Monday, July 25, 2011

‘Canggih’, perdaya mangsa tanpa kekerasan

Pak Idrus sedang menunjukkan salah satu teknik pukau kepada wartawan Mingguan mStar.

BUKAN mitos atau rekaan, hakikat kewujudan ilmu pukau diakui Pengamal Perubatan Tradisional Dr H. Muhammad Idrus.

“Pukau berkait rapat dengan amalan sihir yang telah lama wujud dan berasal dari Mesir. Pada masa itu amalan sihir begitu hebat sehingga merebak ke seluruh dunia termasuklah Nusantara.

“Tukang sihir Firaun pernah menentang mukjizat Nabi Musa menggunakan sihir. Orang Yahudi juga pernah cuba menyihir Nabi Muhammad,” kata Dr Idrus dalam satu temuramah eksklusif bersama Mingguan mStar ketika memberi penjelasan awal mengenai pukau.

Walau bagaimanapun, amalan sihir tidak lagi menjadi amalan dan mula diketepikan selepas berkembangnya agama dan pengaruh Islam.

Dr Idrus yang pernah membantu beberapa mangsa pukau secara tradisional berkata selain pukau, ilmu lain berbentuk sihir termasuklah santau dan penggunaan susuk, yang terang-terangan mempunyai tujuan tidak baik.

Santau lazimnya dibuat atas dasar dendam atau iri hati terhadap orang lain, manakala susuk pula menjurus kepada matlamat ‘menundukkan’ orang lain berbekalkan rupa paras atau tindakan tertentu.

Dalam konteks memperdaya, menipu dan mengambil kesempatan, ilmu pukau dianggap sihir paling canggih kerana tidak melibatkan paksaan, ugutan atau kekerasan namun menyebabkan kerugian wang dan barang berharga.

“Dalam diam minda dan diri mangsa dikuasai sepenuhnya si pemukau. Mereka ini tidak cuba untuk melepaskan diri apatah lagi melawan. Ketika itu mereka akan menurut kehendak si pemukau termasuklah menyerahkan dompet dan barang kemas, telefon bimbit, kad mesin pengeluaran automatik (ATM) dan mengeluarkan wang di bank seperti yang sering kita dengar berlaku hari ini,” katanya.

Kebanyakan mangsa pukau mendakwa dipukau melalui asap rokok.

Mentera ‘ganggu’ saraf

Dr Idrus yang terkenal dengan gelaran Pak Idrus menjelaskan proses pukau berlaku apabila sistem urat saraf mangsa dilumpuhkan seketika oleh mereka yang mempunyai ilmu pukau melalui mentera tertentu.

Pensyarah Terbaik Indonesia pada tahun 1990 ini berkata, secara saintifik manusia mempunyai tiga saraf iaitu saraf sedar, separuh sedar dan tidak sedar.

“Mereka yang mempunyai ilmu pukau akan membaca mentera tertentu yang dikaitkan dengan asosiasi sihir atau makhluk halus. Mentera tersebut mampu ‘mengganggu’ sistem saraf manusia dengan menguasai fikiran dan menjadikan mangsa berada dalam keadaan separuh sedar,” jelasnya.

Menurut Pak Idrus dalam keadaan biasa saraf manusia berada dalam sedar. Jika seseorang itu hanya dapat mengingati nama seseorang dan terlupa wajahnya atau sebaliknya, dia dikatakan separuh sedar.

“Apabila dipukau, seseorang itu tidak dapat mengingati apa yang telah berlaku dalam tempoh dia dipukau kecuali adanya kejadian-kejadian khas,” ujarnya.

Katanya, ilmu pukau adalah pelbagai tetapi kebiasaannya mangsa akan terpukau antara dua hingga tiga jam sebelum kembali normal.

“Selepas tersedar mangsa biasanya akan muntah, bingung dan lemah,” katanya.

Tempoh masa yang diambil untuk mangsa pulih sepenuhnya bergantung kepada daya ketahanan badan dan ingatan mangsa.

Tak kenal mangsa

Pukau boleh dilakukan kepada sesiapa sahaja tanpa mengenal umur, bangsa dan agama menggunakan beberapa teknik.

Apabila dipukau mangsa dikatakan berada dalam keadaan separuh sedar.

Teknik pukau paling popular ialah menepuk mana-mana anggota badan mangsa, menyapa mangsa dan berpura-pura bertanyakan sesuatu, melalui hembusan asap rokok dan melalui buah-buahan masam.

“Menepuk bahu dan menyapa adalah teknik paling mudah, ringkas dan canggih.

“Kalau guna rokok, kita akan dapati rokok tersebut tidak mempunyai puntung,” katanya yang mempunyai 30 tahun pengalaman dalam bidang ini.

Namun, teknik pukau menggunakan buah jarang-jarang diamalkan memandangkan ia sukar dilakukan terhadap mangsa terutama yang tidak dikenali.

Tambah Pak Idrus, tidak kira teknik apa sekali pun yang digunakan dalam proses memukau, medium perantara tetap diperlukan bagi menghubungkan pemukau dengan mangsa pukau.

Sekiranya terdapat halangan atau ketiadaan medium penghubung, pukau tidak akan menjadi.

Risiko, kelemahan

Di sebalik ilmu pukau yang dikatakan canggih, ilmu yang berpaksikan sihir itu tetap mempunyai risiko dan kelemahan.

“Pukau juga ada syarat-syaratnya. Selain sangat bergantung kepada perantara, orang yang ingin melakukan pukau perlu memastikan dia dan mangsa tidak saling mengenali.

“Mangsa yang pernah bertemu atau melihat wajah pembuat pukau sebelum dia dipukau mungkin dapat mengingati siapa yang telah memukaunya setelah dia pulih,” katanya.

Pak Idrus berkata, mangsa yang mempunyai daya ingatan yang kuat berkemungkinan besar dapat membayangkan wajah individu yang telah memukau mereka dan dapat membuat lakaran wajah ketika membuat laporan polis.

“Inilah yang menjadi risiko kepada mereka yang mengamalkan pukau. Selain itu, tak semua mangsa yang dipukau mempunyai wang yang banyak atau barang bernilai,” katanya.

Justeru, tidak hairanlah banyak laporan media menyatakan kejadian pukau di sesuatu lokasi berlaku dalam tempoh singkat sebelum beralih arah ke lokasi lain yang lebih jauh bagi mengelakkan kegiatan itu dihidu pihak berkuasa.

Selain itu, pukau juga biasanya dilakukan terhadap mereka yang bersendirian bagi menghindari penipuan tersebut disedari rakan atau orang sekeliling.

“Bagi mengelakkan pukau saya nasihatkan agar masyarakat mengelakkan keluar bersendirian terutama ketika pergi ke bank atau membawa barang berharga,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: