Tuesday, July 5, 2011

Bintang WWE tolak definisi ganas


WALAUPUN kali pertama berkunjung ke Malaysia, John Morrison dan Melina Perez cukup teruja untuk bertemu dengan peminat mereka.


BIARPUN sering dilabelkan sebagai 'sukan' yang mempromosikan keganasan, namun, tiada siapa yang dapat menafikan hakikat bahawa gusti sebenarnya mempunyai kelompok peminat tersendiri.

Begitu juga dengan pendapat segelintir pihak yang merasakan program gusti yang ditayangkan di kaca televisyen sudah tidak lagi popular seperti dulu memandangkan ramai nama-nama besar sudah mengundurkan diri daripada arena itu.

Salah seorang bintang WWE Superstar, John Morrison memberitahu dia kurang bersetuju dengan pendapat yang mengatakan gusti menggalakkan keganasan di kalangan masyarakat.

Ini kerana katanya, program gusti yang ditayangkan di kaca televisyen adalah lebih kepada hiburan yang dapat ditonton oleh seisi keluarga.

"Saya tidak percaya gusti membawa keburukan kepada mana-mana pihak dan mempengaruhi seseorang individu itu untuk menjadi seorang yang ganas.

"Jika diperhatikan di Amerika Syarikat (AS) sendiri, sebenarnya adalah lebih banyak medium yang mempamerkan keganasan seperti filem, permainan video mahupun muzik video daripada program hiburan seperti WWE.

"WWE merupakan sebuah program yang tidak lebih daripada memberikan hiburan semata-mata kepada audiens.

"Itulah yang saya rasakan sejak kecil sewaktu kali pertama menonton WWE bersama bapa saya. Kalau benarlah WWE ini dikatakan mempromosikan keganasan, mengapakah ia berjaya bertahan hampir 60 tahun?" jelas John memberikan buah fikirannya.

John atau nama sebenarnya John Randall Hennigan berkata demikian dalam sidang akhbar ringkas sempena siri jelajah WWE Promotional Tour yang berlangsung di Bandar Sunway, Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini.

Kehadiran John ke negara ini tidak keseorangan. Sebaliknya, dia ditemani kekasihnya yang juga bintang WWE yang dikenali dengan gelaran WWE Diva, Melina Perez.

Kedua-duanya yang diterbangkan khas dari AS oleh TV3 sebagai salah satu acara sempena ulang tahun ke-27 stesen televisyen swasta pertama negara itu.

Pendapat John itu juga disokong oleh Melina yang merasakan program sukan hiburan WWE seharusnya dilihat daripada sudut yang positif di mana ia menyatukan sebuah keluarga untuk sama-sama menontonnya.

Katanya lagi, hampir 60 tahun WWE menjadi salah sebuah program hiburan terkemuka, minat terhadap program itu juga berjaya dibawa turun-temurun dari seorang datuk, bapa dan kemudian kepada anak-anaknya.

"Ia berdasarkan pengalaman saya sendiri sewaktu bertemu dengan peminat apabila mereka memberitahu sendiri pengalaman menonton WWE.

"Jadi, daripada situ sudah cukup membuktikan bawa program WWE ini sebenarnya ada pengikut tersendiri.

"Kalau ada yang tidak menggemarinya, itu adalah hak masing-masing kerana kami sebagai penghibur, tidak berupaya untuk memaksa mereka untuk menyukai kami," jelas Melina atau nama sebenarnya Melina Nava Perez itu bersungguh.

Dalam masa yang sama, Melina yang berusia 31 tahun itu juga mahu memberitahu ramai yang telah salah anggap tentang definisi program WWE itu sendiri.

Ujarnya, WWE bukanlah sebuah sukan sebaliknya ia adalah sukan hiburan dan di kalangan penghibur seperti mereka juga tidak menggelarkan diri masing-masing sebagai ahli sukan.

"Kami sebenarnya adalah penghibur dan elemen yang ditampilkan dalam WWE pun lebih kepada berbentuk hiburan," kata Melina lagi.

Ketika diminta untuk berbicara mengenai penglibatan mereka dalam WWE, John menjelaskan sedari kecil dia begitu taksub dan minat dengan sukan hiburan WWE.

Dia sendiri tidak menafikan banyak didedahkan oleh bapanya yang sering membawanya menonton persembahan WWE.

Sementelah dari kecil lagi John juga mahu menjadi seorang adi wira dan menjadikan karakter Superman sebagai inspirasinya.

"Daripada situ saya berazam untuk menjadi salah seorang WWE dan impian itu akhirnya tercapai apabila saya menyertai pertandingan realiti, Tough Enough III.

"Perlahan-lahan saya membina nama saya dan berdepan dengan pelbagai cabaran sebelum saya dapat menikmati apa yang saya dapat seperti hari ini.

"Sudah pasti saya mahu mencapai kegemilangan dalam karier saya dengan menjuarai beberapa kejohanan akan datang untuk melengkapkan profil saya," katanya yang juga pernah menggunakan nama pentas Johnny Nitro sebelum ini.

Melihat kepada beberapa nama besar WWE sebelum ini yang telah meninggalkan arena tersebut dengan mengorak langkah dalam bidang seni lain, John tidak menolak kemungkinan dia juga akan mengikut jejak langkah itu.

Menjadikan Dwayne Johnson atau The Rock sebagai contoh terbaik, John menjelaskan dia mahu mencari peluang untuk melebarkan lagi sayap seninya.

"Bukan hanya mahu menjadi seorang pelakon, seboleh-bolehnya saya teringin juga hendak menjadi seorang produser filem ataupun televisyen.

"Memandangkan saya memiliki ijazah sarjana muda dalam bidang perfileman, jadi, ia adalah langkah terbaik untuk saya," katanya sambil disokong oleh Melina.

Walau bagaimanapun, Melina lebih selesa untuk meneruskan minatnya dalam arena itu dan mahu menjadi seorang jurulatih di masa hadapan.

Sempat diusik dengan pertanyaan tentang hubungan cinta mereka yang mendapat perhatian peminat WWE, Melina memberitahu semuanya berjalan dengan baik.

Walaupun hubungan mereka pernah terputus di pertengahan jalan, namun, ia dapat diperbaiki kerana masing-masing sedar akan minat dan keserasian dalam bidang yang sama.

"Apabila dalam bidang ini, kami sudah faham dengan tugas masing-masing. Jadi, soal cemburu itu tidak wujud dan apabila dapat bersama dalam siri jelajah seperti ini, ia mengeratkan lagi hubungan kami," ujarnya sambil memandang ke arah John.

Biarpun pertama kali hadir ke Malaysia, baik John mahupun Melina, masing-masing ternyata teruja dengan sambutan yang diberikan.

Malah, mereka sendiri terkejut apabila diberitahu pengikut setia WWE begitu ramai di negara ini ketika berpeluang menikmati santapan tengah hari eksklusif bersama lima orang peminat bertuah pada hari yang sama.

"Apabila mereka bercerita tentang perihal WWE, kami begitu kagum sehinggakan ada beberapa perkara kami sendiri tidak pernah tahu (ketawa). Ternyata, ia masih lagi memberikan impak besar kepada peminat WWE," ujar John yang berusia 31 tahun itu.

Kesemua pemenang dipilih menerusi kuiz WWE yang dianjurkan menerusi facebook.com/TV3MALAYSIA dan facebook.com/tontonMY yang berlangsung selama empat hari bermula 21 Jun lalu.

Pada majlis itu juga, John dan Melina sempat meluangkan masa dengan melayan hampir 1,000 peminat yang tidak mahu melepaskan peluang beramah mesra dengan bintang pujaan mereka itu.

WWE Smackdown yang mula ditayangkan di TV3 sejak lapan tahun lalu itu kini ditayangkan pada setiap hari Khamis pukul 11 malam.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: