Monday, July 11, 2011

Helper bantu selesai masalah

Sabariah Abdullah

SEMUANYA bermula apabila beliau berkunjung ke Kedutaan Indonesia di Kuala Lumpur tahun lalu bagi memperbaharui pasport pembantu rumah.

Dipertemukan dengan Atase Ketenagakerjaan, Agus Triyanto A.S di Kedutaan secara tidak langsung telah membantu menyelesaikan masalah beliau.

Ketika itu Agus yang lebih dikenali sebagai Pak Agus dalam kerunsingan memikirkan tentang permasalahan yang berlaku ke atas pembantu rumah Indonesia di negara ini.

Secara kebetulan, beliau sebelum ini pernah membantu pembantu rumah-pembantu rumah mangsa dera termasuk kes bunuh pembantu rumah Indonesia, Muntik Bani dua tahun lalu.

Atas dasar keprihatinan dan kemanusiaan serta pertanyaan daripada Pak Agus sendiri menyebabkan Pengerusi Saba Islamic Domestic Help Advisory, Sabariah Abdullah terpanggil untuk mewujudkan sebuah program kesejahteraan menyeluruh membabitkan pembantu rumah Indonesia di negara ini.

Sabariah berkata, program tersebut dinamakan Sistem Perlindungan, Pemantauan dan Kebajikan Hal Ehwal Pembantu Rumah Indonesia (Helper).

“Ia bertujuan untuk menjana kesejahteraan pembantu rumah dan mempengaruhi rumahtangga dan majikan yang sejahtera,” katanya kepada Mingguan mStar, baru-baru ini.

Sabariah berkata, program itu telah dicadangkan kepada Kedutaan Indonesia pada November tahun lalu dan dipersetujui pada Disember tahun yang sama.

Beliau kemudiannya mendapat sokongan daripada Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Sumber Manusia pada awal tahun ini di samping mendapat kerjasama daripada Persatuan Majikan Pembantu rumah Malaysia (MAMA).

Hak majikan

Menurut Sabariah, walaupun program tersebut melindungi pembantu rumah Indonesia daripada dianiaya namun kepentingan dan hak majikan turut tidak dilupakan.

“Dengan kerjasama ini diharapkan wujudnya keseimbangan antara kedua pihak meskipun terdapat faktor yang berbeza dan beri kesan baik kepada semua.

“Kami mahu menenangkan kedua-dua negara terutama membersihkan imej Malaysia daripada negara yang tidak mempedulikan isu kemanusiaan,” katanya.

Program Helper merangkumi latihan kepada pembantu rumah, sesi penerangan kepada majikan dan aktiviti pemantauan keganasan terhadap pembantu rumah serta sistem kewangan khas bagi memastikan bayaran gaji dibuat secara konsisten oleh majikan.

Sabariah menjelaskan, Malaysia merupakan sebuah negara yang progresif dan prihatin bagi membetulkan keadaan dan mengelakkan sebarang kes penderaan.

Ini termasuk mengurangkan kes pembantu rumah lari namun beliau tidak menyokong perkara itu seratus-peratus kerana banyak isu lebih serius yang perlu diberikan perhatian.

“Kalau dia (pembantu rumah) gembira, dia tak akan lari. Dia datang ke sini (Malaysia) untuk mencari pekerjaan bagi meningkatkan taraf ekonomi keluarga.

“Jika majikan memberi kerja yang baik kepada dia dan melayan dengan baik, jauh sekali dijadikan sebagai hamba maka tiada sebab untuk pembantu rumah lari,” katanya.

Progam percuma

Bagaimanapun Sabariah berkata, tidak dinafikan terdapat pembantu rumah yang datang dengan hasrat yang berlainan mungkin berunsurkan negatif.

“Jumlah pembantu rumah Indonesia lari amat tinggi maka kita perlu mengenal pasti masalah sebenar menyebabkan keadaan itu berlaku dan cara untuk menyelesaikannya.

“Sehubungan itu, kami akan menyediakan perkhidmatan hotline bagi memudahkan orang ramai termasuk pembantu rumah untuk membuat aduan terutama kes penderaan.

“Pemantau keganasan di kalangan sukarelawan turut berperanan dalam melindungi mereka yang teraniaya, ” katanya.

Beliau berkata, Program Helper disediakan secara percuma kepada pembantu rumah dan majikan dan sebarang aktiviti berkaitan dibiayai menerusi dana dengan kerjasama strategik dengan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di seluruh negara.

“Ini bermakna program ini yang dilaksanakan seawal-awalnya pada September ini tanpa membebankan kewangan pembantu rumah, majikan, kerajaan dan Kedutaan Indonesia.

“Program Helper menjangkakan penyertaan kira-kira 200,000 pembantu rumah Indonesia di seluruh negara dalam tempoh setahun selepas ia dilaksanakan dan diharapkan ia turut mendapat penglibatan dan kerjasama daripada majikan,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: