SELEPAS bergelar graduan dari UKM pada 1992, dia memulakan kerjaya dengan sebuah syarikat optometri tempatan sebelum menjadi pengurus sebuah syarikat dari Jepun. Empat tahun kemudian, dia membuka kedai cermin mata sendiri dikenali sebagai Citi Care Sdn Bhd.
Satu hari, seorang pelanggan yang pernah berurusan dengannya bertanya mengapa dia tidak mempelbagaikan bentuk perniagaan.
Bertitik tolak dari situ, Siti Mariam Abdullah mengorak langkah berani menceburi perniagaan berkaitan bidang tayar dan rim aloi, sekali gus mendominasi bidang yang bukan saja jarang dikuasai wanita, bahkan orang Melayu, dengan melakar Clear Insight Sdn Bhd (CITech) di Cheras, Kuala Lumpur pada 1998.
Pada mulanya sudah pasti mendapat tentangan hebat, bahkan dianggap ‘tidak masuk akal’, namun wanita yang ‘pantang dicabar’ ini mencetus sifat berani dalam diri untuk mengorak langkah bergelar usahawan dengan menguasai bidang berkenaan.
Bercerita lebih lanjut mengenai dirinya, wanita berusia 42 tahun ini mengakui kejayaan pertama diraihnya adalah mengeluarkan rim bagi empat model kereta Naza iaitu Kia Sorento, Peugeot 206, Kia Picanto dan Kia Carnival dengan kapasiti pengeluaran setiap bulan adalah 26,000 unit bersamaan RM3.8 juta sebulan.
Manakala pada 2008, dia mendapat kontrak menyediakan rim untuk syarikat Proton bagi kereta Exora.
Terbaru, Mariam yang mendapat jolokan Lady Mafia sekali lagi diberi kepercayaan menyediakan rim aloi bagi kereta Saga FL atas keunggulan syarikatnya menghasilkan produk berkelas dunia.
Yang membanggakan, kilangnya yang beroperasi di Sungai Petani kian meningkat kemajuan dengan bilangan 53 kakitangan menambah keyakinan untuk lebih berjaya, seterusnya mampu menembusi pasaran antarabangsa.
“Terus-terang saya katakan, kebanyakan pengusaha aksesori kereta dikuasai bangsa asing tetapi saya yakin pertaruhan terbaik adalah kegigihan dan berusaha tanpa jemu.
“Begitu juga kualiti produk, harus mengikut spesifikasi atau piawaian ditetapkan dan saya bertuah kerana kebanyakan produk keluaran CITech mendapat pengiktirafan badan antarabangsa seperti Germany TUV.
“Di kalangan syarikat yang pernah terbabit dalam industri ini, hanya syarikat saya mendapat pengiktirafan itu. Saya pula satu-satunya wanita Melayu bertudung dan sentiasa turun padang demi mencari pusat servis atau kereta, terutama usahawan Melayu, supaya sedia menggunakan rim aloi keluaran syarikat saya.
“Untuk jaminan kualiti, saya memanfaatkan teknologi Jerman daripada penggunaan mesin berteknologi tinggi robot iaitu yang pertama diperkenalkan di Malaysia untuk pembuatan rim aloi,” katanya yang mengakui kebanyakan produk keluaran syarikatnya mendapat pengiktirafan sijil ISO9001:2000.
Mengimbau kenangan ketika syarikat mula beroperasi, dia mengakui bukan mudah meyakinkan orang di sekelilingnya bahawa dia mampu menjalankan perniagaan itu.
Lebih membanggakan ialah perkembangan syarikatnya yang drastik hasil kegigihan tanpa mengenal penat lelah, di mana sejak 2005 CITech menjadi syarikat sepenuhnya mengeluarkan tayar dan rim kepada Naza.
Ditanya bagaimana dia memulakan perniagaan, Siti Mariam berkata, dia hanya menumpang tapak kedai cermin matanya iaitu Citi Care Sdn Bhd pada 1998 dan diikuti Clear Insight Sdn Bhd dua tahun kemudian di Cheras kerana belum ada premis tetap ketika itu.
Dengan bergolok-gadai sebaik menerima tawaran pertama menyediakan rim aloi untuk syarikat Naza, dia mengerah seluruh kudratnya demi merealisasikan impian hinggalah ia kini muncul antara syarikat disegani ramai.
Pada awal penubuhan syarikat, dia tidak menafikan terpaksa melalui pengalaman getir dan hampir tiga bulan bermasam muka dengan keluarga kerana keputusannya itu, namun akhirnya semua masalah ditangani sebaik mungkin. Padanya, yang penting adalah tidak pernah patah semangat walau seribu perkara menghalang.
Siti Mariam mengakui dia keras hati dan jika inginkan sesuatu, dia akan memanipulasi sebaik mungkin bagi mencapai apa dihajati.
Dia tidak tahu dari mana datangnya ‘kekuatan’ itu kerana keyakinannya tinggi, selain nawaitu yang baik membuatkan dia terus melangkah dengan penuh keyakinan.
“Bidang ini memerlukan modal besar dan pelaburan terawal adalah RM11 juta. Disebabkan saya berkeyakinan tinggi, saya tidak pedulikan cabaran yang mendatang.
“Soal turun naik bank, bertemu banyak pihak, terutama golongan atasan, untuk mendapatkan kontrak bukan mudah dilaksanakan jika kita tiada kekuatan.
“Tidak kurang juga pentingnya, seseorang itu mesti ada karakter atau sifat dalaman kuat, di samping jangan cepat mengalah. Oleh kerana cabaran datang dalam pelbagai bentuk yang kadangkala tidak terfikir oleh akal, kita kena sabar dan ada jati diri kuat,” katanya, seolah-olah menutupkan rahsia kejayaannya untuk dikongsi bersama.
Paling tidak dilupakan adalah bentuk persaingan sehingga kadangkala mengancam keselamatan diri dan orang lain yang sangat penting dalam kehidupannya.
“Sesuatu yang tidak mungkin dilupakan sepanjang hidup saya adalah pengalaman anak perempuan hampir diculik di sekolah. Nasib baik guru menghubungi dan bertanyakan orang tidak dikenali itu, menyebabkan lelaki itu terus menghilangkan diri.
“Di sinilah ‘kekuatan diri’ teruji dan kita kena kuat untuk menghadapi segala bentuk dugaan mendatang. Yang harus diletakkan di depan adalah berusaha keras dan reda serta bersyukur dengan anugerah Allah,” katanya.
Siti Mariam juga gembira suaminya, Shamsul Shahrin, 46, bekas pengurus perbankan kini mengendalikan perniagaan kedai cermin matanya, sementara dia pula menguruskan perniagaan tayar dan rim aloi.
PROFIL
NAMA: Siti Mariam Abdullah
JAWATAN: Pengarah Urusan Clear Insight Technology Sdn Bhd (CITech)
LAHIR: 28 Mei 1969
ASAL: Klang, Selangor
SUAMI: Shamsul Shahrin
ANAK: Saifuk Syazni (18) dan Siti Nurdiana (13)
ADIK-BERADIK: Bongsu daripada dua beradik
PENDIDIKAN: Ijazah Sarjana Muda Optometri, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)
Company ni dah ada hutang berjuta juta.....
ReplyDelete