Monday, July 11, 2011

MAMA mahu pulih imej majikan Malaysia

Engku Ahmad Fauzi

TIDAK menjalankan tanggungjawab mengikut kontrak, mendera, mencuri dan lari dari rumah merupakan antara masalah utama dihadapi majikan yang menggaji pembantu rumah Indonesia.

Pengerusi Persatuan Majikan Pembantu rumah Malaysia (MAMA), Engku Ahmad Fauzi Engku Muhsein berkata majikan yang berdepan masalah seperti ini harus mempunyai tempat mengadu atau pihak yang dapat membela nasib mereka.

“Kini sudah sampai waktunya majikan dibela dan dilindungi,” katanya kepada Mingguan mStar.

Badan bukan kerajaan (NGO) ini mempunyai misi membimbing majikan supaya lebih bertanggungjawab, prihatin dan berperikemanusiaan terhadap pembantu rumah, khususnya dari Indonesia.

Sebagai permulaan MAMA telah bekerjasama secara langsung dengan Saba Islamic Domestic Help Advisory (Saidha) bagi menjayakan program HELPER yang bertujuan mewujudkan kesejahteraan di antara majikan Malaysia dengan pembantu rumah Indonesia.

“Kita mahu bersihkan semula imej majikan-majikan di Malaysia. Jika berjaya, secara tak langsung kita dapat membuang persepsi negatif sesetengah pihak yang menganggap majikan di Malaysia zalim,” katanya.

Beliau berkata, selama ini kebanyakan majikan yang berdepan konflik dengan pembantu rumah kurang jelas akan hak dan tanggungjawab mereka serta di mana mereka mahu menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap pembantu rumah.

Kesudahannya, majikan yang mempunyai masalah dengan pembantu rumah berasa tertekan dan bertindak di luar kawalan seperti memberi layanan buruk, tidak membayar gaji dan melakukan penderaan.

Jelasnya, MAMA bukan hanya tempat majikan mengadu semata-mata tetapi bertanggungjawab melahirkan majikan dan pembantu rumah berkualiti demi membentuk kesejahteraan keluarga dan negara.

Abdul Aziz

“Kita akan bantu dan sokong apa sahaja program atau aktiviti asalkan ianya dapat mewujudkan persefahaman antara majikan dan pembantu rumah,” jelasnya.

Sehingga kini MAMA mempunyai hampir 20 ahli dan dijangka akan mendapat lebih banyak keahlian pada masa akan datang.

“Ramai majikan berminat jadi ahli kerana mereka sedang, pernah dan bakal menggaji pembantu rumah Indonesia.

“Kita akan adakan kempen dalam masa terdekat bagi menarik minat orang ramai terutama majikan menjadi ahli,” katanya.

Sedia hadapi kontroversi

Penasihat Undang-Undang MAMA, Abdul Aziz Hasan tidak menolak kemungkinan tercetusnya isu tertentu apabila program HELPER dijalankan sepenuhnya kelak.

Ini kerana, program tersebut memerlukan kerjasama dua pihak iaitu majikan dan pembantu rumah.

“Kedua-dua pihak tak pernah kenal satu sama lain dan mempunyai harapan serta persepsi masing-masing.

“Kita anggap konflik sebagai lumrah apatah lagi program ini masih baru.

“Program ini bukan mahu cari siapa salah dan siapa betul sebaliknya mahu melihat bagaimana kita dapat mewujudkan kesejahteraan antara majikan dan pembantu rumah,” katanya.

Bagi merungkaikan konflik atau ketegangan yang mungkin berlaku, aspek perjanjian dan hak kedua-dua pihak akan ditekankan.

“Ramai yang tandatangan kontrak tapi tak tahu isi kandungannya. Majikan ada hak mendapat pembantu rumah berkualiti, tetapi jika didapati mereka menzalimi pembantu rumah mereka akan dikenakan tindakan dan mungkin akan disenarai hitam daripada mengambil pembantu rumah Indonesia,” jelasnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: