Tuesday, July 5, 2011

Kawalan pencemaran bandar raya Asia


SINGAPURA mengitar tiga liter daripada setiap 100 liter air buangannya menjadi air minuman.


UDARA di kebanyakan bandar raya Asia kini kian tercemar manakala air sungai pula semakin kotor. Golongan pakar memberitahu, terdapat banyak sebab untuk diberi perhatian dalam visi hijau di benua yang semakin melonjak dari segi kuasa pembangunan dan urbanisasi itu. Daripada persekitaran yang menjijikkan di kawasan miskin seperti di Manila hingga ke bandar-bandar perindustrian China baharu, contoh persekitaran yang semakin buruk berleluasa di Asia.

Pencemaran udara sudah melepasi standard Organisasi Kesihatan Sedunia (WHO) di kebanyakan bandar raya. Masalah itu terjadi seiring peningkatan jumlah pemilik kereta. Pada masa yang sama, kilang-kilang yang diperlukan untuk memacu pertumbuhan ekonomi turut meningkatkan jumlah sisa buangan ke udara dan ke dalam sungai. Sementara itu, karbon dari kawasan yang telah diterokai manusia turut meningkat dengan mendadak apabila ratusan juta orang menjadi semakin bergantung kepada penggunaan lebih banyak bahan api fosil bagi memacu ekonomi dan menambah kekayaan.

Usaha pelestarian

Bagaimanapun, perancang-perancang urban dan aktivis hijau turut mendedahkan mengenai kisah-kisah kejayaan hal ehwal persekitaran di seluruh Asia. Ia seiring harapan dan peningkatan tahap kesedaran mengenai keperluan untuk pembangunan lestari. "Banyak gambaran yang diberikan menunjukkan persekitaran menjadi semakin teruk tetapi saya juga melihat trend yang menawarkan penyelesaian.


PIHAK pentadbir bandar raya kini diseru agar mengambil berat tentang hal ehwal menjaga persekitaran.


"Trend (positif) berkenaan semakin berkembang dan anda harus memulakannya di mana-mana," kata Red Constantino, Ketua Institut Iklim dan Bandaraya Lestari Manila. Constantino memetik pembangunan rangkaian rel urban China sebagai salah satu contoh jelas mengenai usaha Asia untuk bergerak ke arah pembangunan lestari. Profesor geografi dari Universiti China Hong Kong, Yeung Yue-man, yang menjalankan kajian mendalam ke atas urbanisasi Asia ternyata lebih yakin. "Keadaan di kebanyakan bandar raya Asia tidaklah seteruk mana," kata Yue-man yang juga penasihat kerajaan Hong Kong.

Menurut Yue-man, dari segi keperluan infrastruktur dan pemantauan rakyat, kebanyakan bandar raya Asia terutama negara yang lebih baik dari segi ekonomi telah menunjukkan konsep pembangunan lestari. "Singapura, Taipei, Seoul dan Hong Kong dalam beberapa segi telah menunjukkan contoh kepada bandar raya Asia lain tentang cara untuk membangunkan persekitaran seiring perkembangan populasi," ujarnya.

Sebuah laporan oleh Unit Perisikan Ekonomi pada Februari lalu yang menilai status hijau di 22 buah bandar raya utama di Asia mencatat trend dan model persekitaran yang positif. Usaha China ke arah industri tenaga yang boleh diperbaharui begitu dipuji, terutamanya ladang jana tenaga angin terbesarnya di Shanghai. Tapak tersebut dijangka dapat menyediakan kuasa elektrik kepada empat juta buah rumah pada tahun 2020.

Untuk tahap penilaian yang lebih tinggi, laporan itu merujuk kepada Menara Pearl River setinggi 71 tingkat di Guangzhou, selatan China yang bakal siap tahun ini. Bangunan pencakar langit itu bakal menjadi seni bina tinggi paling mesra alam di dunia. Laporan Indeks Bandar Raya Hijau Asia oleh Unit Perisikan Ekonomi turut menekankan pelaksanaan kerajaan Tokyo tahun lalu ke atas sistem perdagangan untuk membendung pelepasan gas rumah hijau.

Gas rumah hijau


SEBATANG sungai di Manila yang sangat tercemar dengan sampah-sarap.


Di bawah skim berkenaan, ibu negara Jepun itu menyasarkan untuk mengurangkan pelepasan gas karbon dioksida dan gas lain yang menjadi punca pemanasan global sehingga 25 peratus pada tahun 2020 berbanding catatan tahun 2000. Sementara itu, di Singapura, kekurangan bekalan air yang kronik cuba diatasi melalui teknologi peneraju kitar semula di rantau berkenaan. Tiga liter daripada 100 liter yang diminum oleh rakyat Singapura adalah air sisa yang telah dikitar semula, ditapis dan dibersihkan.

Bagaimanapun, berdasarkan amaran Bank Pembangunan Asia (ADB) yang melaporkan tentang urbanisasi Asia, skala kerosakan persekitaran disebabkan pembangunan pesat bandar raya tidak dapat dihentikan. Laporan itu menjelaskan bahawa kos ekonomi, kesihatan dan kos lain yang bersangkut-paut dengan kemusnahan persekitaran mencecah lebih AS$2 bilion (RM6.04 bilion) setahun di Bangkok dan AS$1 bilion (RM3.02 bilion) setahun di Jakarta.

Kos-kos di bandar raya yang lebih besar di Asia turut dibandingkan. Ia meningkat dengan kadar pencemaran melebihi paras keselamatan terutamanya di kawasan yang lebih besar, lapor kenyataan itu. Ketika trend positif dikenal pasti, ADB turut menekankan lebih banyak usaha perlu dijalankan agar pihak berkuasa dapat diyakinkan mengenai faedah ekonomi yang terbit daripada kesedaran menjaga alam sekitar. "Pentadbir bandar raya harus percaya pada pertumbuhan yang mapan dan mereka harus menolak tanggapan bahawa mereka terpaksa memilih salah satu daripada pilihan memelihara persekitaran dan meningkatkan kekayaan," jelas laporan berkenaan. Laporan itu merumuskan, terdapat hubungan langsung antara perlindungan alam sekitar dengan penjanaan kekayaan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: