Wednesday, July 20, 2011

Laris di seberang

Natasha Hudson
Natasha Hudson
Demi anak, Natasha sanggup lepas peluang cipta nama di Indonesia

MELIHAT wajah dan bakat, khidmat Natasha Hudson untuk terus mewarnai dunia seni Indonesia masih didamba apatah lagi tahun lalu sebanyak tiga drama bersiri sempat dibintangi aktres berdarah kacukan Melayu-Australia itu.
Tidak hairan sekembali ke Kuala Lumpur untuk menyudahkan pembikinan rakaman lagu selain lakonan, panggilan demi panggilan diterima yang mempelawa dirinya terbabit dalam produksi di negara itu.
Walaupun peluang terbuka luas, ibu kepada seorang puteri, Nessa Helena, 3, itu terpaksa berfikir panjang sebelum membuat keputusan yang dirasakan memerlukan pengorbanan tinggi.

“Dunia hiburan Indonesia cukup luas. Sepanjang 10 bulan di sana, saya sempat berlakon untuk tiga produksi bersiri. Banyak pengalaman saya lalui, malah ramai rakan produksi meminta saya datang semula.

“Cuma apabila memikirkan anak selain tawaran di negara sendiri, saya terpaksa menolak biarpun pernah terniat untuk terus mencuba nasib di tempat orang,” katanya sambil tersenyum.

Adakah kecewa dengan senario industri seni tempatan? Katanya, bukan soal berkenaan sebaliknya kesejahteraan serta kebajikan anak tunggal menjadi keutamaan yang tiada kompromi.
Kongsi model dan aktres yang baru mencecah 28 tahun itu, awalnya memang dia membawa Nessa ke Jakarta, namun berikutan sesuatu sebab, pada bulan kedua dia sudah dihantar pulang untuk dijaga keluarga.

Hanya panggilan telefon serta gambar menjadi pengubat rindu malah Natasha juga kerap pulang semata-mata mahu bertemu si buah hati walaupun agak lelah berulang alik begitu.

“Cadangan awal memang ingin anak di sisi sepanjang memenuhi tawaran di sana tetapi barangkali faktor cuaca mengakibatkan kesihatannya tidak menentu. Jalan paling baik membawanya pulang semula ke Kuala Lumpur.

“Boleh dikatakan, saya berulang alik antara Jakarta dan Kuala Lumpur. Selepas menyelesaikan tiga drama bersiri, saya berkira-kira mahu kembali semula kerana ramai rakan lama yang mengajukan tawaran. Apa pun bukan dalam tempoh terdekat ini,” katanya yang lebih dulu bergerak sebagai model di Jakarta.

Lakonannya menerusi produksi Indonesia ini dapat diikuti dalam Antara Benua, Cinta & Air Mata serta Melodi Hati yang turut disiarkan menerusi stesen televisyen di negara ini.

Akuinya lagi peluang untuk artis tempatan mencuba nasib di negara itu terbuka luas namun cukai yang tinggi dikenakan kepada orang luar membuatkan dirinya juga terpaksa berfikir dua kali.

Tambah aktres yang merangkul gelaran Pelakon Harapan Wanita pada Festival Filem Malaysia ke-20 itu, langkah berkenaan juga dilaksanakan untuk melindungi kebajikan penggiat industri mereka.

“Suka atau tidak kita kena ikut peraturan yang diperketatkan demi kepentingan rakyat mereka, khususnya pekerja industri hiburan. Sebenarnya banyak faktor lain yang membuatkan saya terus ‘melekat’ di tanah tumpah darah sendiri,” katanya penuh bermakna.

Akhirnya dapat watak komedi

NYATA rezeki ibu tunggal itu terus meriah apabila tetap menjadi buruan penerbit, termasuk baru menyelesaikan penggambaran dua drama komedi yang disifatkan peluang keemasan yang tidak harus dilepaskan.

Menyifatkan Antara Keju & Belacan serta Perang Celup sebagai eksperimen untuk memenuhi peranan yang selama ini dirasakan cukup sukar untuk diperoleh, iaitu watak komedi.

“Boleh dikatakan sepanjang tempoh berlakon penerbit seakan takut untuk memberikan saya watak komedi. Apabila diajukan tawaran ini, saya tidak berfikir dua kali kerana skripnya juga bagus iaitu berkisar wanita Melayu yang lebih kebaratan daripada Mat Saleh sendiri.

“Saya mengambil watak Jennifer Aniston dalam sitkom Friends sebagai rujukan. Tidak perlu berlebih-lebih kerana hanya menerusi lontaran dialog serta aksi bersahaja mampu mencuit hati penonton,” katanya.

Bakal tampil di layar perak semula dalam filem genre aksi, Halilintar arahan sutradara baru, pelakon yang bakal bergelar penyanyi rakaman itu juga akan turun ke lokasi filem pendek arahan Brendan Lee.

Mengulas mengenai hasrat merealisasikan album selepas perancangan dulu terbengkalai dek timbulnya isu bersama syarikat rakaman, ulasnya, impian berkenaan bakal direalisasikan sedikit masa lagi.

“Saya bertuah dikelilingi ramai insan berbakat malah setakat ini tiga lagu sudah dirakamkan yang juga gubahan rakan karib termasuk DJ Fuzz dengan tajuk Jika Boleh Ku Gubah Dunia, Selamanya dan Destinasi.

“Memang banyak cabaran perlu ditempuhi selain kos yang perlu ditanggung sendiri. Namun saya puas dan jika tiada aral melintang single dikeluarkan dulu sebelum disusuli album mini,” katanya.

Lagu duet bersama Juliana Evans juga sudah disempurnakan, malah istimewanya ia dirakamkan khusus untuk musim Aidilfitri, cuma judulnya saja masih dalam perbincangan.

Berharap perjalanan dalam kedua-dua bidang ini dipermudahkanNya, dedah wanita cekal itu, tanpa minat mendalam tidak mungkin dirinya mampu menepis segala rintangan yang membolehkannya terus berdiri gagah.

PROFIL

NAMA SEBENAR: Natasha Liana Hudson
TARIKH LAHIR: 9 September 1982
TEMPAT LAHIR: Ipoh, Perak
PENDIDIKAN: Sarjana rekaan grafik di The One Academy, Sunway dan Performing Arts School, Chicago
PROFESION: Model, pengacara, pelakon dan penulis buku
PROGRAM TV: Fesyen TV, Girls Club, Kediaman Idaman
ANTARA DRAMA: Pei Pan, Rahsia Cemara, Duyong Aridinata, Emily, Cinta, Pengantin Untuk Dijual, Sultan Alauddin
TEATER: Teater Muzikal Ibu Zain, Gamat
FILEM: Dayang, Chermin, Sumolah dan Tipu Kanan Tipu Kiri
PENCAPAIAN: Pelakon Harapan Wanita pada Festival Filem Malaysia ke-20

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: