Sunday, July 10, 2011

Yang dekat lebih bahaya

pix_middle
pix_topright

FENOMENA kekasih ibu atau bapa mendera kanak-kanak semakin ketara sejak kebelakangan ini apabila beberapa kes didakwa di mahkamah mendapati ada anak didera tanpa simpati.

Antara kes ialah di Kuala Kubu Baru, Selangor pada tahun lalu apabila kekasih si ibu iaitu pemandu teksi mendera anak kekasihnya sehingga mati dan sudah dijatuhi hukuman.

Manakala seorang drebar lori di Klang, Selangor pada Mei lalu mengaku tidak bersalah mendera anak perempuannya berusia 13 tahun sepanjang Disember 2010 hingga Mei lalu.

Sebelum itu, kekasihnya didakwa menyimbah air panas semata-mata kerana enggan memanggil teman wanita bapanya ‘ibu’, sedangkan si bapa mempercayai kata-kata wanita itu yang mendakwa ‘mangsa’ terlalu nakal dan perlu diajar.


Bahkan, beberapa kes lagi berlaku membabitkan penderaan kejam sehingga membawa kepada kecederaan teruk dan kematian menunjukkan betapa golongan dewasa tidak lagi menjadi pelindung atau penentu keselamatan buat kanak-kanak apabila nafsu menguasai segala-galanya.


Sebenarnya, wujud peruntukan undang-undang mengikut Seksyen 31 (1) Akta Kanak-Kanak 2001 dan menerusi seksyen sama memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan. Manakala Seksyen 326, Seksyen 324 dan Seksyen 377C Kanun Keseksaan turut mengheret pendera ke muka pengadilan.

Namun, kes sedemikian berterusan berlaku sehingga membimbangkan masyarakat ke arah membentuk golongan itu sebagai modal insan berjaya pada masa depan.

Bagi mendapatkan gambaran sebenar mengapa ia berlaku, Pengarah Bahagian Kanak-Kanak dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Arfan Sulaiman berkata, statistik 2010 membabitkan keseluruhan penderaan dan pengabaian terhadap kanak-kanak menunjukkan 2,961 kes berlaku berbanding tahun sebelumnya iaitu 2,789 orang.

Menurutnya, pelbagai kaedah atau pendekatan digunakan JKM dalam menangani kes sedemikian, namun sehingga kini belum mampu mengurangkan kes penderaan terhadap kanak-kanak sepenuhnya biarpun pelbagai program berkaitan dijalankan.

Ditanya perkara berhubung penderaan oleh pasangan kekasih terhadap kanak-kanak tidak berdosa itu, beliau mengatakan, peratusannya masih kecil tetapi jika tidak dipantau ia memberi kesan buruk kepada masyarakat.

Berdasarkan statistik bilangan kanak-kanak yang memerlukan pemeliharaan dan perlindungan mengikut pemangsa tahun 2009 (rujuk Rajah 1), sebanyak 52 pemangsa (membabitkan kekasih ibu atau bapa) melakukan penderaan terhadap kanak-kanak.

Sebaliknya ibu kandung antara paling banyak mendera golongan itu iaitu 629 kes, sedangkan 509 kes penganiayaan seumpama itu dilakukan si bapa. Jika dibandingkan ibu tiri sebanyak 60 kes dan bapa tiri 104 kes, ia memberi gambaran bahawa orang ‘paling dekat’ dengan kanak-kanak iaitu keluarga kandung lebih banyak mendera anak mereka.

Mengulas perkara itu, dia berkata, dapat dibuat kesimpulan bahawa rumah tidak lagi selamat kepada kanak-kanak.

Sepatutnya, kata beliau, pasangan harus mengelak melakukan penderaan sama ada isteri, suami mahupun kekasih isteri atau suami tidak melakukan kekejaman di luar kawalan itu kerana kesannya sungguh menakutkan.

“Jika kekasih ibu atau bapa mendera, pasangan atau ahli keluarganya harus memastikan dia tidak terus melakukan perkara mengaibkan itu.

“Perlakuan itu menunjukkan kemungkinan si pendera menghadapi masalah kewangan, tekanan kerja dan pelbagai sehingga sanggup melakukan perbuatan tidak berperi kemanusiaan itu,” katanya.

Beliau meminta jiran atau masyarakat peka dengan kes penderaan dan harus melaporkan kepada pihak berwajib jika wujudnya perkara seumpama itu.

Namun, katanya, berdasarkan laporan diterima kesedaran masyarakat semakin meningkat dan menunjukkan tanggungjawab komuniti penting supaya sentiasa prihatin kepada keselamatan dan perlindungan terhadap kanak-kanak.

Dia turut menyarankan kanak-kanak diberi kasih sayang, kebahagiaan dan ketenangan kerana mereka lemah serta memerlukan pertolongan atau pergantungan kepada orang lain.

Katanya, pemikiran kanak-kanak yang kreatif dan bernas lahir daripada pembentukan kasih sayang sepenuhnya. Sentuhan, belaian dan kasih sayang sejak kecil membuatkan kanak-kanak dapat menyesuaikan diri dengan masyarakat, sekali gus mempunyai kasih sayang kepada masyarakat sekeliling.

Jenis pekerjaan ‘sang pendera’ untuk 2010 pula (rujuk Rajah 2) daripada data perolehan JKM mendapati, kakitangan swasta adalah pemangsa paling tinggi dengan 539 orang. Suri rumah pula menduduki senarai kedua tertinggi dengan bilangan penderaan 457 kes.

Katanya, dalam kes penderaan kanak-kanak, JKM memberi tumpuan serius selaras tumpuan untuk 2009 iaitu ‘Safe Childhood’.

Namun, katanya, data direkodkan oleh JKM menunjukkan wujudnya penderaan dilakukan ‘keluarga sendiri’ dan antara puncanya adalah kesusahan hidup atau masalah kewangan meruncing, menyebabkan kanak-kanak menjadi mangsa untuk melepaskan tekanan itu.

Ditanya mengenai kecenderungan golongan yang melakukan penderaan mungkin mereka tidak berpendidikan tinggi, Arfan menyangkal pandangan itu kerana tiada kajian mendalam dibuat mengenai hal itu.

“Kita tidak boleh meletakkan aspek penderaan berpunca daripada tahap pendidikannya rendah kerana ramai juga yang berpelajaran tinggi melakukan penderaan.

“Kemungkinan ada kes tidak dilaporkan disebabkan faktor status atau malu dan pelbagai alasan lain. Saya tidak berani mengulas lebih lanjut perkara ini,” katanya.

Turut tersenarai sebagai faktor penyebab ialah krisis rumah tangga, pembangunan fizikal tidak seimbang dengan pembangunan sosial, menyebabkan krisis itu berlaku selain kurang kemahiran keibubapaan serta kurang didikan agama antara punca yang dikenal pasti.

Arfan berkata, sejak perkhidmatan Teledera berfungsi 24 jam diperkenalkan pada 1992, manakala pada 2007 Talian Nur (15999) diperkenalkan bagi memberi kemudahan kepada masyarakat membuat laporan jika mendapati keadaan mencurigakan atau kanak-kanak tidak berada dalam pengawasan ibu bapa atau penjaga sebaiknya.

Sehingga kini, katanya, kerjasama orang ramai sangat menggalakkan. Bahkan, pegawai JKM akan terus membuat pemantauan dan tindakan menyelamat jika ada aduan oleh jiran atau orang ramai seperti ada kanak-kanak menangis dalam keadaan luar biasa dan sebagainya dilaporkan.

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) tidak berkompromi dengan ibu bapa yang didapati mengabaikan penjagaan dan keselamatan anak kecuali ada alasan tertentu dan peruntukan Akta Kanak-Kanak 2001 dikuatkuasakan sepenuhnya.

Menurutnya, Pasukan Perlindungan Kanak-Kanak (PPKK) menerusi 142 Pusat Aktiviti Kanak-Kanak seluruh negara menjalankan program, aktiviti, seminar, bimbingan dan kaunseling. Begitu juga dengan talian 999 untuk kes penderaan diwujudkan menerusi ‘Child Helpline’ selain menggubal Polisi Perlindungan Kanak-Kanak @ Child Protection Policy (CPP) dan lain-lain.

Mengikut akta itu juga, beliau menekankan mangsa penderaan boleh diletakkan di bawah pengawasan seorang ‘pelindung’ dan ibu bapa yang melakukan kesalahan mengabai dan menganiaya kanak-kanak, jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM2,000 atau dipenjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya sekali.

Mengenai kaedah bagi program pemulihan kanak-kanak pula, JKM mempunyai pegawai psikologi terlatih untuk menangani masalah berkaitan.

Antara terapi pernah diadakan ialah medium muzik, seni lukis dan pelbagai aspek lain membantu pemulihan dan perkembangan anak yang didera itu sehingga mereka pulih sepenuhnya demi melupakan sisi hitam (fobia) atau trauma dalam hidup mereka.

“Sebenarnya rawatan kepada mangsa kanak-kanak didera mempunyai cabaran jika kanak-kanak didera secara seksual dan berusia bawah empat tahun. Lazimnya kanak-kanak usia sedemikian tidak dapat memberi penerangan tepat dan jelas, terutama sejarah kejadian, tidak dapat mengenali pelaku serta gagal memberi butir terperinci serta perkara lain yang boleh dijadikan bukti,” katanya.


Antara program kesedaran dilakukan JKM:

  • Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga & Masyarakat (KPWKM) seperti Smartstart’ dan Modul Kasih, Parenting@Work sebagai langkah proaktif, meningkatkan kemahiran keibubapaan

  • Bantu ibu bapa imbangi tanggungjawab antara keluarga dan kerjaya

  • Galak penubuhan Taska Komuniti bagi keselamatan kanak-kanak

  • Perkhidmatan Teledera berfungsi 24 jam (sejak 1992); Talian Nur nombor 15999 diperkenalkan bagi memudahkan masyarakat buat laporan

  • Wujudkan Pasukan Perlindungan Kanak-Kanak (PPKK) bertujuan menyelaraskan perkhidmatan setempat kepada keluarga dan kanak-kanak (ada 131 pasukan melalui 142 Pusat Aktiviti Kanak-Kanak seluruh negara)

  • Gubal Polisi Perlindungan Kanak-Kanak @ Child Protection Policy (CPP) - bermula di rumah sedarkan ibu bapa tanggungjawab jaga keselamatan, perlindungan kanak-kanak

  • Luaskan talian 999 untuk kes dera, ‘Child Helpline’ untuk membantu sesiapa saja untuk kanak-kanak, ibu bapa, masyarakat buat laporan

  • KPWKM tidak berkompromi dengan ibu bapa yang abaikan penjagaan, keselamatan anak bawah Akta Kanak-Kanak 2001 dikuatkuasakan sepenuhnya

  • Wujudkan ‘focal point’ untuk proses melaporkan kes penderaan

  • Adakan pelbagai kursus kekeluargaan, keibubapaan bagi tingkatkan kesedaran tangani kes dera dan hilang anak

  • Kempen kesedaran ibu bapa supaya beri tumpuan lebih memperkasakan kanak-kanak


    Didik masyarakat elak penderaan kanak-kanak:

  • Kanak-kanak adalah tanggungjawab ibu bapa, keluarga dan masyarakat kerana bakal pemimpin masa depan

  • Pihak berkuasa jalankan program tetapi tanggungjawab umum terletak pada ibu bapa

  • Orang awam pula perlu tampil buat laporan supaya tindakan bersepadu dapat diambil

  • Antara pencegahan oleh kerajaan seperti Program Kesedaran Mesra Kanak-Kanak, penerangan mengenai Hak Kanak-Kanak dan Akta Kanak-Kanak 2001

  • Program komuniti disediakan seperti kaunseling di peringkat negeri dan daerah untuk bimbing, khidmat nasihat kepada mangsa yang masih trauma.
  • No comments:

    Post a Comment

    Tinggalkan Komen Anda Sini: