Tuesday, July 5, 2011

Maxis, kerajaan rapat jurang digital

Peneraju perkhidmatan telekomunikasi bersepadu Malaysia, Maxis Berhad (Maxis), komited mengadakan kerjasama dengan kerajaan untuk merapatkan jurang digital dalam program Kunjungan Mesra Rakyat 1Malaysia di Kampung Chennah, Jelebu, Negeri Sembilan.

Maxis telah melatih 20 peserta dari komuniti Kampung Chennah termasuk masyarakat Orang Asli dan 33 peserta di Kuala Klawang dalam program Train the Trainer Maxis.

Pengerusi Maxis, Raja Tan Sri Datuk Seri Arshad Raja Tun Uda berkata, Maxis bertuah kerana berpeluang menjalankan perniagaan yang dapat memberi manfaat kepada kehidupan orang ramai.

“Dengan akses Internet diberi, kami menyumbang ke arah mengurangkan halangan pendidikan, maklumat, kesihatan, perdagangan dan perkhidmatan lain," katanya.

Menurutnya, hasrat Maxis adalah membawa teknologi ke kawasan pedalaman terutama kepada mereka yang kurang berkemampuan atau tinggal di kawasan yang tidak boleh diakses.

“Tahun lalu Maxis melabur lebih RM80 juta di Sabah dan Sarawak sahaja. Namun, kami akan terus melabur dalam meningkatkan kualiti hidup dengan menyediakan sambungan ke kawasan geografi yang tidak mendapat perkhidmatan sepenuhnya,” katanya.

Dalam pada itu, Maxis berbesar hati apabila berpeluang terlibat dalam projek Kampung Tanpa Wayar, yang juga merupakan inisiatif yang dikenal di bawah Inisiatif Jalur Lebar Negara (NBI) yang dijangka dapat membantu mempercepatkan sasaran penembusan jalur lebar negara.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: