Monday, July 25, 2011

Pukau sekadar modus operandi

Datuk Syed Ismail Syed Azizan

KESALAHAN pukau tidak wujud dari segi perundangan kerana ia bukan satu jenayah namun perkara itu hanya dijadikan sebagai modus operandi dalam aktiviti penipuan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Datuk Syed Ismail Syed Azizan berkata, diakui terdapat mangsa yang membuat laporan kepada pihak polis bahawa dia telah dipukau sehingga dia kerugian harta benda atau wang.

“Bagaimanapun pihak polis akan mengenal pasti sama ada kejadian yang menimpa mangsa itu mempunyai elemen penipuan meskipun didakwa dipukau.

“Kesalahan menipu diperuntukkan dalam Seksyen 415 Kanun Keseksaan yang mempunyai elemen memperdayakan,” katanya kepada Mingguan mStar, baru-baru ini.

Syed Ismail berkata, pada masa ini tiada peruntukan yang mengatakan pukau itu sebagai satu kesalahan maka sebab itu laporan mangsa akan dikesan di bawah Kanun Keseksaan.

Jelasnya, jika dilihat secara praktikal, bagaimana mahu memberikan keterangan dan mengemukakan bukti bahawa seseorang iaitu suspek menggunakan sihir.

“Walaupun mangsa dikenakan pukau dengan cara tertentu seperti tiupan, suara atau sentuhan namun mereka berpeluang untuk melihat wajah suspek sebelum kejadian.

“Ini dapat dijadikan sebagai pengecaman yang membantu memudahkan siasatan oleh pihak polis terhadap kes penipuan berkaitan,” katanya.

Beliau menambah, terdapat kes penipuan melibatkan suspek yang dikenal pasti sebagai bomoh iaitu mereka yang mengamalkan ilmu perubatan tradisional.

Datuk Akhbar Satar

Dalam pada itu, Syed Ismail berkata, terdapat situasi di mana pengadu sengaja menggunakan pukau sebagai alasan dia ditipu dalam laporannya kepada pihak polis.

Menurut beliau, sama ada pukau atau tidak, penipuan didalangi oleh individu yang bijak berkomunikasi, memujuk dan mempengaruhi orang lain sehingga diperdaya.

“Sikap tamak juga antara punca apabila mangsa dipukau kononnya dipengaruhi untuk membeli batu permata yang boleh memberikan kekayaan sekelip mata.

“Dalam apa juga bentuk jenayah, ia mempunyai tiga perkara iaitu peluang, kemahiran dan keupayaan untuk melakukannya di mana-mana pada bila-bila masa,” katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pemeriksa Penipuan Bertauliah Malaysia, Datuk Akhbar Satar pula berkata, penipuan menggunakan cara pukau disifatkan tidak profesional malah dilabelkan sebagai ‘penipu tepi jalan’.

Berdasarkan trend, penipuan kini lebih cenderung melakukan aktiviti itu menggunakan teknologi canggih seperti Internet kerana lebih mudah, pantas dan menguntungkan.

“Siapa mahu menipu dengan cara ini kalau belum tentu hasil keuntungan yang diperoleh kerana kebiasaannya mangsa pukau di kalangan golongan berpendapatan rendah.

“Penipuan melalui pukau juga semakin berisiko kerana mangsa masih dapat mengecam suspek meskipun mereka kononnya separuh sedar ketika kejadian berlaku,” katanya.

Bagaimanapun Akhbar tidak mengatakan aktiviti pukau itu akan pupus kerana selagi ada peluang dan ruang, perkara itu akan berterusan berlaku.

Menurut beliau, mangsa tidak bijak untuk mengawal keadaan menyebabkan si pemukau memperdaya sehingga kerugian wang atau harta.

“Justeru, masyarakat dinasihatkan agar sentiasa berhati-hati terutama apabila berhadapan dengan orang yang tidak dikenali dan persekitaran sekeliling.

“Sebarang kemungkinan boleh berlaku kerana pukau boleh berlaku di mana-mana pada bila-bila masa terutama anda dikesan mempunyai sesuatu yang bernilai,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: