Monday, July 11, 2011

Masalah tak akan selesai selagi wujud agensi tidak sah

Jeffrey menunjukkan gambar pembantu rumah asing yang dilatih di negara masing-masing sebelum dibawa masuk ke Malaysia.

MALAYSIA mempunyai sebanyak 380 agensi yang berdaftar secara sah bagi membawa masuk pembantu rumah asing kepada majikan-majikan di negara ini.

Pemangku Presiden Persatuan Agensi Pembantu Rumah Asing (PAPA), Jeffrey Foo berkata daripada jumlah tersebut, hanya 200 agensi yang aktif menguruskan kemasukan pembantu rumah sebagai memenuhi permintaan majikan.

“Apa yang membimbangkan apabila agensi haram atau tak berdaftar secara sah lebih banyak jumlahnya berbanding agensi berdaftar,” katanya kepada Mingguan mStar.

Jeffrey berkata masalah berkaitan pembantu rumah Indonesia di negara ini merupakan masalah terpencil jika dibandingkan dengan 230,000 jumlah pembantu rumah yang sedang berkhidmat tanpa masalah dengan majikan mereka.

Jelasnya, sekali pun majikan mempunyai masalah dengan pembantu rumah masing-masing, mereka masih mempunyai ‘jalan keluar’ dari kemelut tersebut sekiranya pembantu rumah diperolehi melalui saluran yang betul.

“Jika majikan tak puas hati dengan pembantu rumah mereka atas sebab pembantu rumah itu tidak terlatih atau sebagainya, mereka boleh menghubungi terus pihak agensi untuk buat pertukaran.

“Kalau mereka ambil daripada individu atau agensi tak bertauliah, tiada jaminan untuk mereka dapat pengganti,” katanya.

Menurut Jeffrey terdapat pihak tertentu dan majikan yang menganggap agensi pengambilan pembantu rumah asing sebagai ‘musuh’ dan sanggup menggunakan saluran lain untuk mendapatkan pembantu rumah.

“Sebagai agensi kita mahu bagi jaminan dan perlindungan kepada majikan dan pembantu rumah,” katanya.

Tanggapan tersebut timbul kerana kos yang dikenakan agensi berdaftar sedikit tinggi berbanding tawaran pihak lain yang mungkin menjanjikan kos lebih murah selain perlu mengikut prosedur dan menunggu untuk tempoh tertentu.

Jumlah yang perlu dibayar majikan yang ingin mendapatkan khidmat agensi untuk mengambil pembantu rumah ialah RM2,711.

“Ramai orang awam di negara kita melanggar peraturan dengan mengambil pekerja asing bekerja tanpa permit sah.

“Mereka bayar gaji rendah dan minta pembantu rumah mereka bekerja dalam waktu yang panjang, malah ada yang disuruh buat kerja berat,” katanya.

Akibatnya, pembantu rumah berasa tertekan dan mengambil keputusan melarikan diri dari tempat mereka bekerja.

Jeffrey berkata, masalah berkaitan pembantu rumah terutama yang lari daripada majikan tidak akan selesai selagi pekerja yang masuk secara haram masih berada di Malaysia dan permintaan daripada majikan terus ada.

“Pekerja asing atau pembantu rumah yang meninggalkan majikan mereka akan mencari kerja lain kerana ramai lagi majikan lain terdesak mendapatkan khidmat mereka.

“Ada juga majikan yang beri tawaran lebih lumayan kepada mereka jika meninggalkan majikan yang mereka sedang berkhidmat,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: