Sunday, July 10, 2011

Peserta Ratu Kebaya Melaka dipuji


PESERTA bergambar kenangan bersama barisan juri, duduk dari kiri ialah Siti Athirah Dzulkifly, Pegawai Hal Ehwal Korporat dan Pemasaran Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka, Liza Deraman, Pengasas Jamu Mak Dara, ibu Halimah Shuib dan Maya Matahari.


MESKI kecewa kerana disaat-saat akhir pelakon Rozita Che Wan gagal menghadirkan diri sebagai artis jemputan, ia bukan batu penghalang buat 38 peserta Pertandingan Ratu Kebaya Pancaindera Mak Dara 2011 untuk terus ‘melekat’.

Merupakan lokasi kelima selepas Putrajaya pada Jun lalu, Melaka menyaksikan sambutan yang cukup hangat daripada penduduk tempatan yang berminat untuk bergelar Ratu Kebaya di Taman Rempah, Pengkalan Rama.

Faham-faham sahajalah kalau di tapak yang terbuka, sudah tentulah peserta disimbah bahang matahari meski khemah dan segala kelengkapan lain disediakan dalam kondisi cukup baik oleh penganjur.

Walau berpanas terik dan peluh membasahi tubuh, percaya atau tidak, rata-rata peserta tidak sedikit pun menunjukkan reaksi untuk berundur, jauh sekali untuk putus asa.

Wah! Semangat ini memang wajar dipuji dan kami sememangnya kagum dengan warga Melaka yang cukup sporting dan responsif sepanjang program berlangsung.

Malah, apabila disuruh menyanyi, mereka bernyanyi.

Bila diminta untuk berlakon, mereka spontan melakonkan watak yang diberikan. Jangan tak tahu, menari pun boleh!

Tak sangka, warga Melaka sememangnya berbakat.

Pula tu, antara yang dapat dikesan, pasangan ibu dan anak pun turut mencuba nasib dengan menyertai pertandingan. Cukup mengkagumkan!

Masih mengekalkan format yang sama, pertandingan kali ini dimeriahkan dengan kehadiran Maya Matahari sebagai juri jemputan selain juri tetap, pengasas Jamu Mak Dara, Ibu Halimah Shuib.

Sebagaimana yang sering dikatakan oleh Ibu Halimah, matlamat utama pertandingan adalah untuk mencari individu yang layak mewakili negeri masing-masing melalui beberapa kriteria tertentu.

“Pertama, Ibu mahu mencari wanita yang mempunyai tahap keyakinan yang tinggi, berperwatakan menarik, ceria serta pandai berkomunikasi.

“Selain itu, seseorang itu juga mestilah tahu bagaimana hendak memperagakan kebaya dengan baik. Paling penting, mereka berani tampil ke depan untuk mencuba menjadi Ratu Kebaya.

Dalam pada itu, barisan juri telah sebulat suara memilih Nur Hayati Azmi, 22, sebagai juara pertandingan bagi kategori A (59 kilogram ke bawah).

Menyusul Nur Hayati sebagai Naib Juara pula ialah Siti Noraini Yusof, 25, manakala pemenang tempat ketiga pula dirangkul oleh Siti Zairel Adha Mohd Zaher, 24.

Melangkah pula kepada kategori B (60 kilogram ke atas), juara Ratu Kebaya telah dimiliki oleh Nur Lela Mohd Nasir, 22.

Kemenangan Nur Lela diikuti oleh Salmia Ismail, 37, serta Shafizawati Nazirudin, 30, di tempat ketiga.

Juara setiap kategori masing-masing membawa pulang hadiah berupa wang tunai bernilai RM500, hamper tajaan Forest Secret bernilai RM500 termasuk cenderahati eksklusif Mingguan Malaysia.

Bukan itu sahaja, Nur Hayati dan Nur Lela juga layak mewakili Melaka untuk mara ke peringkat akhir pertandingan Ratu Kebaya yang akan diadakan di Kuala Lumpur pada Disember ini.

Kemaraan ini juga akan menyaksikan mereka bersaing hebat dengan wakil-wakil negeri lain untuk merebut hadiah berupa wang tunai berjumlah RM5,000, hamper, pakej pelancongan ke Bali, Indonesia selama tiga hari dua malam, serta gelaran Ratu Kebaya 2011.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: