Tuesday, July 26, 2011

13 lega dapat semula wang umrah


SITI menunjukkan surat TTPM kepada syarikat pelancongan di Bukit Mertajam semalam.


BUKIT MERTAJAM – Sekumpulan 13 individu yang mendakwa ditipu sebuah syarikat pelancongan yang menguruskan perjalanan mereka menunaikan umrah ke Tanah Suci Mekah bakal memperoleh kembali wang mereka sebanyak RM19,500 (RM1,500 seorang) yang telah dibayar kepada syarikat itu sebelum ini. Keputusan itu dibuat oleh Presiden Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) Seberang Perai Tengah (SPT), Faridah Abrahim ketika prosiding di Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan daerah SPT di sini semalam.

Dalam keputusannya, Faridah memerintahkan syarikat pelancongan Impian Travel & Tours agar memulangkan semula wang pendahuluan tersebut kepada kesemua individu terbabit dalam tempoh 14 hari dari tarikh award dikeluarkan semalam. Bagaimanapun wakil syarikat itu tidak hadir semasa prosiding yang berlangsung semalam. Wakil kumpulan itu yang hanya ingin dikenali sebagai Siti berkata, pihaknya bersyukur kerana keputusan TTPM semalam akhirnya menyebelahi mereka.

“Kami bersyukur kerana kami akan mendapat semula wang sebanyak RM19,500 yang telah dibayar kepada syarikat berkenaan. “Walaupun begitu, kami masih berharap pihak polis menjalankan siasatan terhadap syarikat berkenaan yang telah melakukan penipuan terhadap pelanggan mereka termasuklah kami,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: