IPT kerana mereka adalah pelapis muda di negara kita," kata Eric Ong Choon Tat, 21, dari Universiti Tenaga Nasional (UNITEN).
Eric merupakan antara 300 pelajar yang menyertai Persidangan Meja Bulat dalam Program Perkampungan 1Siswa 1Malaysia di Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang baru-baru ini.
Mereka yang terbabit ialah Lisliyana Johari, 19; dari Island College of Technology, Krishnan Manogharan; 19; dari Politeknik Sultan Salahudin Abdul Aziz Shah, Shah Alam; Mohd Amri Mohd Said, 20, dari Politeknik Sultan Abdul Halim Muadzam Shah, Polimas; Muhammad Zulhilmi Jumiran, 20, dari Kolej Komuniti Segamat serta Nor Fadzilah Mat Daud, 21 dari USM.
Perpaduan
Program Perkampungan 1Siswa 1Malaysia yang dihoskan oleh USM ialah salah satu langkah memartabatkan konsep 1Malaysia dalam kalangan siswa-siswi. Ia berlangsung selama tiga hari bermula 9 hingga 11 Oktober lalu.
Tujuan program tersebut adalah untuk memberi fokus kepada perpaduan kebangsaan dalam kampus dan memperkasakan nilai persefahaman 1Malaysia melalui 1Siswa.

Pemahaman wakil-wakil pelajar itu tentang Gagasan 1Malaysia dan motif dalam menjayakannya amat ketara.
"Sebelum ini saya sekadar faham 1Malaysia sebagai konsep perpaduan yang dilaungkan oleh Perdana Menteri, tetapi setibanya di sini saya akui terdapat banyak unsur yang perlu diperhalusi misalnya nilai-nilai Malaysia yang perlu diterap dalam 1Malaysia," kata Krishnan.
Krishnan juga menunjukkan semangat yang tinggi dalam menyampaikan pengetahuan yang diperolehnya melalui persidangan itu kepada para pelajar lain.
"Saya berpendapat sebelum mempraktikkan apa-apa lebih baik jika rakan-rakan saya didedahkan dengan intipati sebenar 1Malaysia dan kemudian bagaimana boleh mengaplikasikannya dalam konteks 1Siswa."
Bagi Lisliyana yang aktif dalam pelbagai program di kampusnya pula mahu idea untuk memperbanyakkan penyertaan pelbagai kaum dalam setiap acara diberi keutamaan.
"Salah seorang rakan yang baru ditemui di program ini kesal apabila IPTnya hanya menghantar wakil satu kaum sedangkan apa yang cuba dilaksanakan di sini adalah berbeza.
"Mungkin sikap ini harus disingkir dan pihak IPT serta pelajar harus sedar tentang kepentingan yang bukan sahaja berpusat pada satu-satu pihak atau kaum," katanya.
Meritokrasi
Seiring dengan tema 1Siswa 1Malaysia, Amri berkata, dia secara peribadi mengharapkan supaya batasan-batasan yang selama ini menyekat pihak tertentu dapat dihalang.
"Apa yang saya maksudkan bukan setakat hak atau keistimewaan kaum majoriti seperti Melayu, Cina dan India tetapi juga kaum minoriti lain yang terdapat di negara kita," jelasnya merujuk kepada etnik Siam, Iban, Kadazan, Serani dan sebagainya.
Tambahnya, mungkin juga sudah tiba masanya untuk kita menilai semula kepentingan sistem meritokrasi dan kuota mengikut kelayakan akademik dan kemampuan ekonomi sesebuah keluarga.

Bagi Fadzilah, apa yang pernah dilakukan oleh universitinya, USM sendiri dianggap sebagai langkah awal yang amat dialu-alukan.
"Antaranya ialah amalan berkongsi bilik di antara pelajar Melayu dan bukan Melayu, sambutan perayaan yang diadakan untuk semua pelajar tanpa mengira kaum, sumbangan bantuan yang diberikan kepada pelajar dan sebagainya," ujarnya.
Sebagai wakil pelajar tahun pertama IPT Awam yang mendapat 100 unit percuma Amanah Saham 1Malaysia, Fadzilah juga memandang ia sebagai satu usaha murni yang amat dihargai.
"Pihak universiti telah menguruskan pembahagian saham untuk setiap pelajar secara terurus supaya tiada yang tertinggal. Ini adalah antara usaha awal yang diaplikasikan malah sebelum konsep 1Malaysia lagi dan ada yang sejurus selepas konsep itu diuar-uarkan," jelas Fadzilah.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: