PERGUNUNGAN SALJI...pemandangan mempesonakan di pinggir Almaty.
PENGALAMAN makan angin sambil bertugas di negara unik seperti Kazakhstan yang baru 20 tahun merdeka daripada Soviet Union memang membuka minda serta pengetahuan penulis kepada sesuatu yang segar.
Antaranya, dek kerana jauh daripada tujuh lautan, rakyat Kazakhstan yang juga negara Islam paling sayup di Hemisfera Utara tiada pilihan lagi selain memakan lebih banyak daging.
Bekalan ikan cuma mampu diperoleh daripada Laut Kaspia atau dipukat dari sungai yang mengalir di tengah benua.
Secara berjenaka, rakyatnya akui mereka adalah ‘makhluk kedua’ di muka bumi yang paling banyak makan daging selepas serigala!
Bukan saja daging kambing, lembu, unta dan ayam, malah rakyat Kazakhstan sejak zaman nenek moyang mereka yang hidup sebagai bangsa nomad, berbangga dengan hidangan daging kuda!
Dengan erti lain, tidak lengkap kunjungan tetamu ke Kazakhstan andai tidak menjamah daging kuda dalam pelbagai resipi. Jangan pula menyangka daging itu daripada kuda lumba atau yang jinak dibela, sebaliknya memang diternak khusus di negara itu yang sinonim dengan padang rumput hawa sederhana (steppe).
Sebagai negara Islam, daging ternakan untuk golongan Muslim di negara itu diproses secara halal dan menariknya, ia mengikuti garis panduan yang dirujuk kepada pihak tertentu termasuk Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim). Kerjasama erat itu terjalin melalui beberapa kunjungan ahli jawatankuasa halal dari Kazakhstan ke Malaysia.
Pengambilan daging yang banyak oleh rakyat negara itu juga sebenarnya dipengaruhi faktor iklim kerana cuaca memang dingin pada musim sejuk, di mana suhu boleh jatuh ke paras 30 darjah Celsius di bawah paras beku.
Kita sedar rata-rata orang Asia Tenggara akan mendapat pelbagai penyakit jika makan terlalu banyak daging namun di sana, pemakanannya diseimbangkan dengan pengambilan susu segar sendiri selain salad mahupun buah-buahan.
Itulah antara pesanan awal buat mereka yang ingin melawat Kazakhstan yang semakin rapat menjalin hubungan dua hala dengan Malaysia. Jarak antara Kuala Lumpur dengan Almaty kini semakin dekat dengan adanya penerbangan secara terus ke bandar raya itu dengan Air Astana.
Menerusi undangan Duta Kazakhstan ke Malaysia, Beibut Bakir Atamkulov, penulis dan rakan wartawan dari Kumpulan Media Prima Berhad meluangkan masa seminggu bermula Jun lalu bagi melihat keunikan negara itu.
Daripada sudut geografi, Republik Kazakhstan adalah negara kesembilan terbesar di dunia tetapi cuma didiami 16 juta penduduk.
Negara itu terletak di Asia Tengah, bersempadan dengan Russia, China, Kyrgyzstan, Uzbekistan dan Turkmenistan. Daripada segi sejarah, ia sungguh istimewa kerana terletak di Laluan Sutera yang penting dalam tamadun dunia.
Daripada sisi teknologi, Kazakhstan sudah lama meneroka ruang galaksi. Hakikat ini kerana mereka memiliki pusat pelancaran roket tertua, Baikonur Cosmodrome. Di situlah angkasawan pertama dunia, Yuri Alekseyevich Gagarin dari Russia mula-mula diterbangkan ke angkasa lepas untuk melancarkan satelit Sputnik pada April 1961.
Pada Oktober 2007 pula, Malaysia akhirnya memanfaatkan kecanggihan Baikonur Cosmodrome apabila menghantar angkasawan pertama, Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor ke stesen angkasa lepas dengan roket Soyuz TMA-11.
Dalam lawatan tempoh hari, kami termasuk dua kru Majalah 3 bertumpu kepada dua bandar raya paling besar, Almaty dan ibu negaranya, Astana yang jarak dua jam lagi penerbangan ke utara Almaty.
Secara kasarnya, perbezaan utama antara Almaty dan Astana adalah daripada segi lanskap dan seni bina. Almaty dengan populasi 1.5 juta penduduk memiliki keindahan semula jadi dengan gunung-ganang bersalji dan tasik, manakala Astana pula bandar raya moden abad ke-21 yang sangat terancang ilham kerajaan pimpinan mereka, Presiden Nursultan Nazarbayev.
Antara lokasi menarik di Almaty adalah pusat peranginan ski bertaraf dunia di Symbulak. Pelancong perlu menaiki kereta kabel ke puncak ski yang mempesonakan itu dan dalam perjalanan, boleh melihat stadium sukan luncur air terkemuka di dunia, Medeu yang dibina di sebuah lembah.
Bagi yang suka membeli cenderahati, pelbagai kraftangan dijual di Kok-Tobe yang terletak di sebuah puncak bukit. Almaty juga ada sebuah pasar basah yang sangat bersih, Green Bazaar. Ia menawarkan pelbagai produk pertanian seperti daging, sayuran, buah-buahan dan bunga-bungaan.
Bercakap mengenai bunga, seperkara yang menarik, ramai tidak tahu bahawa tulip sebenarnya berasal dari Kazakhstan tetapi akhirnya dibawa ke Belanda. Di samping itu, pedalaman Kazakhstan menjadi habitat kepada burung undan berwarna merah jambu, beruang coklat, harimau bintang salji serta helang emas yang gagah.
Berbeza pula dengan Astana yang berpopulasi 800,000 penduduk, ia terbentang sebagai pusat pentadbiran terancang seperti mana Putrajaya.
Ia dipenuhi seni bina yang sungguh hebat hasil sentuhan ramai arkitek dari dalam dan luar negara yang berlumba-lumba melahirkan kreativiti.
Antara binaan paling unik di Astana adalah Menara Baiterek yang secara simboliknya berbentuk telur, pokok dan sarang burung samrud. Ia setinggi 105 meter dan paling ideal untuk melihat pemandangan bandar itu.
Binaan unik lain adalah kompleks hiburan dan pusat beli-belah Khan Shatyr yang berbentuk khemah nomad, The Metropolitan Circus (piring terbang gergasi) dan Istana Keamanan & Harmoni yang meminjam reka bentuk piramid.
Di bandar itu juga ada banyak tugu peringatan yang cantik, kompleks kerajaan, istana presiden, stadium bola sepak dan sukan ais, universiti, kompleks kebudayaan, pusat konvensyen, hotel lima bintang hinggalah sebuah kompleks marin atau akuarium yang dinamakan Duman.
Pembangunan bertaraf mega di Astana jelas menampakkan visi serius kerajaan mereka yang mahu menaikkan imej negara Islam di Asia Tengah.
Yang menarik, tanggal 6 Julai setiap tahun diraikan sebagai Hari Astana sejak ia menjadi ibu negara Kazakhstan pada 1997.
Selain Almaty dan Astana, dalam dekad akan datang Kerajaan Kazakhstan ingin membina sebuah bandar raya hiburan baru yang menelan belanja berbilion dolar tidak jauh dari Almaty. Nyata mereka mahu mengubah imej steppe yang dulunya gersang menjadi lubuk emas yang tidak pernah difikirkan manusia.
Seperkara yang nyata, jika di bawah pemerintahan Soviet Union, Islam diamalkan secara lebih ‘privacy’ namun sejak merdeka pada 1991, masjid menjadi kebanggaan rakyat Kazakhstan kerana terbinanya lebih 2,000 masjid di seluruh republik itu.
Antara masjid yang menjadi mercu tanda adalah Masjid Nur Astana dengan kubah keemasan serta Central Mosque di Almaty. Mereka mengamalkan Islam secara sederhana mengikut Mazhab Hanafi.
Sebagai anggota Pertubuhan Negara-Negara Islam (OIC), Kazakshtan semakin aktif menganjurkan pelbagai forum Islamik setiap tahun.
Yang dapat dikatakan, dalam tahun mendatang, Kazakhstan bersandarkan kepakaran teknologi serta hasil bumi seperti minyak, gas asli, uranium serta hasil perladangan, terutama gandum, tidak mustahil menjadi negara Islam termaju di Asia Tengah.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: