Mereka ada ‘kaki’ di merata tempat tetapi pada kebanyakan masa Renjer juga berjaya menjejaki dan menangkap mereka...
Datuk Razani Ujang.JABATAN Perhutanan Semenanjung Malaysia bertanggungjawab kepada pengurusan, perancangan, perlindungan dan pembangunan kawasan Hutan Simpanan Kekal (HSK) selaras dengan Dasar Perhutanan Negara (DPN) 1992 dan Akta Perhutanan Negara (APN) 1984.
Ini termasuklah menguatkuasakan undang-undang dan mencegah hasil hutan Semenanjung Malaysia daripada dibawa keluar secara haram serta mencegah kegiatan pembalakan haram.
Dalam pertemuan eksklusif dengan Mingguan mStar, Ketua Pengarah Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia, Datuk Razani Ujang telah menceritakan modus operandi sindiket pembalakan haram serta taktik yang mereka gunakan untuk mengelak daripada ditangkap kepada ROZAID A. RAHMAN & AU YEONG HOW.
Boleh Datuk jelaskan serba sedikit apakah yang dimaksudkan dengan hasil hutan.
DATUK RAZANI: Dalam akta, apa yang dimaksudkan dengan hasil hutan ialah apa yang terkandung di dalam hutan simpan seperti kayu-kayan, balak dan sebagainya.
Malah ramai yang tidak tahu bahawa tahi kelawar (guano) sekali pun adalah terkandung dalam kategori hasil hutan. Hendak mengeluarkannya memerlukan lesen terlebih dahulu.
Begitu juga dengan balak. Balak ialah hasil hutan simpan, hutan tanah milik dan hutan kerajaan. Bagi hutan tanah milik, kayu balak adalah milik pemilik tanah itu.
Tetapi dia memerlukan lesen untuk memindahkan balak dari kawasan tersebut. Untuk tujuan apa, tak kiralah... mungkin untuk jualan atau untuk buang sekali pun, masih memerlukan permit atau lesen. Ini dipanggil lesen memindah (Removable Licence). Kalau nak jual, pun perlukan permit tersebut.
Apakah tujuan kerajaan buat peraturan ini?
Untuk mengawal pergerakan hasil itu sendiri dan pelesenan itu adalah untuk kutipan hasil. Untuk tanah milik, kita tak kutip premium sebaliknya kita cuma kutip cukai sahaja.
Sebaik sahaja pemilik tanah itu memindahkan balak atau kayu yang ditebang dari tanahnya, kita kutip cukai (royalti). Dia tidak perlu membayar premium.
Tapi kalau hutan simpan/tanah kerajaan, kalau seseorang pelesen itu mahu keluarkan balak, dia perlu bayar premium. Dan modus operandinya ialah kalau hutan simpan dan tanah kerajaan, Exco Kerajaan Negeri perlu terlebih dahulu memberikan kelulusan dan dalam kes-kes tertentu ia adalah di bawah kuasa Menteri Besar.
Jadi kuasa pengarah hutan mengikut Akta, cuma boleh meluluskan lesen untuk tanah milik sahaja.

Tanah milik tidak besar, cuma satu atau dua ekar sahaja. Kalau orang memohon hendak mengeluarkan balak, pengarah hanya boleh luluskan selepas mendapat kebenaran daripada Exco Kerajaan Negeri atau Menteri Besar.
Pandangan secara menyeluruh mengenai kecurian hasil hutan di Malaysia.
Di Semenanjung Malaysia, peratusan pengeluaran balak daripada kegiatan pembalakan haram adalah terlalu kecil dan langsung tidak siknifikan jika dibandingkan jumlah isipadu pengeluaran kayu balak sebenar.
Berasaskan kepada Perangkaan Perhutanan Semenanjung Malaysia, peratusan isipadu pengeluaran kayu balak haram adalah dalam lingkungan 0.03% hingga 0.23% dalam tempoh tahun 2005 hingga 2008 jika dibandingkan dengan isipadu pengeluaran kayu balak sebenar bagi tahun berkaitan seperti yang ditunjukkan dalam Jadual 1.
Modus operandi sindiket mengenai kecurian hasil hutan. Adakah fenomena ini serius?
Hasil risikan dan siasatan Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia mendapati bahawa modus operandi sebahagian besar pembalakan haram menjurus kepada pembalakan haram yang didalangi oleh rangkaian sindiket (organised syndicate).
Modus operandi yang digunakan sindiket berkenaan menunjukkan perancangan yang tersusun, berani dan menggunakan perkhidmatan ”tonto”, komunikasi canggih dan taktik ”diversion”.
Taktik ini lazimnya digunakan dalam kes pembalakan haram di mana semasa pegawai Jabatan Perhutanan membuat kerja-kerja penguatkuasaan dan penyitaan jentera-jentera, mereka dihalang oleh pihak tertentu yang berpengaruh dengan cara membawa senjata api dalam keadaan yang menimbulkan anggapan yang munasabah bahawa pihak itu bertujuan atau akan menggunakan senjata api untuk apa-apa tujuan yang salah.
Berdasarkan seksyen 33, Akta Senjata 1960 (Akta 206), perbuatan pihak tersebut merupakan suatu kesalahan.
Secara amnya, Jabatan Perhutanan Semenjung Malaysia telah mengenalpasti bahawa sindiket-sindiket pembalakan haram menggunakan strategi berikut:
> Mengetahui dan mempunyai maklumat yang tepat mengenai kedudukan persempadanan Hutan Simpanan Kekal dan Tanah Kerajaan /Tanah Berimilik;

> Meletak jentera jentera di luar kawasan Hutan Simpanan Kekal supaya tidak dikaitkan dengan pencerobohan Hutan Simpanan Kekal;
> Mengetahui lokasi-lokasi strategik menebang pokok yang bernilai serta bermutu tinggi;
> Mengetahui jalan pengeluaran untuk digunakan bagi mengeluarkan balak;
> Mengupah ”tonto” untuk mengawasi pergerakan kakitangan Jabatan dan
> Mempunyai jalinan perhubungan (networking) yang baik dengan segelintir pengusaha kilang-kilang kerja kayu yang sanggup menerima kayu-kayu balak haram.
Bagaimana pencuri balak ini tahu kedudukan pokok yang bernilai tinggi dan sempadan kawasan ini?
Satu perkara yang pasti ialah pencuri-pencuri balak ini bukan sebarangan orang dan mereka tahu apa yang mereka lakukan.
Dalam perkataan yang lain mereka kenal pokok mana yang berharga dan ada nilai komersial. Malah mereka menggunakan satelit untuk mengenalpasti kawasan. Mereka buat kerja pada waktu malam di tengah-tengah hutan dan keluarkan balak pun pada waktu malam juga.
Inilah masalah kita... malah ada kekangan dari segi keselamatan juga. Walaupun kita ada bekalkan senjata kepada renjer tetapi tidak memadai.

Tetapi dalam pindaan pada akta yang sedang kita lakukan sekarang, kita memohon dimasukkan peruntukan yang membenarkan renjer kita membawa senjata api pada bila-bila masa dan menggunakannya apabila perlu.
Saya juga telah arahkan renjer-renjer kita, jangan buat operasi menggunakan sebuah kenderaan.
Mesti guna dua buah kenderaan supaya jika berlaku sebarang kejadian yang tidak diingini, sebuah kenderaan lagi boleh keluar mendapatkan bantuan.
Secara umumnya saya boleh katakan aktiviti dan pergerakan sindiket ini agak tersusun, mereka tahu dan mengenali pergerakan kita luar dan dalam dan mereka menggunakan tonto untuk menjejaki operasi kita.
Maksud Datuk, ada kerja orang dalamkah?
Saya pun tidak nafikan orang dalam (Jabatan Perhutanan) turut main peranan. Yang pasti, sindiket ini semua ada maklumat yang mereka perlukan untuk mencuri balak.
Mereka mesti ada ’kaki’. Sebagaimana kita buat rondaan, mereka pun lakukan rondaan.
Sudah tentu kita juga tidak menafikan industri itu sendiri turut berperanan dalam soal pembalakan haram. Mereka perlukan bekalan.
Kalau ada permintaan sudah tentu ada penawaran. Sebab itulah operasi kita turut meliputi kilang-kilang kayu dan papan di seluruh negara.
Setiap kayu yang dibawa keluar dari hutan ada lognya. Kita cek sama ada log yang ada di kilang sama atau tidak dengan log kita.
Tapi operasi seperti ini bukan mudah. Kita tidak berupaya meronda 24 jam. Jadi saya ingin memuji pegawai dan kakitangan saya kerana mereka bekerja tidak kira waktu siang atau malam dalam hutan dan tepi jalan untuk membanteras pembalakan haram.
Kami cuba lakukan yang terbaik di sebalik semua kekangan ini.
Statistik Tangkapan, Rampasan Kompaun dan Gantirugi, Rampasan Mesin dan Jentera Berat:
Daripada tahun 2006 sehingga 2009, seramai 144 orang telah ditangkap kerana terlibat dalam kegiatan pembalakan haram, manakala banyak 226 unit mesin dan jentera berat telah dirampas oleh Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Perhutanan.
Kutipan kompaun dan gantirugi yang telah dikenakan kepada pesalah dan pencuri hutan dalam tempoh berkenaan adalah sejumlah RM11.2 juta.
Bilangan tangkapan, rampasan kompaun dan gantirugi, rampasan mesin dan jentera berat yang melibatkan kes pembalakan haram dari tahun 2006 hingga 2009 adalah seperti Jadual 2:
Tindakan dan hukuman mengikut Akta Perhutanan Negara di atas kesalahan-kesalahan hutan:
Tindakan-tindakan yang telah dilaksanakan oleh Jabatan Perhutanan Semenanjung untuk membanteras pembalakan haram antaranya :
a. Penubuhan pasukan flying squad di peringkat Ibu Pejabat dan negeri serta pasukan penguatkuasa hutan di peringkat daerah bagi mempertingkatkan rondaan ke kawasan Hutan Simpanan Kekal dan Tanah Kerajaan.
b. Aktiviti pemantauan dilaksanakan ke atas setiap kawasan lesen pengusahasilan hutan dengan menggunakan borang MS ISO 9001:2000 yang perlu dilengkapkan bagi mematuhi Piawaian Pelaksanaan dalam pelaksanaan Kriteria dan Petunjuk Malaysia (MC&I). Setiap kawasan lesen pengusahasilan hutan juga telah mengamalkan penggunaan kod warna untuk papan tanda yang dipasang di setiap lesen dengan maklumat tertentu seperti nombor lesen, nama kontraktor, tempoh kuatkuasa lesen bagi kawasan pembalakan dalam Hutan Simpanan Kekal, Tanah Kerajaan atau Tanah Beri Milik.
c. Mengukuh dan memperkemaskan lagi pelaksanaan Akta Perhutanan Negara 1984 di semua negeri di Semenanjung Malaysia di mana Jabatan Perhutanan Semenanjung Malysia telah mengambil inisiatif untuk menyeragamkan kadar-kadar kompaun dan ganti rugi bagi kesalahan hutan. Dalam hubungan ini, satu pekeliling telah diedarkan pada tahun 2006 dan berkuatkuasa 15 Julai 2006 sebagai panduan untuk menetapkan kadar kompaun dan ganti rugi.
d. Memberikan galakan kepada pemberi maklumat untuk kes kesalahan hutan dengan menyediakan peruntukan ganjaran wang tunai sebagai insentif kepada pemberi maklumat.
e. Melaksanakan projek kerjasama dengan Pusat Remote Sensing Negara (MACRES) bertujuan meningkatkan penggunaan remote sensing dalam sektor perhutanan terutama untuk mengesan aktiviti pembalakan haram.
f. Bagi memantapkan lagi pengetahuan pegawai-pegawai Jabatan Perhutanan Negeri bagi tujuan penguatkuasaan, penyiasatan serta pendakwaan kes, kursus dan latihan dengan kerjasama Institut Latihan Kehakiman dan Pendakwaan (ILKAP) dan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) diadakan secara berterusan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: