Monday, July 4, 2011

Model muda ke Hollywood




“SAYA memulakan kerjaya modeling ketika berusia 15 tahun apabila dipilih menjalani latihan praktikal di sebuah agensi model West End di London. Di situ, semua orang menghisap rokok dan minum wain pada pukul 11 pagi setiap hari.”

Itulah pandangan naif mengenai realiti dunia peragaan daripada Rosie Alice Huntington-Whiteley, atau Rosie yang kini begitu dikenali sebagai watak wanita utama dalam filem Transformers: Dark of the Moon yang sedang ditayangkan di pawagam ketika ini.

Menurut Rosie, kerjayanya sebagai model pentas peragaan bermula selepas dia kembali semula ke agensi West End untuk mengucapkan terima kasih di atas peluang yang mereka berikan. Tanpa disangka, seorang ejen di situ menawarkannya peluang menjadi seorang model.

“Keesokan harinya, saya terus menjalani penggambaran pertama dan sehingga Krismas, saya menyertai persembahan untuk Japanese Vouge. Pada musim bunga pula, saya di Amerika untuk persembahan Teen Vouge, Teen Elle, Tommy Hilfiger Jeans dan French Connection.

<>bHasil pertama

“Saya masih ingat ketika mendapat cek pertama saya, ibu bapa saya menolong saya membeli sebuah kereta tetapi kereta itu tersadai selama dua tahun kerana saya tidak berkesempatan belajar memandu kereta,” katanya menceritakan detik permulaan kehidupannya sebagai seorang model remaja.

Menurut Rosie, dia rasa dihargai apabila diberi dengan pelbagai peluang tetapi dia perlu bekerja keras untuk mengekalkan pencapaiannya, sama ada di dalam bidang modeling mahupun lakonan.

“Saya bekerja keras kerana tiada sesiapa pun yang mahu mengambil mereka yang tidak profesional dan tidak bersedia. Ramai orang yang menantikan peluang seperti yang saya peroleh,” katanya.

Menceritakan pembabitannya dengan sekuel ketiga Transformers itu, dia perlu mengikuti proses penggambaran selama tujuh bulan dan ia merupakan penggambaran yang panjang. Namun menurutnya, ia suatu pengalaman baharu yang sangat menarik dan juga teruk buatnya.

“Saya berpeluang berjumpa dengan ramai orang yang hebat dan mereka menerima saya dengan baik sekali. Saya berasa seperti bekerja dengan sebuah keluarga besar.

“Padahal pada mulanya, ketika saya dipilih untuk terbabit dengan filem ini, saya sangkakan ia hanyalah untuk penampilan kecil. Tetapi setelah diberitahu saya akan memegang watak wanita utama, saya mula berasa gelisah,” katanya.


ROSIE mempunyai daya tarikan yang hebat dalam setiap sesi peragaan dan penggambaran fesyen.


Ketika mengetahui tentang pemilihan itu, Rosie memberitahu dia berada di sebuah bilik hotel di Los Angeles (LA). Pengarah uji bakat bertanya sekiranya dia berminat untuk uji bakat watak wanita utama dan menyuruhnya bertemu dengan Shia LaBeouf. Pengarah Michael Bay pula dikatakan akan menelefonnya dalam masa lima minit.

“Saya jadi terkedu. Memang tak sangka akan dipilih untuk memegang watak tersebut. Saya keliru dan bingung sekejap,” katanya.

Korbankan bidang modeling

“Saya terpaksa menolak banyak tugasan modeling tetapi saya beruntung kerana saya menerima sokongan daripada klien dan ejen-ejen saya. Saya rasa mereka tahu bahawa pemilihan watak ini merupakan peluang yang besar dan saya tidak patut menolaknya,” ujar Rosie.

Menurut Rosie, pada mulanya dia menganggarkan penggambaran tersebut hanya memakan masa tiga bulan, tetapi tujuh bulan kemudiannya dia masih di set penggambaran.

“Saya suka melakukan aktiviti fizikal dan membuat pelbagai aksi dan ketika itu barulah saya rasa dapat menonjolkan diri saya.

“Di dalam filem ini, terdapat banyak adegan letupan dan tembakan seolah-olah dunia mahu kiamat. Saya perlu berlari melalui api dan melompat ke atas kereta yang rosak di samping suara pengarah yang menjerit melalui pembesar suara menyuruh saya bergerak pantas.

“Justeru, saya melakukan latihan sebelum melalui proses penggambaran. Jurulatih saya di LA mengajar saya cara untuk berlari dengan betul. Ia kedengaran lucu tetapi saya perlu berlari dengan betul di set filem menggunakan sepasang kasut tinggi yang cantik,” katanya.

Tambahnya, aktiviti lasak yang dilalui semasa penggambaran filem menyebabkan dia mengalami kecederaan kecil tetapi dia tidak mengeluh mengenainya.

“Saya rasa semua pelakon mengalami sedikit lebam dan cedera ringan semasa penggambaran. Saya terseliuh beberapa kali dan perlu meletakkan beg ais untuk melegakannya. Saya juga mengalami lebam-lebam tetapi kemudiannya saya disuruh meletakkan pad untuk aksi lagak ngeri,” katanya.

Anak peladang

Menceritakan kehidupan lampaunya, Rosie memberitahu, dia membesar di sebuah ladang di Devon, England. Di situ, dia tidak mempunyai banyak permainan dan tidak menonton banyak rancangan televisyen.


ANAK peladang ini sudah merentas glamor dunia peragaan dan Hollywood.


“Kami adalah anak peladang dan aktiviti kami lebih kepada aktiviti luar bermain bersama haiwan dan menaiki basikal,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, dia pernah didedahkan dengan bidang lakonan semasa zaman persekolahan tetapi tidak pernah berpeluang melakonkan watak penting akibat terlalu malu.

“Dulu terdapat sebuah kumpulan teater di kampung halaman saya dan setiap hari Sabtu selama empat bulan setiap tahun, kami akan berlatih dan mempersembahkan sebuah teater sekitar sambutan Krismas.

“Antara teater yang dipersembahkan ialah Snow White, Babes in the Wood dan Robin Hood. Saya pernah berlakon untuk teater Joseph and the Amazing Technicolor Dreamcoat di sekolah tetapi saya sering mendapat watak sampingan.

“Saya seorang yang sangat pemalu ketika kecil dan pendiam, malah tidak pernah memiliki dres yang cantik,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, seperti gadis remaja lain, dia juga menyimpan impian untuk terbabit dalam bidang fesyen dan filem.

“Saya berfikir bahawa suatu hari nanti peluang akan datang kepada saya. Dalam pada itu, dunia fesyen dan filem sebenarnya begitu dekat. Saya pernah diberikan skrip tetapi tiada yang benar-benar membuka hati saya.

“Saya tidak pernah berfikir akan terbabit dengan sebuah filem yang besar seperti Transformers. Saya fikir kalau berpeluang sekali pun hanyalah diberikan watak kecil atau kemunculan kecil di dalam filem,” katanya.

Tambahnya, dia juga pernah berangan menjadi gadis Bond, tetapi tidak memikirkannya secara serius apatah lagi ketika itu dia terlalu sibuk dengan kerjaya modeling.

“Keluarga dan rakan-rakan di kampung halaman saya amat gembira dengan pencapaian saya.

“Sebenarnya, keluarga saya sangat bangga dengan saya. Semasa pulang ke rumah pada Krismas lalu, ayah saya bertanya, sebesar mana filem ini? Saya berkata, adakah ayah ingat filem Star Wars?” selorohnya sambil tertawa kecil.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: