Wednesday, July 20, 2011

Mengenali keris dari dekat

Ab Majid... Golongan muda tidak lagi menghargai barangan antik seperti keris.

BERDASARKAN sejarah, keris telah wujud dan digunakan sejak abad ke-9 dan penggunaan keris cukup sinonim dengan masyarakat Melayu dan di seluruh nusantara.

Selain digunakan sebagai senjata untuk mempertahankan diri pada ketika itu ia juga dianggap oleh sesetengah pihak memiliki kuasa magik dan perlu dihormati.

Keris memiliki pelbagai bentuk mengikut kawasan seperti Bali, Sumatera, Madura, Pattani, Bugis dan Jawa selain mempunyai keistimewaan tersendiri dan kebiasaannya ia terletak pada bilah yang berlekuk dan ada di antaranya yang berbilah lurus.

Yang Di Pertua Persatuan Senipurba Nusantara Selangor (Purba), Ab Majid Bujang ketika ditemui Mingguan mStar berkata, di Malaysia keistimewaan keris boleh dilihat melalui tiga jenis mata bilahnya iaitu panjang tegak, lok (berlekuk-lekuk) dan hukum (bilah yang lebih panjang).

Keris baru yang diberi nafas baru dari segi ukirannya.

Sebilah keris terdiri daripada beberapa bahagian, antaranya gagang (pegangan), wilah (mata keris), warangka (sarung keris) sebagai asas pembuatannya.

Gagang keris ini mempunyai pelbagai motif yang bentuknya menyerupai patung dewa, patung pedande, patung raksaka, patung penari, pertapa, hutan dan ada yang diukir dengan emas dan batu permata.

Warangka keris umumnya diperbuat daripada kayu jati, cendana, timoho, dan kemuning namun jarang sarung keris yang terbuat dari bahan logam dapat ditemui.

Dalam pada itu, Ab Majid berkata, berlainan ketika zaman dahulu, peranan keris pada hari ini sudah berubah dan semakin dilupakan oleh masyarakat terutamanya golongan muda.

Menurutnya, keris pada zaman dahulu adalah satu lambang kebesaran dan status kepada pemilik.

Antara koleksi pending dalam simpanan Ab Majid.

Misalnya, keris tanjung (keris kuasa) hanya digunakan oleh para panglima manakala keris anak alang diberikan kepada ketua kampung atau penghulu.

“Itu adalah antara keistimewaan keris kerana setiap satunya mempunyai karakter dan lambang kepada pemilik mengikut jenis-jenisnya. Namun pada hari ini keistimewaan itu semakin dilupakan terutamanya di kalangan golongan muda,” ujarnya.

Mempunyai pelbagai koleksi keris dan ada di antaranya sudah mencecah usia hampir 200 tahun, Ab Majid memberitahu, kebanyakan keris yang dijual pada hari ini adalah palsu dan tidak dibuat mengikut acuan dan teknik sebenar.

Bagaimanapun beliau tidak menafikan kewujudan keris baru pada hari ini masih mengikut teknik pembuatan asal dan hanya mengubah beberapa bahagian bagi memberikan nafas baru kepada pembuatan keris.

Menjual keris

Tidak mahu membiarkan pelanggan yang berminat dengan keris tertipu dengan peniaga yang tidak bertanggungjawab, Ab Majid mengambil inisiatif untuk menjual sendiri keris asli kepada para pelanggan yang ingin memilikinya.

Merantau sehingga ke negara seberang untuk mendapatkan keris yang berkualiti tinggi, Ab Majid memberitahu kerja mencari keris yang berkualiti tinggi memberikannya satu kepuasan demi memartabatkan budaya Melayu itu sendiri.

Katanya, dia juga turut menerima tempahan daripada pelanggan yang inginkan keris baru dan akan menghantar sendiri kepada pembuat keris terbaik untuk menghasilkannya.

“Ramai yang berminat dengan keris tetapi sering tertipu dengan penjual yang menjual keris yang berkualiti rendah kepada mereka dan saya terpanggil untuk membantu mereka yang ingin memiliki keris berkualiti tinggi,” katanya yang memiliki lebih 200 bilah keris dalam simpanannya.

Selain menjual keris kepada orang perseorangan, Ab Majid juga turut membuka sebuah gerai khas di pasar lambak Amcorp Mall, Petaling Jaya kepada mereka yang berminat untuk mendapatkan keris.

“Adakalanya mereka datang bukan sahaja untuk membeli keris tetapi bertukar-tukar pandangan mengenai keris dalam simpanan mereka dan ingin mendapatkan tip bagi memastikan keris berada dalam keadaan baik,” ujarnya.

Purba adakan aktiviti pemahaman mengenai keris

Koleksi keris Ab Majid.

Bercakap mengenai Purba, Ab Majid memberitahu setiap bulan pihak persatuan akan mengadakan satu sesi pemahaman mengenai apa itu keris dan pengendalian yang betul kepada ahli dan orang luar yang berminat dengan senjata keris.

Menurutnya sambutan daripada orang ramai terhadap sesi itu cukup menggalakkan dan menjadi bukti bahawa masih ramai yang berminat dengan keris dan ingin mempelajari mengenainya.

“Ramai yang menunjukkan minat terhadap keris tetapi tidak mempunyai pemahaman yang betul mengenainya dan atas dasar itu juga pihak Purba mengadakan sesi ini khusus untuk mereka memahami mengenai etika dan adab mengendalikan keris,” ujarnya yang mempunyai 15 tahun pengalaman dalam pengendalian keris.

Berusaha untuk mengembalikan semula rasa bangga dan keterlibatan terhadap seni masyarakat berbilang kaum pada masa akan datang, Ab Majid berkata, Purba berharap kegemilangan zaman lampau dapat dijadikan sebagai perangsang bagi menuju masa depan.

Gagang keris yang pelbagai bentuk.

“Kita berhasrat untuk melihat setiap rumah mempunyai sekurang-kurangnya sebilah keris di dalam rumah mereka yang bukan sahaja sebagai senjata tetapi lambang ingatan kepada barangan antik yang semakin dilupakan oleh kebanyakan kita,” ujarnya.

Selain itu katanya, Purba ditubuhkan sebagai wadah untuk penggemar-penggemar barangan antik berkumpul di bawah satu payung dan dapat bertukar-tukar pandangan, barangan dan sebagainya.

Katanya lagi, dengan adanya persatuan seperti ini kegiatan menyelamatkan warisan negara dapat dilakukan bersama sekaligus generasi baru dapat menghayati kegemilangan masa lampau.

Bercerita lanjut mengenai aktiviti yang dijalankan oleh Purba, Ab Majid memberitahu pihaknya telah dijemput oleh Universiti Malaya untuk mengadakan pameran keris di Muzium Asia universiti itu dalam masa terdekat.

Menurutnya, pameran sedemikian dapat memberi input kepada penuntut mengenai keistimewaan keris dan fakta yang tidak diketahui oleh mereka selama ini.

“Pameran sebegini memberi ruang kepada golongan muda untuk mengenali sejarah keris dan sebelum ini juga kita sering melakukan pameran di Muzium Negara bagi memberi pendedahan kepada masyarakat dan pelancong asing.

“Melalui pameran sebegini dapat mengingatkan mereka mengenai sejarah dan sekali gus memupuk minat mereka terhadap barang antik seperti keris,” katanya.

Memasang hasrat untuk melihat setiap rumah di negara ini menyimpan sekurang-kurangnya sebilah keris, Ab Majid berkata, selain sebagai tujuan menjaga keselamatan, ia juga sebagai usaha memastikan generasi akan datang dapat mengenali senjata itu yang cukup penting dalam sejarah negara ini.

3 comments:

Tinggalkan Komen Anda Sini: