“SELAMAT pagi. Nama saya Ali Haidar. Saya dari Baghdad, Iraq. Saya ada dua adik perempuan, dua adik lelaki.”
Kata-kata sapaan ini kedengarannya seperti ayat yang ditutur murid sekolah rendah tetapi bagi seorang pelajar antarabangsa yang datang ke negara ini tanpa kenal sedikitpun pada bahasa Melayu, tentunya itu suatu pencapaian besar.
Ali, 21, yang mengambil pengajian Ijazah Sarjana Muda Teknologi Maklumat dalam bidang Sistem Maklumat di Universiti Tenaga Nasional (Uniten) mula menjejakkan kaki ke Malaysia pada tahun 2009.
Bekas pelajar Sekolah Tinggi Al-Kwarzme, Baghdad itu juga langsung tidak boleh berbahasa Inggeris dan terpaksa mengikuti pengajian bahasa Inggeris selama satu semester di Kolej Pengajian Asas dan Umum.
Seperti diwajibkan ke atas pelajar antarabangsa Uniten, Ali mengikuti pengajian bahasa Melayu selama satu semester dan memperoleh gred A.
“Boleh faham dan cakap. Tak susah, senang, sebab saya suka. Senang untuk orang Arab cakap bahasa Melayu sebab ada 1,000 istilah Arab dalam bahasa Melayu,” spontan Ali menjawab dalam wawancara di kampus Uniten, Putrajaya baru-baru ini.
Dia mengikuti kelas bahasa Melayu Uniten semasa membuat Kursus Persediaan yang keseluruhannya membabitkan tempoh tiga semester.
Turut difahamkan, sebelum dia mengikuti kursus pengajian bahasa Melayu, dia sudah boleh bertutur bahasa kebangsaan meskipun bukan bahasa Melayu rasmi.
“Saya cakap guna ‘aku’ dalam kelas dan pensyarah betulkan saya. Pensyarah cakap bukan macam ini,” katanya yang mudah ketawa.
Menurut Ali yang belajar di Uniten atas perbelanjaan sendiri, dia juga mempunyai ramai kawan Melayu.
“Kalau cuti, saya ikut mereka balik kampung. Dah pergi Terengganu, Melaka, Kelantan, Johor Bahru, Kuala Perlis, Langkawi dan Pulau Pinang. Makanan yang paling saya suka di Kelantan ialah budu,” ujarnya.
Tambahnya, jika penuntut antarabangsa mempunyai lebih ramai kawan Malaysia, mereka lebih mudah untuk melatih diri bertutur dalam bahasa Melayu. Tambahnya, bercakap bahasa Melayu juga banyak kelebihan.
“Kalau ke pasar borong, pasar malam, murah. Kalau awak cakap bahasa Melayu, murah lagi,” katanya sambil ketawa besar.
Perlu berlatih
Digotetso Matema atau Dee, 21, yang berasal dari Mathabhane, Botswana menghadapi kesukaran pada awal sesi pembelajaran.
“Saya tak tahu bahasa Melayu, tak banyak praktis. Selepas masuk jadi Exco Hal Ehwal Antarabangsa Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), saya banyak bercakap bahasa Melayu,” katanya.
Dee ditaja kerajaan Botswana untuk melanjutkan pelajaran ke Uniten. Dia juga mempunyai ramai kawan yang sudah menamatkan pengajian di Malaysia dan apabila pulang ke Botswana, mereka masih bercakap bahasa Melayu walaupun hanya setakat membilang nombor.
Sementara itu, Omar al-Kaf yang berasal dari Hadhramaut, Oman tetapi tinggal di Riyadh, Arab Saudi menghadapi situasi yang sama seperti Dee.
“Tak susah belajar bahasa Melayu tetapi perlu praktis. Saya tak praktis. Pertama datang sini, saya seorang pelajar antarabangsa dalam kelas asas. Lain semua pelajar Melayu. Saya boleh faham dan cakap sikit-sikit,” kata Omar yang belajar di Uniten atas perbelanjaan sendiri.
Seperti Ali, dia sedang mengikuti kursus Ijazah Sarjana Muda Teknologi Maklumat dengan pengkhususan dalam bidang Sistem Maklumat.
Pada awal sesi pembelajaran, para pelajar antarabangsa itu diajar cara memperkenal diri dalam bahasa Melayu serta ucapan-ucapan sapaan seperti ‘selamat pagi’, ‘selamat malam’, ‘selamat tinggal’ dan ‘selamat jalan’.
Walaupun sudah habis mengikuti kelas, mereka masih berminat untuk terus belajar bahasa Melayu. Omar berkata, dia terus berkawan dengan pelajar-pelajar Melayu. Sewaktu bercuti semester yang lalu, dia mengikuti Ali ke Kelantan. Dia juga suka bercuti ke Pulau Pinang.
“Bapa saya ada kawan tinggal di Pulau Pinang. Kampung saya sekarang Pulau Pinang,” katanya dalam ayat ringkas.
Dee pula masih membawa kamus ke mana sahaja dia pergi untuk memudahkan dia bercakap dengan orang tempatan terutamanya apabila berkunjung ke restoran atau menggunakan perkhidmatan teksi.
Dia juga mempunyai perisian terjemahan bahasa Inggeris ke bahasa Melayu yang dimuat turun dalam telefon bimbitnya.
Dee yang mengambil kursus Ijazah Sarjana Muda Elektrikal dan Elektronik ini juga mengambil inisiatif menjadikan hari Isnin sebagai hari untuk bercakap bahasa Melayu meskipun setakat menyapa ‘selamat pagi’ atau ‘jumpa lagi’ kepada sesiapa sahaja yang ditemuinya.
Bertutur bahasa Inggeris
Idriss Moussa Ali dan Abdoulaye Abakar, kedua-duanya dari Chad memberitahu bahawa mereka memang mahu belajar bahasa Melayu.
“Masa belajar okay. Senang belajar, dapat A masa periksa,” kata Idriss, anak ketiga daripada lima beradik dan fasih berbahasa Arab.
Masalahnya, kata Idriss yang datang ke Uniten atas perbelanjaan sendiri, kebanyakan kawan Melayunya lebih senang berbahasa Inggeris.
Pelajar pengajian kejuruteraan awam itu memberitahu, dalam keadaan yang demikian, dia akan terus juga bercakap bahasa Melayu walaupun tidak pandai.
Idriss berkata dia juga mempraktikan bahasa Melayu terutama ketika berkunjung ke kedai atau restoran.
Dia juga tidak melepaskan peluang untuk mengikuti kawan tempatannya pulang ke kampung semasa cuti semester kerana di kampung, katanya, dia dapat lebih peluang berbahasa Melayu.
Setakat ini Idriss yang berbaki dua tahun lagi untuk menamatkan pengajiannya sudah pun melawat Melaka, Batu Pahat, Johor Bahru dan Ipoh.
Cakap perlahan
Bagi Abdoulaye yang boleh berbahasa Perancis, Arab dan Urdu, dia lebih faham bahasa Melayu jika orang yang berlawan cakap dengannya bertutur secara perlahan.
“Saya suka belajar bahasa Melayu dan cakap bahasa Melayu, kalau cakap perlahan-lahan, faham. Satu semester belajar tak cukup,” kata Abdoulaye yang mengambil pengajian kejuruteraan am di Uniten atas perbelanjaan sendiri.
Abdoulaye yang datang ke Malaysia pada tahun 2009 dan mengikuti pengajian asas kejuruteraan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) bertukar ke Uniten tahun ini kerana UIAM tidak menawarkan kursus kejuruteraan awam.
Katanya, dia merancang untuk mengikuti kawan-kawannya balik ke kampung mereka supaya lebih dapat belajar bahasa Melayu.
Walau dia akur susah untuk bergerak ke mana-mana jika tidak mahir berbahasa Melayu tetapi katanya dia suka berada di Malaysia.
“Orangnya baik-baik. Tapi pergi makan luar kampus, pergi membeli-belah, susah,” katanya sambil menambah dia akan dapat harga yang lebih murah jika bercakap bahasa Melayu di restoran.
Mudah mesra
Abdoulaye berkata, daripada pengamatannya, orang tempatan akan lebih mudah mesra jika orang asing bercakap bahasa Melayu.
Pengalaman bercuti ke Langkawi cuti semester lalu turut menguatkan semangat Abdoulaye untuk memahirkan dirinya lagi bercakap bahasa Melayu.
Katanya, kebanyakan penduduk pulau yang ditemuinya tidak boleh berbahasa Inggeris. Dia turut berasa kesal kerana tidak dapat berkomunikasi dengan seseorang yang diibaratkan sebagai ‘ibu’ yang begitu baik hati kepadanya.
“Jumpa tahun depan. Saya akan lebih pandai bahasa Melayu,” kata Abdoulaye yakin.
Ternyata bagi Ali, Dee, Omar, Idriss dan Abdoulaye, belajar bahasa Melayu bukan setakat memenuhi keperluan belajar di Uniten. Mereka menghargai kepentingan bahasa kebangsaan untuk kelangsungan hidup selagi bergelar pelajar di negara ini.
Dee sempat memberi pandangan agar generasi muda terutamanya perlu mengambil berat terhadap bahasa ibunda.
Bagi anak muda dari suku kaum Babirwa itu, bahasa adalah akar umbi kepada pembentukan budaya dan banyak menyumbang kepada perkembangan budaya satu-satu bangsa.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: