Tuesday, July 5, 2011

Filem pertama Bront Palarae

Nama Bront Palarae sudah tidak asing lagi dalam persada seni hiburan tempatan. Anak kelahiran Alor Setar, Kedah ini semakin menunjukkan kehebatannya sebagai anak seni. Lapan tahun bernafas sebagai anak seni, tiada satu perkataan 'menyerah' muncul dalam diari hatinya tatkala dia kurang mendapat publisiti berbanding artis lelaki yang lain.

Baginya bidang lakonan bukan hanya tempat meraih publisiti, tetapi dunia lakonan adalah segala-galanya buat dirinya. Bekas pengacara rancangan Beat TV sekitar tahun 2003 begitu optimis untuk menjadi yang terbaik.

Langkahnya dalam bidang seni menunjukkan hasil apabila diangkat sebagai Pelakon Lelaki Terbaik Festival Filem Malaysia (FFM) ke-23 dan anugerah yang sama menerusi Anugerah Skrin 2010.

Kini, dia mula melebarkan sayapnya apabila bakal muncul dengan filem pertamanya berjudul 3 Rasa berganding bersama Sharifah Amani, Azma Yusoof dan Dira Abu Zahar dan mereka boleh dianggap sebagai rakan baik Bront sendiri.

“Saya bukan ambil pelakon semberono. Walaupun mereka ini kawan-kawan baik saya, tetapi mereka memang sesuai dengan watak-watak untuk filem saya.

“Saya sendiri sangat teruja dan tidak sabar untuk memperlihatkan hasil karya saya. Insya-Allah jika tiada kelapangan, filem ini akan ditayangkan pada awal tahun hadapan,” katanya kepada Sinar Harian.

Bercerita mengenai 3 Rasa, penonton akan disajikan dengan kelainan filem ini mengikut skrip oleh Bront sendiri.

“Buat masa ini sukar untuk saya ceritakan jalan cerita filem ini. Filem saya bukan hanya semata-mata untuk komersial, saya sendiri lebih menekankan kepada nilai-nilai yang terdapat dalam filem ini.

“Tak popular tak semestinya tak bagus. Jadi, menggunakan khidmat pelakon yang benar-benar hebat ini saya berharap masyarakat tahu mengenai sesebuah filem,” katanya.

Biarpun sibuk dengan filemnya, Bront mengakui jadual sebagai pelakon juga semakin padat. Sentiasa mahu memajukan diri dalam bidang lakonan, Bront mengakui lebih gemarkan watak-watak yang boleh mencabar dirinya berbanding hanya membawakan watak lelaki romantis dan baik.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: