Tuesday, July 26, 2011

Nelayan minta pampasan projek


SEKUMPULAN nelayan berkumpul secara aman bagi menuntut pampasan daripada projek mega minyak dan gas di Kampung Teluk Empang, Pengerang, Kota Tinggi kelmarin.


KOTA TINGGI – Lebih 30 nelayan yang mewakili 400 yang lain dari lapan buah kampung di sini menuntut pampasan kerana mendakwa pelaksanaan projek mega minyak dan gas yang dijalankan menjejaskan mata pencarian mereka. Mereka terdiri daripada nelayan Kampung Pengerang, Kampung Langkah Baik, Kampung Jawa, Kampung Teluk Empang, Kampung Sungai Kapal, Kampung Sungai Buntu, Kampung Sungai Rengit dan Kampung Teluk Ramunia. Pengerusi Biro Kebajikan Nelayan Kampung Jawa, Hussain Abd. Latif, 48, berkata, pihaknya tidak membantah projek tersebut kerana ia bakal memberi peluang pekerjaan selain pembangunan ekonomi setempat serta negara.

“Namun begitu, kami memohon agar nasib nelayan pesisir pantai di sini diberi perhatian,” katanya ketika ditemui di sini semalam. Hussain berkata, pembinaan depoh mengumpul minyak dan gas di kawasan pantai seluas 60 hektar melibatkan dua perkampungan nelayan iaitu Kampung Sungai Buntu dan Kampung Sungai Kapal yang merupakan salah satu kawasan yang memiliki khazanah marin yang banyak. Dakwanya, projek mega itu mengakibatkan kesan lumpur di pesisiran pantai bukan sahaja di Sungai Buntu dan Sungai Kapal bahkan perkampungan nelayan yang lain turut menerima kesannya.

“Akibat kerja-kerja penambakan projek, arus sungai semakin perlahan dan ikan turut berkurangan menyebabkan kami hilang punca pencarian,” katanya. Sehubungan itu, dia merayu kerajaan negeri dan Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Azalina Othman Said membantu membela nasib mereka dengan mendapatkan sejumlah pampasan yang sewajarnya. Seorang nelayan, Wahab Ibrahim, 51, berkata, akibat penambakan laut di Sungai Kapal dan Sungai Buntu, ia telah menjarakkan lagi laluan nelayan untuk ke tempat tangkapan ikan.

Katanya, nelayan terpaksa pergi sejauh kira-kira 10 batu nautika untuk menangkap ikan ekoran penambakan itu. “Disebabkan projek ini, pendapatan kami terjejas kerana kawasan pencarian ikan semakin kurang,” jelasnya. Lim Eng Huat, 57, pula berharap kerajaan dapat membantu membela nasib mereka yang hanya bergantung hidup dengan mencari ikan di laut. “Hanya kerajaan yang dapat membela nasib kami,” katanya yang mempunyai tiga orang anak.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: