
JITRA - Seorang warga emas dan anak saudaranya terpaksa bermalam di belantara selama lapan jam apabila tersesat ketika mencari rotan di Hutan Lipur Bukit Wang di sini malam kelmarin. Selain tidur di atas batu, mangsa, Abdul Rahman Ibrahim, 71, dan anak saudaranya, Che Hussain Hamid, 43, juga terpaksa menanggung kesejukan berikutan hujan selama kira-kira dua jam. Menurut Che Hussain, pada mulanya dia bersama tiga lagi saudara lain termasuk anak Abdul Rahman, Abdul Wahab telah pergi ke dusun berhampiran hutan tersebut untuk mengutip durian kira-kira pukul 1 tengah hari kelmarin.
Katanya, ketika berada di dusun, Abdul Rahman tiba dan dia mengajak saudaranya itu meninjau-ninjau di hutan dan mencari rotan pula. "Saya dan Abdul Rahman sahaja yang masuk ke dalam hutan manakala yang lain pulang ke rumah," katanya ketika ditemui pemberita di rumah Abdul Rahman di sini semalam. Tambahnya, mereka kemudian berjalan ke hutan dan tidak sedar apa berlaku sebaliknya terus melangkah mengikut kaki naik dan turun beberapa bukit. Katanya, selepas lebih sejam berjalan, mereka masih tidak jumpa jalan pulang, namun tetap meneruskan langkah sehinggalah cuaca gelap iaitu kira-kira pukul 6.45 petang.
"Kami duduk di atas batu tepi anak sungai dan berehat di situ. Apabila hujan di awal pagi, saya memotong daun palas untuk menutup kepala. "Tidur pula tidak lena dan apabila terasa dahaga, kami minum air sungai. Mujur tidak berasa lapar kerana tiada bekalan makanan," kata Che Hussain memberitahu mereka tidak membawa barangan lain kecuali dua bilah parang. Che Hussain yang menetap di Simpang Empat, Perlis memberitahu, apabila cuaca cerah, mereka mula berjalan dan berjumpa dengan kolam lama di kawasan hutan itu.
"Mujurlah dengan bantuan orang kampung yang berada di situ, kami dibawa pulang tetapi Abdul Rahman mengalami kekejangan otot," katanya memberitahu mereka berjalan kaki di hutan itu sejauh kira-kira empat kilometer. Dalam pada itu, Abdul Wahab, 53, pula memberitahu, dia bersama beberapa penduduk mula mencari bapanya dan Che Hussain kira-kira pukul 5.30 petang setelah mereka tidak pulang ke rumah. "Setelah gagal, kami membuat laporan polis dan usaha mencari mereka dijalankan bersama pasukan penyelamat seramai 30 orang dan orang kampung diteruskan pada sebelah malam," katanya. Katanya, mangsa akhirnya ditemui semula dengan berjalan kaki keluar dari hutan itu pada pukul 8.55 pagi semalam.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: