Wednesday, July 20, 2011

Flying Squad Jabatan Hutan

Zahari Ibrahim.

JIKA pembalak haram atau penjenayah hutan ingat mereka boleh mencuri balak atau hasil-hasil hutan di luar waktu kerja seperti tengah malam, fikir kembali.

Modus operandi mereka mungkin menjerat diri sendiri kerana kini berdepan dengan risiko ditahan pihak berkuasa pada bila-bila masa dan di mana sahaja.

Ini ekoran inisiatif Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia menubuhkan Flying Squad hutan yang bertanggungjawab mengawasi hutan sepanjang masa malah 24/7.

Pengarah Penguatkuasaan Hutan, Jabatan Perhutanan, Zahari Ibrahim berkata, pihaknya menerusi Flying Squad hutan bersedia 24 jam setiap hari untuk dikerahkan ke mana-mana lokasi bagi menyiasat aduan diterima serta maklumat dalaman yang diperolehi.

Hampir sama seperti Unit Tindakan Khas (UTK) Polis Diraja Malaysia (PDRM), Flying Squad renjer hutan wajib berkumpul dalam tempoh sejam di lokasi yang ditetapkan oleh komandan mereka sebelum bergerak ke tempat kejadian.

Komandan mereka antara lain terdiri daripada Pengarah Penguatkuasaan Hutan, Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri serta Ketua Seksyen.

Dua orang pegawai penguatkuasa Jabatan Perhutanan Negeri Pulau Pinang sedang mengukur garis pusat kayu balak yang dirampas dalam satu operasi.

Jelas Zahari, Flying Squad ialah salah satu pasukan penguatkuasaan yang ditubuhkan di ibu pejabat dan setiap negeri untuk memastikan hutan tidak diceroboh dan dirampas hasil-hasil secara sewenang-wenangnya.

Katanya, setiap negeri mempunyai sekurang-kurangnya satu unit Flying Squad yang dilengkapi kenderaan pacuan empat roda jenis Land Rover.

Flying Squad turut mendapatkan perkhidmatan helikopter malah menggunakan sampan atau bot untuk sampai ke kawasan terbabit dalam keadaan khas tertentu.

Satu operasi memeriksa lori kayu balak di Gerik, Perak baru-baru ini.

“Setiap unit dianggotai lima orang termasuk renjer dan pengawas hutan yang kesemuanya berpakaian seragam,” katanya kepada Mingguan mStar baru-baru ini.

Pasukan Pengkuatkuasaan tidak sama dengan Flying Squad

Bagi mereka yang terbiasa dengan kehidupan di dalam dan pinggiran hutan, kelibat anggota renjer hutan membuat rondaan, sekatan dan serbuan adalah pemandangan biasa.

Adakah pasukan penguatkuasaan sama dengan Flying Squad? Zahari menjelaskan, terdapat satu garis pemisah halus antara pasukan penguatkuasaan dan Flying Squad.

Flying Squad dibentuk daripada anggota pasukan penguatkuasaan yang digilir-gilirkan. Mereka yang dipilih menganggotai Flying Squad akan menjalankan tugasan tersebut selama seminggu sebelum disusuli kumpulan lain.

Zahari memberitahu, buat masa ini, setiap negeri mempunyai enam pasukan penguatkuasaan dan satu pasukan Flying Squad.

Katanya, seramai 240 anggota penguat kuasa bekerja sepenuh masa sementara mereka yang bertugas secara sambilan terlibat dalam kerja-kerja pembangunan dan operasi hutan.

Salah sebuah jentolak yang digunakan untuk membalak secara haram di salah sebuah hutan di Johor.

Mengenai cabaran utama yang dihadapi oleh Flying Squad, Zahari berkata, mereka berdepan dengan ancaman bunuh dan diserang oleh tonto serta penduduk tempatan sendiri.

Katanya, pembalak haram itu mengupah pendatang asing untuk menjalankan aktiviti-aktiviti tidak bertanggungjawab.

“Mereka bersenjata dan berani mati semata-mata untuk mencuri kayu gaharu yang bernilai tinggi serta produk hidupan liar seperti kulit harimau,” katanya.

Sehubungan itu, Zahari berkata, ahli-ahli pasukan biasanya mendapatkan khidmat iringan polis atau tentera untuk tujuan keselamatan semasa menjalankan operasi.

Bukannya mereka tidak bersenjata, tetapi tidak dilatih untuk berada dalam “attack mode”, katanya.

“Sekiranya boleh, mereka tidak sanggup berdepan dengan situasi genting sebegitu.

Oleh itu, mereka meminta bantuan pasukan keselamatan. Kadang-kala, orang kampung atau orang asli sendiri mengugut bunuh anggota kami,” ujarnya.

Sementara itu, mengenai peranan Bahagian Penguatkuasaan di ibu pejabat JP, Zahari memberitahu, bahagian tersebut bertanggungjawab terhadap perlaksanaan dan pemantauan aktiviti-aktiviti penguatkuasaan hutan.

Katanya, ia turut memberi khidmat nasihat dan bantuan teknikal kepada Jabatan Perhutanan Negeri bagi perkara-perkara berkaitan dengan aduan, pengumpulan maklumat dan siasatan mengenai kes-kes kesalahan hutan.

Flying squad Jabatan Perhutanan Malaysia menjalankan operasi di Jeli-Grik pada tahun lalu.

Dalam pada itu, Zahari menyeru semua pihak supaya mengiktiraf sumbangan pegawai dan renjer hutan serta Flying Squad dalam menjaga hutan hujan tropika negara ini.

“Masyarakat mesti ingat usaha untuk mengawal pembalakan haram bukanlah mudah... Sebenarnya ia memerlukan usaha yang banyak daripada pelbagai pihak. Maka sewajarnya mereka diberi pengiktirafan,” katanya.

Sejak dulu hingga sekarang, Malaysia masih dilitupi kawasan hutan sebanyak 50 peratus. Panjang sempadan hutan menurut Zahari, adalah lebih panjang sempadan pantai Semenanjung Malaysia.

Justeru katanya, tugasan menjaga hutan negara adalah sukar lebih-lebih lagi dengan anggota yang terhad.

Beliau menyifatkan golongan tersebut adalah benteng terakhir untuk menjaga khazanah hutan negara.Fakta-fakta bahagian penguatkuasaan hutan, ibu pejabat jabatan perhutanan

> Bahagian Penguatkuasaan Hutan mempunyai 44 anggota dari seksyen pencegahan, risikan, forensik dan unit pentadbiran.

> Bahagian ini ditubuhkan sejak 2002 dan melalui proses penstrukturan semula pada 2009, dengan pegawai ditempatkan di negeri-negeri untuk menjalankan kerja-kerja siasatan.

> Dua hingga tiga orang Penolong Pegawai Hutan berpangkat G27 dan ke atas akan dihantar ke setiap negeri untuk menjalankan tanggungjawab sebagai pegawai penyiasat.

> Mereka akan memantau kes-kes pembalakan haram dan kesalahan hutan seperti melanggar Akta Perhutanan Negara. Antaranya, mengambil hasil hutan tanpa kebenaran, memasuki hutan simpan kekal tanpa kebenaran, menduduki kawasan hutan tertentu tanpa kebenaran serta memiliki hasil-hasil hutan tanpa lesen / membayar cukai.

> Kuasa penguatkuasaan terletak di bawah negeri, iaitu Jabatan Perhutanan Negeri. Pegawai penyiasat tersebut akan melapor dan merujuk kepada Pengarah Perhutanan Negeri masing-masing.

> Ibu pejabat akan membuat laporan dan statistik selain membuat pemeriksaan secara rambang serta memastikan prosedur di setiap negeri adalah seragam. Selain itu, ia memperbaiki sebarang kelemahan pada operasi dan membaiki prosedur operasi standard (SOP).

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: