Wednesday, July 20, 2011

Program perantis automatif janji peluang kerjaya

Tan Choon Kwee.

TIADA apa yang diimpikan oleh seseorang pelajar pendidikan tinggi selain jaminan untuk mendapat pekerjaan yang baik selepas menamatkan pengajian dan seterusnya mengatur langkah membina masa hadapan.

Bagi sesebuah organisasi pula, mereka mahukan pekerja yang mahir dan mampu menimba ilmu baru secara berterusan untuk kebaikan dan perkembangan organisasi mahupun pekerja itu sendiri secara kolektif.

Automotive Mechatronic Training (AMT) yang dilaksanakan Mercedes-Benz Malaysia Sdn Bhd merupakan satu contoh program pembangunan modal insan yang menepati kehendak kedua-dua pihak ini.

Program ini mulanya diperkenalkan oleh Daimler AG (kini Daimler Benz AG) pada 1984 selepas syarikat asal Mercedes-Benz Malaysia itu menyedari bahawa negara mengalami defisit pasaran tenaga dalam bidang kerja automotif terutamanya yang mahir dan berkelayakan sedangkan industri automotif pada masa itu sedang berkembang pesat.

Justeru, AMT diwujudkan dan menjadi program pertama seumpamanya di negara ini yang dijalankan oleh syarikat automotif. Bermula sebagai program perantis selama dua tahun, durasinya ditambah kepada tiga tahun kerana teknologi automotif di seluruh dunia dan di Malaysia terbukti semakin bertambah maju malah pelbagai sistem dan program mula diperkenalkan.

Menurut Pengurus Latihan program, Tan Choon Kwee program perantis yang bernaung di bawah Apprentice Training Centre Mercedes-Benz Malaysia (ATC) ini memfokuskan kepada konsep menyampaikan ilmu berterusan yang diperlukan modal insannya.

Latihan praktikal dan teori AMT diiringi oleh jurulatih yang berpengalaman dan berkelayakan.

Program ini lebih menekankan kepada pengajian dalam bentuk interaktif, kerja berkumpulan dan kemahiran mengatur kendiri untuk membentuk satu karakter dan sikap positif terhadap para pelatih melalui latihan teori dan praktikal yang setaraf dengan pengajian mekatronik di Eropah.

“Selama tiga tahun, mereka akan mempelajari teori dan praktikal tentang teknologi automotif terutamanya mengenai model-model kereta keluaran Mercedes-Benz sendiri,” kata Tan kepada Mingguan mStar ketika ditemui di bangunan ATC, Glenmarie, Shah Alam baru-baru ini.

Selama tempoh pengajian itu, semua pelatih yang bertuah akan dibiayai yuran pengajian mereka dengan beberapa syarat yang ditetapkan oleh pengurusan ATC.

Selepas mengenali dan mahir tentang setiap butiran mekanikal dan elektronik kereta buatan Jerman ini, para pelatih yang berjaya menamatkan program akan bergelar juruteknik yang bertauliah dengan diberikan sijil kelayakan automotif mekatronik, sijil Internal Mercedes Benz dan sijil Juruteknik Penyelenggaraan (CMT) yang diperakui dan diiktiraf oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran Malaysia.

Mereka kemudian mula mengorak langkah dalam kerjaya masing-masing dengan berkhidmat selama tiga tahun bersama pengedar kereta yang membiayai yuran pengajian mereka.

“Setiap tahun kami menerima hampir 1,000 permohonan daripada para remaja yang berminat memasuki program perantis ini. Kami memilih calon pelatih dari setiap negeri yang berpontesi untuk mewakili pengedar sah di setiap negeri masing-masing.

Pelatih program Automotive Mechatronic Training harus mempelajari setiap aspek teknikal kereta keluaran Mercedes-Benz.

“Namun hanya 28 pemohon sahaja yang terpilih selepas calon-calon itu menjalani ujian dan sesi temuduga yang dijalankan ATC,” kata Tan.

Menurutnya lagi, ATC kini hanya mengambil seramai 28 orang pelatih AMT setahun dan tidak merancang untuk menambah jumlah itu kerana percaya bahawa kualiti pelatih yang dilatih adalah lebih penting berbanding kuantiti yang diambil dalam menjalani program yang insentif ini.

“Program AMT bukan sahaja memberi peluang kepada pelatihnya menjadi juruteknik bertauliah, malah ia sebenarnya membuka peluang kerjaya yang lebih banyak kepada mereka seperti bidang operasi dan jualan dalam industri automotif,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: