CERIA...Azlina membantu fasilitator memberi penerangan mengenai isu keselamatan rekreasi kepada peserta Hari Keluarga Warga Pekak Kuala Lumpur di Hutan Lipur Sg Gabai, Ahad lalu.
SEGALA persiapan sudah dilakukan, malah si pengantin perempuan juga sudah bersedia untuk diijabkabulkan bersama kekasih hatinya.
Di sebalik rasa teruja untuk bergelar isteri, bakal suami–nya pula kelihatan resah dan berusaha sebaik mungkin untuk menyembunyikan rasa tidak selesa di hadapan tetamu.
Secara kasarnya, tiada cacat celanya majlis itu cuma kemunculan seorang wanita lewat 40-an yang duduk di sebelah kadi nyata meninggalkan tanda tanya di kalangan hadirin.
Tanpanya mungkin pernikahan terbabit tidak dapat disempurnakan memandangkan hanya wanita itu - Azlina Mohamed Isa - yang mampu bertindak sebagai pengantara bagi membantu kadi serta mempelai memandangkan pengantin lelaki cacat pendengaran dan hanya boleh berkomunikasi menerusi bahasa isyarat.
“Bagi yang tidak biasa melihat keadaan ini pasti pelik kerana saya duduk di sebelah kadi, tapi khidmat penterjemah bahasa isyarat amat penting untuk membantu pengantin berkomunikasi dengan kadi, begitu juga sebaliknya,” katanya.
Bagaimanapun, khidmatnya tidak terhad dalam majlis perkahwinan kerana ibu kepada empat cahaya mata ini turut menjalankan khidmat penterjemahan percuma kepada pihak polis bagi kes jenayah seksual membabitkan golongan pekak dan bisu serta membuat penterjemahan seorang diri tanpa meminta bayaran untuk kursus bina insan.
Azlina juga pernah menjadi penterjemah sukarelawan untuk kelas pendidikan agama perintis bagi pelajar pekak di Pusat Islam, Kuala Lumpur pada 1992 hingga akhirnya kelas agama untuk golongan itu mula diperkenalkan oleh majlis agama Islam di negeri lain.
Bagi Azlina, bukan wang ringgit yang dikejar, tetapi kepuasan dapat membantu golongan itu cukup memberi impak positif dalam kehidupannya.
“Saya terkesan apabila melihat golongan istimewa ini yang memerlukan dorongan daripada orang lain. Jurang komunikasi antara mereka dengan orang lain juga membuatkan golongan ini tidak berupaya meningkatkan potensi diri masing-masing.
“Jadi dengan pendidikan, pengetahuan serta pengalaman yang ada, saya cuba membantu mereka dan dalam masa sama meningkatkan kesedaran di kalangan masyarakat,” ujarnya yang dinobatkan penerima Anugerah Ibu Amal pada majlis Anugerah Hari Ibu Harian Metro 2011 pada 19 Jun lalu.
Minatnya menjadi penterjemah secara sukarelawan bermula pada awal 1990-an ketika menjadi guru subjek Bahasa Melayu di Sekolah Kanak-Kanak Pekak, Bukit Nanas.
“Selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia, saya menjadi sebagai guru sandaran di beberapa sekolah sementara menantikan panggilan melanjutkan pelajaran.
“Saya kemudian diterima bertugas di sebuah sekolah swasta dan saya benar-benar seronok menjadi guru hinggakan saya melanjutkan pengajian dalam bidang pendidikan.
“Ketika di sekolah itu, saya terjumpa iklan di akhbar yang menyatakan sebuah sekolah di Bukit Nanas memerlukan beberapa guru untuk mengajar kelas kanak-kanak pekak.
“Saya terus berminat untuk menghadiri temu duga walaupun tiada asas dan tidak tahu langsung berbahasa isyarat. Ketika temu duga, saya diberitahu bahawa gaji kami cuma RM200, jauh berbeza daripada gaji empat angka yang saya terima di sekolah swasta sebelum ini.
“Tapi saya rela kerana saya sukakan cabaran dan memerlukan ilmu serta pengalaman seperti itu. Lagipun ketika itu usia saya masih muda, tambahan suami tidak menghalang, malah menyokong keputusan saya,” katanya yang berkahwin awal pada usia 21 tahun dengan Kamal Ariffin Ahmad.
Berikutan tiada asas dalam pendidikan khas, Azlina menghadiri kursus yang dijalankan pihak pentadbiran setiap hari selepas tamat waktu persekolahan.
Selepas hampir dua bulan di sana, Azlina mula mahir menggunakan bahasa isyarat hingga diminta menjadi penterjemah bagi kelas peralihan.
Sejak dapat berkomunikasi dengan pelajarnya, Azlina mendapati mereka sebenarnya berpotensi untuk berjaya lalu wanita berasal dari Kampung Baru, Kuala Lumpur ini memberikan kelas tambahan secara percuma kepada pelajar pekak berbangsa Melayu, Cina dan India di rumahnya memandangkan tiada kelas tuisyen untuk golongan itu.
“Mereka akan ikut saya ke rumah setiap hari selepas sekolah. Kelas tuisyen kami biasanya berlangsung dalam dua hingga tiga jam dan saya akan terus menghantar setiap seorang pulang ke rumah.
“Bagi saya, setiap insan mempunyai potensi diri masing-masing termasuk golongan ini. Jika diberi tunjuk ajar dan bimbingan yang betul, mereka juga mampu mencipta kejayaan tersendiri.
“Sememangnya peluang mengajar di sekolah khas itu memberikan banyak peluang untuk saya mendekati dan mempelajari kehidupan golongan terbabit.
“Paling menyeronokkan apabila ramai pelajar saya berjaya ke menara gading dan memperoleh pekerjaan yang membanggakan.
“Saya terharu apabila mereka meminta saya menghadiri majlis konvokesyen bagi meraikan pencapaian mereka.
“Walaupun berlainan bangsa, mereka bagaikan anak saya sendiri, malah mereka rapat dengan keluarga saya. Semua anak saya boleh berkomunikasi dalam bahasa isyarat dengan baik kerana sejak kecil mereka bergaul dengan pelajar saya,” ujar ibu kepada Muhammad Azzaidie, Nurkamallina Alya Durar, Muhammad Azhari Hafiz dan Nurul Aiman Izzati ini.
Azlina kini giat membantu menyemak dan menyusun semula terjemahan buku teks untuk sekolah khas, selain bertugas sebagai pensyarah Bahasa Melayu yang melatih guru daripada opsyen biasa ke opsyen pendidikan khas di Universiti Terbuka Malaysia.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: