Dr Mahyuddin IsmailTIDAK mustahil mengesan jenayah sihir atau sekurang-kurangnya membanteras aktiviti itu daripada terus berleluasa sekiranya satu akta jenayah itu diwujudkan.
Pengarah Projek Sekolah Pengajian Islam, Kolej Antarabangsa IKIP Kuantan, Pahang, Dr Mahyuddin Ismail berkata, seperti pukau, ia adalah aktiviti mencuri menggunakan ilmu sihir menyebabkan mangsa tidak berupaya mengawal diri lalu mematuhi arahan.
“Seperti Seksyen 378 Kanun Keseksaan, mencuri melalui pukau turut memenuhi elemen mengambil apa-apa harta alih secara curangnya, daripada pemilikan mana-mana orang, dengan tiada kerelaan orang itu dan menggerakkan harta itu dengan tujuan hendak mengambilnya.
“Sekiranya ada peruntukan undang-undang, sekurang-kurang jenayah sihir boleh mencegah pembabitannya meskipun sukar untuk dikesan,” katanya.
Sehubungan itu, Dr Mahyuddin mencadangkan supaya Akta Jenayah Sihir digubal termasuk menubuhkan Jabatan Siasatan Jenayah Sihir.

“Pihak polis sukar untuk menyelesaikan kes sekiranya laporan mengenai pukau melainkan mempunyai elemen kesalahan lain seperti penipuan,” katanya.
Beliau yang juga merupakan penulis buku ‘Ahli Sihir ke Tali Gantung’ berkata, pukau tidak semestinya dikaitkan dengan masyarakat Melayu atau hanya berlaku di Malaysia kerana ia turut berlaku di negara luar seperti Australia, Afrika, Eropah dan India malah aktiviti di sana lebih hebat.
Jelasnya, di China mempunyai beberapa peruntukan undang-undang jenayah yang mempunyai kaitan dengan amalan sihir.
“Antaranya ialah Article 165, Part II: Specific Provisions, Chapter VI: Acts against the social order, The Criminal Law of the People’s Republic of China, yang diluluskan pada 1 Julai 1979 semasa sesi Kedua Kongres Rakyat Kebangsaan.
“Ini kerana sebenarnya terdapat persamaan antara jenayah biasa dengan jenayah sihir terutama dari aspek alatan yang digunakan, pelaku jenayah, perbuatan jenayah (actus reus) dan niat penjenayah (mens rea),” katanya.
Dr Mahyuddin berkata, sebelum sebarang tindakan undang-undang boleh diambil terhadap seseorang yang disyaki melakukan jenayah sihir di Malaysia, terdapat dua perkara asas yang mesti diselesaikan terlebih dahulu.
“Ia merupakan punca kuasa yang membolehkan siasatan jenayah sihir dijalankan (Akta Jenayah Sihir) dan organisasi atau jabatan yang diberi kuasa untuk menjalankan siasatan tersebut (Jabatan Siasatan Jenayah Sihir),” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: