Wednesday, July 20, 2011

Imej putih dari The Great Gate

Taj Mahal tanda cinta agung Maharaja Shah Jahan terhadap isterinya Mumtaz Mahal.

MUNGKIN menghabiskan masa dengan tidur kerana keletihan menyebabkan perjalanan kereta api dari New Delhi ke Agra dirasakan begitu singkat.

Walaupun tidak sebesar Stesen Keretapi New Delhi namun Stesen Agra Cant sesak dan terdapat penumpang bergelimpangan menunggu ketibaan keretapi api berikutnya.

Berehat selama tiga jam di Hotel Jaypee Palace dan diikuti dengan menikmati makan tengah hari, rombongan diteruskan untuk melihat salah satu keajaiban dunia.

Pintu utama Taj Mahal.

Bayangan penulis mengenai tarikan Agra kembali menerawang di benak fikiran tentang kisah cinta agung seorang maharaja kepada isterinya.

Ia bagaimanapun terganggu apabila riuhnya sekumpulan anak muda di luar bas rombongan yang berhenti di hadapan kaunter tiket ke Taj Mahal.

Mereka sebenarnya merupakan rakyat tempatan yang mencari rezeki dengan menjual pelbagai cenderamata dan kraf tangan kepada para pelancong.

Menunggu bas pelancong dan mengikut pelawat asing dengan pelbagai cara dan pujukan untuk meraih perhatian sudah menjadi kelaziman bagi golongan itu.

Salah satu menara di sudut Taj Mahal.

Penulis teringat antara dialog tipikal mereka; “Sir, after you see the Taj Mahal, please come and look for me. My name is (nama mereka). I wait for you sir.” (Tuan, nanti selepas lihat Taj Mahal, sila datang dan cari saya. Nama saya (nama mereka). Saya akan tunggu tuan).

Memutih dari jauh

Jarak antara kaunter tiket dan pintu masuk ke Taj Mahal sejauh 1 kilometer dan penulis bersama rombongan menaiki trem.

Di pintu masuk Barat terdapat laluan yang memisahkan antara pelawat tempatan dan pelawat asing serta lelaki dan perempuan untuk pemeriksaan keselamatan.

Aksi pengunjung merakam kenangan di Taj Mahal.

Saat paling indah bagi penulis apabila melihat imej Taj Mahal memutih dari jauh sewaktu menyusuri ruang di dalam pintu gerbang The Great Gate yang gelap.

Melepasi ruang itu kemudiannya menyebabkan penulis menarik nafas lega dan bersyukur kerana dapat menyaksikan sendiri Taj Mahal di hadapan mata.

Itulah simbol cinta abadi Maharaja Mughal Shah Jahan terhadap isterinya, Mumtaz Mahal yang meninggal dunia sejurus melahirkan anak mereka yang ke-14.

Taj Mahal dibina selama 22 tahun dari tahun 1631 sehingga 1653 melibatkan tenaga kerja seramai lebih 20,000 orang.

The Great Gate pintu masuk ke Taj Mahal.

Di sini ramai pula yang menawarkan diri sebagai jurugambar profesional yang memberi khidmat fotografi termasuk mencetaknya pada kadar segera.

Salah seorang daripada mereka tampil ke hadapan sambil mengeluarkan album gambar dari dalam beg sebagai portfolio yang memperlihatkan hasil kerjanya.

Ada gambar yang melompat, berdiri di atas bangku malah terdapat juga gambar yang menunjukkan reaksi seolah-olah mengangkat kubah Taj Mahal.

Jauh lebih kecil

Sebelum memasuki pintu utama Taj Mahal, setiap pelawat perlu mengikut laluan yang mengelilingi monumen itu dan terdapat Sungai Yamuna di belakangnya.

Ruang dalam Taj Mahal jauh lebih kecil berbanding dengan apa yang dilihat dari luar namun ia mungkin disebabkan oleh bahagian lain tidak dibuka untuk orang awam.

Di dalamnya begitu gelap dan hanya diterangi oleh cahaya matahari dari pintu masuk dan beberapa bahagian yang sememangnya direka untuk pencahayaan semula jadi.

Imej Taj Mahal dari dalam The Great Gate.

Walaupun keadaan begitu gelap tetapi penulis masih dapat melihat di sebalik pagar yang berukiran di tengah-tengah itu terdapat makam Shah Jahan dan Mumtaz.

Taj Mahal turut dihiasi dengan pelbagai corak flora dan jika dilihat secara teliti ia bukan lukisan sebaliknya adalah kepingan marmar yang digabung dan ‘ditanam’ di dinding untuk menjadikannya sebagai satu kelopak bunga.

Keindahan itu menyebabkan mitos mengenai Shah Jahan telah memotong tangan pengukir dan arkiteknya supaya mereka tidak akan mencipta atau membina monumen lain yang sama cantik atau lebih cantik daripada Taj Mahal.

Penulis mengakui tersergamnya Taj Mahal begitu indah namun pasti lebih menarik sekiranya dapat melihat kecantikannya lebih menyerlah pada waktu fajar atau senja.

Cuaca panas membahang pada suhu kira-kira 40 darjah selsius di Agra ketika itu menyebabkan bekalan air mineral yang dibawa masuk tidak mencukupi.

Riak wajah masing-masing jelas menggambarkan kepenatan dan kehausan namun berbayar dengan pengalaman menjejakkan kaki ke Taj Mahal yang mengujakan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: