Selama ini Kita sering melihat penampilan penuh gaya Ibu Halimah Shuib, pengasasa perniagaan berasaskan herba, Jamu Mak Dara (JMD) sebagai seorang yang kekal anggun dalam meniti usia emas. Dia masih memiliki pinggang yang ramping. Agaknya kerana penampilannya itu produk JMD laris dan mendapat perhatian pengguna. Tapi tahukah kita perjalanan lara penuh duka yang dilaluinya sebelum mengecap kesenangan hari ini? Kejayaan Halimah hari ini didasari banyak limpahan air mata. Suka duka kehidupan zaman kanak-kanak yang nakal, alam remaja yang tidak sempat dinikmati serta alam rumah tangga yang membawa derita, diceritakan dalam teater Mak Dara Nyonya yang bakal dipentaskan mulai 6 Julai hingga 12 Julai ini di MaTIC, Jalan Ampang, Kuala Lumpur. Watak Halimah dibawakan oleh pelakon teater hebat, Juhara Ayub. Kemunculan Juhara dalam mempersembahkan isi hati Halimah muncul secara monolog. Walaupun hanya Juhara yang berbicara menceritakan watak-watak lain dalam kehidupan Halimah, kisah sedih perjananan hidupnya mampu meruntun jiwa. Masakan tidak, Halimah yang sedang mengecap bahagia, tiba-tiba tersentak apabila mengetahui lelaki yang dikahwini kerana cinta suci membara rupa-rupanya sudah memiliki anak lima daripada perkahwinan pertama. Luluh hatinya kerana selama ini dia berpegang pada prinsip tidak mahu mengahwini suami orang. Lebih merentap hatinya apabila pembantu rumah yang dibawa masuk ke rumah secara diam-diam menggoda suami sehingga mereka berkahwin. Perkahwinan yang direstuinya kerana tidak mahu melihat suami yang dicintai melakukan kemungkaran itu rupa-rupanya membawa padah lebih besar dalam hidup. Keluarganya hancur. "Saya tersentak dan macam orang gila apabila mengetahui rumah tempat kami berlindung telah dijual oleh suami saya." Demikian antara dialog meruntun jiwa penonton. Saat rumah terjual menjadi titik paling hitam dalam hidupnya apabila terpaksa keluar dari rumah yang dihadiahkan oleh ibunya, Mak Dara. Dia balik ke kampung orang tua di Rengit, Johor. Tak lama dia di Rengit kerana dugaan tetap datang. Halimah yang memiliki susuh tubuh menarik itu menjadi buruan lelaki dan kebencian wanita. Banyak fitnah yang diterimanya. Dia membawa diri ke Kuala Lumpur dan menjadi tukang masak di Genting Highlands. Sekali lagi dugaan datang. Heboh sekampung orang mengatakan Halimah jadi pelacur di tempat peranginan itu. Macam-macam dugaan yang dilalui seperti tinggal di tapak bengkel bas, tidur di warung tempat berniaga makanan, anak-anak terpisah dan tinggal merata tempat, anak-anak tercicir persekolahan, hampir makan racun dan sebagainya dipersembahkan dalam pementasan yang ditaja oleh Jamu Mak Dara Sdn. Bhd. itu. Di akhir perjalanan hidupnya, Halimah temui kabahagiaan bersama anak-anak apabila resipi membuat jamu amalan turun temurun warisan keluarga dijadikan asas perniagaan. Hari ini Halimah dan keluarga mengecap kebahagiaan dan perniagaan yang diasaskannya juga semakin berkembang. Ada bab negatif dalam kisah hidup Halimah Shuib. Segalanya dipentaskan tanpa berselindung kerana ia sebuah perjalanan hidup bukannya kisah fiksyen. Ada yang nampak bagai membuka pekung di dada. "Bagi pihak saya dan keluarga, saya melihat kisah ibu saya ini sebagai satu teladan kepada sesiapa sahaja agar tidak mudah putus asa apabila dilanda masalah. Alangkah baiknya kalau perkara positif dalam perjalanan hidup ibu saya boleh memberi motivasi kepada orang lain untuk mengecap kejayaan. "Itulah tujuan utama kami bersetuju mementaskan kisah hidup ibu saya. Bukan mahu bermegah dengan kejayaan hari ini, sebaliknya saya mahu memberi semangat kepada orang lain untuk terus berusaha dalam mencapai apa yang mereka inginkan. "Banyak lagi kisah pahit yang dilalui ibu dan kami sekeluarga, tapi kisah ini lebih kepada kisah ibu saya. Lagipun tak boleh dipentaskan semuanya, pasti terbatas dengan durasi persembahan," kata Pengarah Urusan JMD yang juga anak Halimah, Syed Mohd. Gadaffi Syed Ali semasa ditemui selepas pementasan prebiu baru-baru ini. Dua cerita dalam satu pementasan Selain kisah Ibu Halimah, teater Mak Dara Nyonya turut membawakan nashkah tulisan Allahyarham Wisran Hadi (meninggal dunia 28 Jun lalu) berjudul Nyonya. Nyonya dilakonkan oleh Syerry Syed Abdullah, Zaifri Hussin, Misha Omar, Norzizi Zulkifli, Sarimah Ibrahim dan Fara Fauzana. Walaupun ia kisah yang berlainan, tapi sebenarnya kedua-dua kisah tersebut ada persamaannya. Nyonya dan Halimah, sama-sama menjadi mangsa lelaki yang dirampas haknya. Batal show 9 Julai gara-gara Bersih Sebagaimana persembahan hiburan lain yang dinasihatkan pembatalan pada tarikh 9 Julai gara-gara perhimpunan haram Bersih, teater arahan Rosminah Tahir itui juga akan dibatalkan pada hari tersebut. "Pembeli tiket yang sudah menempah tiket pada tarikh tersebut boleh menukar tarikh tontonan ke hari lain atau meminta dikembalikan wang mereka. "Pihak polis menasihatkan kami membatalkan persembahan pada hari tersebut kerana tidak mahu terjadinya perkara yang tidak diingini," kata penerbitnya dari CTRA Production, Siti Rohayah Atan. |
Friday, July 1, 2011
Mak Dara Nyonya runtun jiwa
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: