AKRAB...hubungan sebagai rakan sekelas menjadi faktor keserasian mereka.
MEREKA langsung tidak tahu jenis masakan yang perlu disediakan dan hanya diberitahu menunya beberapa minit sebelum cabaran bermula.
Semua bahan mentah disediakan penganjur dan mereka perlu segera memikirkan cara memasak selepas beberapa minit menu diberitahu, jika tidak ia akan menjejaskan tempoh memasak pasukan mereka.
Namun, itu semua tidak menjadi masalah kepada dua pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan USJ 13 kerana aktiviti memasak menjadi ‘makanan’ mereka.
Justeru, tidak hairan Luqman Hakim Khairul Annuar, 17, dan Amalina Allia Ismadi, 17, berjaya menewaskan 160 peserta dari 80 pasukan yang diwakili pelajar sekolah menengah di Lembah Klang dalam pertandingan Power Chef anjuran Kolej KDU.
Tidak seperti pertandingan lain yang lazimnya dianjurkan satu hingga dua hari, sebaliknya berlangsung tiga minggu.
Peserta menunjukkan kepakaran dan kehebatan masing-masing bagi mengelak disingkir pada peringkat seterusnya.
Luqman Hakim berkata, pada pusingan awal menu diberi adalah menyediakan mayonis dengan menggunakan bahan yang disediakan.
Mungkin bagi sesetengah peserta ia mudah disediakan namun peserta perlu teliti daripada aspek tekstur dan rasanya kerana ia dinilai oleh juri.
“Bagi pusingan pertama, peserta dikehendaki menyiapkan dua menu dan markah kedua-duanya dijumlahkan sebelum proses penyingkiran dilakukan.
“Daripada 80 pasukan yang mengambil bahagian, hanya 40 pasukan layak ke peringkat seterusnya,” katanya.
Menurutnya, di peringkat seterusnya, pertandingan semakin mencabar dengan menu diberi lebih rumit dan sukar.
Katanya, semakin jauh kemaraan dalam pertandingan, semakin banyak tekanan dihadapi, terutama menyediakan makanan mengikut spesifikasi ditetapkan.
“Bagi saya, yang penting adalah kerjasama antara pasukan kerana ia adalah kunci kepada kelancaran dan kesempurnaan proses menyediakan makanan itu.
“Selain itu, kami perlu menggunakan segala kreativiti dan pengetahuan untuk diterjemahkan kepada penghasilan makanan yang bukan saja menarik tetapi lazat,” katanya.
Pelajar aliran Sains ini berkata, minat terhadap bidang masakan banyak dipengaruhi oleh ibunya yang pernah membuka kedai makan satu ketika dulu.
Bermula sekadar membantu ibunya memenuhi pesanan pelanggan, ia secara perlahan-lahan mempengaruhi minatnya dan tidak terkubur biarpun ibunya tidak lagi menjalankan perniagaan.
Adakalanya, dia mengambil alih tugas ibunya dengan bertindak sebagai penyedia makanan bagi keluarganya dan dia dapat rasakan kepuasan apabila ahli keluarganya menyukai masakannya.
Bagi Amalina Allia, peristiwa yang berlaku ketika pusingan akhir hampir melunturkan semangatnya kerana menyangka akan tersingkir.
Katanya, pada pusingan akhir itu, setiap pasukan diberi wang tunai RM20 dan dikehendaki membeli bahan masakan di ‘pasar’ yang disediakan.
Yang menarik, harga bahan mentah itu naik setiap minit dan peserta harus menggunakan keseluruhan wang itu tanpa meninggalkan baki atau terlebih.
“Kami perlu membeli bahan mentah secepat mungkin kerana bimbang ia menjejaskan jumlah wang yang ada dan perlu bijak memilih barang supaya ia tidak melebihi kos kami.
“Masa diperuntukkan adalah satu jam 45 minit dan kami harus menggunakan semua barang dibeli tanpa meninggalkan walau sedikit pun bahan mentah itu,” katanya.
Menurutnya, oleh kerana terlalu fokus menyediakan masakannya, mereka tidak menyedari penganjur menetapkan syarat supaya menggunakan serai dalam masakan.
Katanya, pihaknya hanya menyedari perkara itu 20 minit sebelum pertandingan tamat dan hanya tinggal kurang seminit sebelum ‘pasar’ ditutup.
“Keadaan ketika itu memang kelam kabut dan guru pengiring kami bergegas mencari bahan itu kerana jika gagal mendapatkannya, penyertaan kami dibatal serta-merta, sekali gus mematikan peluang untuk muncul juara.
“Dalam masa sama, kami terpaksa mengubahsuai menu utama supaya bahan itu sesuai dimasukkan tanpa menjejaskan rasa,” katanya.
Oleh kerana masa suntuk, mereka menyangka peluang menempatkan diri antara tiga pasukan teratas adalah tipis dan tidak meletakkan harapan tinggi.
Namun apabila diumumkan sebagai juara, perasaan terkejut dan gembira bercampur sehingga tidak mampu mengungkapkan sepatah kata.
Kemenangan itu melayakkan mereka membawa pulang wang tunai RM1,000, trofi dan pakej melancong ke Switzerland bersama pelajar Kolej KDU.
Sementara itu, guru penyelianya, Wong Fui Fun berkata, semua persiapan untuk pertandingan itu dilakukan sepenuhnya oleh pelajarnya, iaitu daripada segi peralatan memasak hinggalah kepada pinggan mangkuk.
Katanya, kedua-dua pelajarnya sentiasa menunjukkan kesungguhan dan komited dalam setiap apa yang mereka lakukan dan mereka berhak memenanginya.
“Bakat mereka dikenal pasti menerusi pertandingan memasak yang dianjurkan di sekolah beberapa bulan lalu dan dari situ pihak sekolah cuba mengetengahkan bakat mereka dengan menyertai pertandingan itu.
“Kejayaan mereka bukan hanya mengharumkan nama sekolah tetapi juga memberi nilai tambah kepada mereka yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akhir tahun ini,” katanya.
INFO
PROFIL
NAMA: Luqman Hakim Khairul Annuar
UMUR: 17 tahun
ASAL: Kuala Terengganu
KELUARGA: Ketiga daripada empat beradik
KELAS: Aliran Sains
PROFIL
NAMA: Amalina Allia Ismadi
UMUR: 17 tahun
ASAL: Kuala Lumpur
KELUARGA: Kedua daripada tiga beradik
KELAS: Aliran Sains
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: