Sunday, July 3, 2011

Pesona busana Muslim di Astana


Satu lagi persembahan rekaan Kuralai Nurkadilova.


PEMBANGUNAN pesat bandar futuristik Astana, Kazakhstan dengan keunikan senibinanya menjadi saksi perjalanan Festival Fesyen Islam (IFF) ke-13 sempena Forum Ekonomi Dunia Islam (WIEF) baru-baru ini.

Terpilih sebagai perhentian pertama di Asia Tengah, debut IFF di negara kesembilan terbesar di dunia itu merupakan kejayaan besar penganjur apabila mampu mengatasi cabaran dalam dua pertunjukan untuk tempoh singkat.

Kehangatan musim panas yang baru menjengah, rata-rata bagaikan berpesta berpakaian mini dan terdedah sekali gus menjadi busana muslim agak asing di bumi Kazakhstan.

Pengerusi IFF, Datuk Raja Rezza Shah mengakui fesyen Islam atau busana muslim amat baru di Kazakhstan meskipun 70 peratus rakyat negara itu beragama Islam bermazhab Imam Hanafi.

Itu antara sebab negara itu dipilih sebagai misi untuk mendekatkan masyarakatnya dengan keindahan Islam bermula dengan cara berpakaian.

‘‘Mungkin ada yang mempertikaikan pemilihan seperti Monte Carlo dan juga Kazakhstan yang merupakan negara sekular, tetapi inilah cara kita mendekatkan Islam kepada mereka melalui fesyen.

‘‘Sekurang-kurangnya mereka yang tidak tahu tentang Islam diberikan pendedahan apa itu fesyen Islam berbanding dengan negara atau masyarakat yang sudah sedia maklum serta mengamalkan ajaran Islam,”jelasnya.

Beliau bagaimanapun mengakui bahawa IFF yang sepatutnya sudah memasuki era matang dalam selok-belok penganjuran pertunjukan fesyen terpaksa menghadapi cabaran seperti seolah-olah baru bermula di Kazakhstan.

Bagaimanapun, berbekalkan pengalaman lalu serta keinginan jitu untuk memartabatkan busana muslim, kesukaran berkomunikasi ditambah dengan pelbagai masalah lojistik mampu diatasi menjadikan majlis berjalan dengan sempurna.

‘‘Misi IFF adalah melebarkan sayap seluas mungkin tanpa mengira bangsa dan agama. Melalui IFF diharap dapat mengetengahkan sesuatu yang kurang didedahkan sebelum ini, iaitu keindahan dan kelembutan Islam,’’ katanya.

Bertemakan ‘Discover The Beauty of Modesty’ pertunjukan selama tiga jam di Hotel Rixos President turut diserikan dengan kehadiran Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor serta anak presiden Kazakhstan yang juga Ketua Pengarah Tabung Presiden, Dariga Nursultanovna Nazarbayeva.

Menyaksikan lebih 60 rekaan daripada tujuh pereka dengan tema masing-masing, penonton termasuk kerabat diraja, diplomat dan selebriti buat seketika bagaikan terpukau dengan santapan mata yang begitu mempersona.

Bagi mereka yang baru dalam industri busana muslim, tiga pereka dari Kazakhstan perlu diberi pujian berikutan kemampuan menghasilkan rekaan yang kontemporari serta punyai gaya serta cita rasa tersendiri.

Kuralai Nurkadilova, pereka dari Almaty yang mula berjinak-jinak dengan fesyen Islam menampilkan himpunan Nisa, iaitu gabungan hijab dengan rekaan terkini dengan pelbagai gaya, paten, warna yang mampu membantu wanita untuk tetap bergaya dengan cara yang dibenarkan agama.

Wanita yang pernah memegang jawatan Pengarah Eksekutif Majlis Fesyen Kebangsaan Republik Kazakhstan itu mengkaji tema serta tuntutan syarak dalam berpakaian apabila permintaan untuk busana muslim yang diterima Fashion House Kuraila semakin bertambah.

‘‘Koleksi busana muslim Nisa memenuhi tuntutan menutup aurat di samping bergaya dengan sulaman dan hiasan yang menyerlahkan lagi keindahan busana muslim,” katanya.

Berbeza dengan Kuraila, Balnur Assanova yang juga dari Almaty tampil dengan gabungan rekaan moden berinspirasikan elemen dahulu kala dalam koleksi bertemakan East Bazaar.

Pereka ini mengangkat ukiran patung, geometri serta tumbuh-tumbuhan Asia kuno sebagai hiasan ditambah dengan sulaman tangan mewah dengan manik serta batu permata yang dijahit menggunakan teknik lama.

Pereka dari Astana, Kapiya Kadyrovna Narikbayevna pula tampil dengan koleksi musim panas 2011 bertemakan ‘Nurhayat” atau ‘Cahaya kehidupan’ untuk ke pejabat, majlis kasual serta pakaian pengantin berasaskan sutera, benang bulu, linen dan fabrik campuran Itali.

Pereka dari Indonesia, Itang Yunazs menghasilkan rekaan bertema ‘Illumination’ dengan koleksi berinspirasikan jubah dengan permainan warna asli seperti hijau pokok, biru laut, unggu bunga dan merah jambu buah.

Datuk Tom Abang Saufi yang terkenal dalam rekaan corak batik dan etnik pula muncul dengan koleksi Zahir, iaitu Islam yang berkembang mekar dalam dunia moden hari ini.

Berlandaskan keindahan dalam kesederhanaan melalui cara berpakaian sebagai permulaan, Zahir menampilkan himpunan berasaskan sutera dengan memilih warna unggu, magenta, hitam dan merah yang merupakan warna laluan sutera.

Pereka yang tidak kurang hebat di Malaysia, Melinda Looi pula mempersembahkan 20 rekaan bertemakan The Colours Of Bejewelled Mahajara dengan mengangkat warna putih sebagai lambang kesucian.

Persis pakaian dalam ‘Hikayat 1001 Malam’, himpunan berinspirasikan persalinan raja dan para isteri yang jelita ini menggunakan fabrik sutera Eropah dengan hiasan swarovski digabungkan fabrik songket diraja Terengganu dengan sulaman serta campuran warna terang.

Tidak ketinggalan, koleksi baju renang muslim untuk wanita, lelaki serta kanak-kanak rekaan Nuraini Mohd. Ariffin dari Aktif Bestari turut dipertontonkan sebagai kelainan untuk masyarakat Kazakhstan.

Belajar daripada kesilapan yang mengundang kontroversi sebelum ini, penganjur begitu teliti dari segi penjagaan aurat oleh model-model Kazakhstan pastinya tidak pernah mengayakan busana muslim.

Ia terbukti oleh kesungguhan Andrew Tan daripada Andrews Models membuat persediaan dengan pelbagai kelengkapan yang dibawa sendiri seperti stokin, anak tudung, tudung dan suit badan.

Majlis berprestij ini dikendalikan oleh pengacara popular, Henry Golding dilengkapi dengan persembahan bertenaga oleh ratu saprano Malaysia, Shafinaz Selamat.

IFF yang bakal berlangsung di London pada 25 Julai ini, selepas Kazakhstan dan Bandung, Indonesia dijangka meneruskan debut di Arab Saudi pada tahun depan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: