Friday, July 1, 2011

Pemandu pelancong ensiklopedia bergerak


Erina sedang menceritakan sejarah lama Kuala Lumpur kepada pelancong.


GAYANYA ibarat ketua yang mengetuai satu kumpulan pelancong yang taat mendengar setiap penerangan dan penjelasan.

Setiap gerak pasti akan dituruti oleh ahli kumpulan dalam menyelusuri tempat-tempat menarik sambil mulutnya petah menerangkan asal-usul dan sejarah sesuatu tempat yang menjadi persinggahan.

Itulah kelebihan dan kekuatan yang terdapat pada pemandu pelancong dalam 'menjual' destinasi pelancongan tempatan kepada para tetamu luar yang menjadi pelanggan mereka.

Ibarat ensiklopedia bergerak, setiap maklumat mengenai sesuatu tarikan bagai berada di hujung jari.

Mereka juga adalah pencerita yang hebat hingga mampu menggambarkan semula sesuatu kejadian yang membabitkan sesuatu tempat hanya melalui penceritaan.

Sebab itu khidmat pemandu pelancong amat diperlukan. Mereka bukan sahaja sebagai petunjuk arah tetapi pelengkap kepada industri pelancongan negara.

Percutian tentunya tidak sempurna apabila pengembaraan di sesuatu kawasan tidak disertai dengan celoteh pemandu pelancong.

Bayangkan jika anda ke negara asing, pasti berasa teragak-agak untuk berjalan kerana tidak mahir dengan selok- beloknya.

Jika tahu selok-beloknya sekalipun tanpa bantuan pemandu pelancong kita tidak dapat memahami dan menyelami kewujudan sesuatu produk pelancongan itu secara mendalam.

Biarpun dengan ledakan teknologi seperti Sistem Penentu Kedudukan Global (GPS) dan peta di kawasan boleh mengganti kehadiran mereka, namun ia tidak sama.

Sentuhan kata-kata dan celoteh pemandu pelancong menjadikan para pelancong itu lebih memahami tempat yang mereka lawati.

Di Malaysia, perkhidmatan pemandu pelancong ini sudah lama bertapak. Lebih-lebih apabila industri pelancongan negara semakin berkembang pesat.

Daripada perkembangan tersebut, secara tidak langsung ia memudahkan pelancong tempatan mahupun asing untuk mengetahui sejarah di sebalik pembangunan negara.

Tetapi sayangnya, biarpun jumlah pemandu pelancong semakin bertambah tetapi pengetahuan mereka mengenai sejarah negara masih tidak memuaskan.

Malah kebanyakan mereka lebih banyak membawa pelancong-pelancong asing ke pusat beli belah daripada tempat-tempat bersejarah sehinggakan ada di antaranya tidak diendahkan lagi pada hari ini.

Bukan sekadar penunjuk arah

Menurut salah seorang pemandu pelancong tempatan, Erina Loo, ramai pemandu pelancong di negara ini masih tidak memahami aspek dan nilai sejarah negara.

Kata beliau, biarpun jumlah mereka ramai, tetapi tidak semua boleh mahir dan fasih dalam menceritakan sejarah, asal-usul atau peristiwa yang pernah berlaku di sesuatu tempat itu kepada pelancong.

Maklumat yang mereka ada tidak banyak dan penyampaian pula tidak menarik menyebabkan para pelancong juga bosan.

"Hal ini berlaku disebabkan kurang kefahaman yang mendalam bagi orang mahu menceburi bidang ini.

"Mereka berpendapat bahawa kerjaya pemandu pelancong merupakan kerjaya mudah dan tidak profesional," ujarnya ketika ditemui di Pasar Seni, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Tegas beliau, biarpun kerjaya itu mudah, ia harus diteliti secara konsisten bagi mengelakkan masalah seperti kesalahan maklumat yang disampaikan kepada pelancong.

Berpengalaman selama 20 tahun dalam bidang itu, Erina sememangnya seorang yang ramah dan mudah didekati malah bijak berkomunikasi.

Beliau berkata, galakan daripada ibu dan bapanya banyak mempengaruhinya untuk meneruskan kerjaya dalam bidang tersebut.

"Saya bukan sahaja minat dengan bidang ini, malahan juga minat dengan habuan yang diperolehi," jelasnya.

Selain itu, cabaran kerjaya sebagai pemandu pelancong juga menjadi antara sebab mengapa Erina menceburi bidang itu.

"Pada pendapat saya, kerjaya ini mempunyai cabaran yang tersendiri dan ia perlu ditangani secara bijak.

"Antara cabaran utama adalah masalah komunikasi di antara pelancong asing yang tidak boleh berbahasa Inggeris contohnya dari Korea, Jepun, Vietnam dan lain-lain," katanya.

Ditanya mengenai cara-cara untuk berhadapan dengan pelancong yang tidak boleh berbahasa Inggeris, Erina memberitahu beliau akan cuba berkomunikasi dengan menggunakan bahasa Inggeris yang mudah.

"Jika mereka tidak memahami bahasa Inggeris maka saya akan menggunakan bahasa badan atau bahasa isyarat.

"Bagaimanapun, saya akan sentiasa bersiap sedia dengan pengetahuan yang luas terutamanya untuk memahami latar belakang bagi rombongan yang akan diketuai.

"Contohnya rombongan dari Vietnam, saya akan mencari maklumat yang berkaitan dengan sejarah Vietnam dan belajar bahasa mereka dengan seberapa yang boleh," ujarnya.

Dalam pada itu, selama berkecimpung dalam bidang tersebut, pelbagai kenangan manis diperoleh beliau.

"Pengalaman manis saya seperti dapat berkongsi kegembiraan dengan pasangan suami isteri yang sedang berbulan madu.

"Selepas berlakunya tsunami di Jepun baru-baru ini, saya banyak mendapat panggilan daripada pelancong-pelancong dari luar negara kerana mereka mendapati bahawa saya suka melibatkan diri dalam aktiviti menyelam.

"Selain itu, terdapat seorang remaja yang berusia 16 tahun, apabila dia melawat ke Malaysia buat kali yang kedua dengan kawan-kawannya, dia masih ingat bahawa sayalah pemandu pelancong yang mengetuai rombongan mereka lapan tahun lalu ketika dia pertama kali melawat Malaysia," jelasnya.

Menurutnya, syarikat Be Tourist miliknya yang beralamat di Tingkat 1, Annexe Pasar Seni itu menggunakan kaedah wawancara penduduk setempat bagi mendapatkan maklumat mengenai sejarah lama Kuala Lumpur.

"Pada mulanya saya tidak mendapat kerjasama daripada orang tempatan apabila saya ingin menjalankan wawancara dengan mereka.

"Setelah membuat penjelasan tentang tujuan wawancara tersebut barulah mereka benarkan saya menjalankan wawancara itu.

"Di samping itu, saya juga mendapatkan maklumat dari buku sejarah dan rujukan yang ditulis oleh penulis tempatan dan juga luar negara," katanya.

Tambahnya, pertolongan daripada Jabatan Warisan Negara, pakar-pakar sejarah serta saling bertukar pengalaman atau cerita dengan pelancong turut banyak membantunya menjalankan tugasan harian.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: