MAJIKAN kepada pembantu rumah Indonesia, Tan Choo Tang, 56, telah mengizinkan pembantu rumahnya, Sarmini Muhyadi, 28, melanjutkan pelajaran sehingga lulus cemerlang dan berjaya mendapat diploma dalam bidang pengurusan.
“Jika ada pembantu rumah yang menunjukkan minat untuk belajar, kita patut galakkan. Bagaimanapun semuanya terpulang kepada situasi dan majikan itu sendiri,” katanya kepada Mingguan mStar.
Choo Tang berkata, dia dan isteri, Wee Phooi Khuan, 47, tidak pernah kesal ‘melepaskan’ Sarmini menyambung pengajian sebaliknya menganggap ia sebagai ‘situasi menang-menang’.
“Selepas tiga tahun bekerja dia beritahu saya yang dia mahu pulang ke kampungnya di Jawa Tengah dengan alasan mahu sambung belajar.
“Saya fikir kenapa tidak dia belajar separuh masa sambil bekerja. Lagipun saya lihat simpanannya tak cukup. Kalau saya izinkan dia belajar, impiannya akan tertunai dan kami sekeluarga masih boleh mendapatkan khidmat Sarmini,” katanya.
Sepanjang empat tahun di Universiti Terbuka Malaysia (OUM), pasangan ini sering bertolak-ansur dengan Sarmini kerana faham tanggungjawab yang perlu dipikul seorang pekerja dan pelajar.
Dalam masa yang sama, Sarmini juga tidak pernah mengabaikan kerja-kerjanya di rumah walaupun perlu belajar, menyiapkan tugasan dan mengambil peperiksaan.
Melihat kesungguhan Sarmini, Choo Tang sekeluarga berasa terpanggil untuk membantu bukan sahaja dari segi pembiayaan yuran pengajian tetapi juga sanggup berkorban masa dan tenaga.
“Anak saya tolong dari segi pemahaman bahasa Inggeris. Isteri dan kakak ipar saya membantu mendapatkan informasi ketika dia menyiapkan projek,” katanya yang turut menyediakan komputer dan mesin pencetak untuk kegunaan Sarmini.
Dalam tempoh empat tahun pasangan ini turut bertanggungjawab menghantar dan menjemput Sarmini di kuliah serta sanggup mengambil cuti apabila Sarmini menduduki peperiksaan.
Menurut Choo Tang, Sarmini akan menelaah dari pukul 9 malam ke atas iaitu selepas selesai melakukan tugasnya di rumah dan jika ada kelapangan.
Sebagai majikan yang pernah mendapatkan khidmat empat pembantu rumah Indonesia sebelum ini, Choo Tang berpendapat persefahaman antara majikan dan pembantu rumah amat penting.
“Saya upah pembantu rumah supaya mereka dapat membantu meringankan beban saya dan isteri, bukan bekerja sepanjang hari kerana mereka juga manusia biasa yang perlu berehat,” katanya.
Sarmini telah pulang ke negaranya pada 3 Julai lalu dan terus mendapat tawaran kerja.Choo Tang turut mengucapkan terima kasih kepada pengurusan OUM kerana membenarkan Sarmini melanjutkan pelajarannya di universiti itu.
Tugas jaga anak istimewa bukan beban
PEMBANTU rumah dari Sumatera, Selatan, Nikmah, 27, yang telah lima tahun berkhidmat dengan majikannya, Rosnani Mohamad, 52, menyatakan kesyukurannya dapat mencari rezeki di Malaysia.
“’Puan’ anggap saya macam keluarga sendiri. Dia ajar saya memasak dan mengemas sehinggalah saya mahir melakukan kerja rumah,” katanya.
Paling tidak dapat dilupakan Nikmah apabila Rosnani bermurah hati membawanya menunaikan Umrah pada tahun lalu.
“Saya bersyukur mendapat majikan yang baik dan saya percaya hampir semua majikan di Malaysia baik-baik belaka,” jelasnya.
Sebagai pembantu rumah dia tidak terlepas daripada dimarahi majikan apabila dia melakukan kesilapan dan menganggap semua itu sebagai lumrah.
Selain menjalankan tugas-tugas biasa, Nikmah juga perlu menjaga anak bongsu Rosnani yang lumpuh.
“Saya tak anggap tugas menjaga anaknya sebagai beban tetapi sebagai tanggungjawab. Setiap kerja yang saya lakukan adalah ikhlas dan tak pernah merungut,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: