Tuesday, July 5, 2011

Tuah tiga pelanggan Tesco


MOHD. ZULYADAIN (kanan) bersyukur di atas kemenangan yang diperolehnya.


TUAH ayam nampak di kaki, tuah orang siapa yang tahu. Begitulah rezeki tiga orang pelanggan bertuah Tesco Malaysia yang berjaya merangkul hadiah utama sekali gus membawa pulang sebuah kereta Chevrolet Cruze 1.8l sumbangan Naza Quest yang bernilai kira-kira RM100,000 setiap satu. Kemenangan tiga pelanggan bertuah Tesco Malaysia itu ekoran kesetiaan dan kesungguhan mereka menyertai satu peraduan yang dianjurkan Tesco melalui pertandingan Belanja dan Menang Tesco.

Antara pemenang tersebut ialah Mohd. Zulyadain Idris, Mohd. Zaki Ahmad dan Foong Kei Yeen. Peraduan tahunan yang berlangsung selama tiga bulan sejak bulan Disember tahun lalu itu telah menarik sebanyak 105,000 penyertaan. Peraduan itu juga menawarkan pelbagai hadiah menarik seperti tiket penerbangan ke Shanghai, China, komputer riba, televisyen dan produk elektronik kepada 180 orang pemenang bertuah.

Pertandingan yang bermula akhir tahun lalu sehingga Februari 2011 hanya mensyaratkan setiap pelanggan berbelanja serendah RM50 di 36 rangkaian Tesco di seluruh negara. Mohd. Zulyadain, 46, berkata, dia sangat bersyukur atas kemenangan yang diperoleh dan mengucapkan jutaan terima kasih kepada pengurusan Tesco. Kata guru dari Johor itu, setiap bulan dia membeli-belah di Tesco Bandar Seri Alam, Johor untuk mendapatkan barang keperluan harian dan dari situ dia mengambil kesempatan menyertai pertandingan yang dianjurkan Tesco.

"Saya suka menyertai pertandingan kuiz seperti yang dianjurkan Tesco. Jadi saya tidak melepaskan peluang untuk menyertai pertandingan yang dianjurkan Tesco. "Saya berpeluang mengisi enam borang penyertaan melalui enam resit pembelian. Pertandingan ini dipercayai telah dianjurkan sejak tiga tahun lalu. Tapi saya menyertai pada tahun ini dan menang hadiah utama," katanya ketika ditemui pada majlis penyampaian hadiah di pasar raya Tesco Kepong, Kuala Lumpur baru-baru ini. Menurut bapa kepada tiga orang anak itu, dia menjawab soalan kuiz di dalam sebuah bilik bacaan khas lewat tengah malam selepas anak-anaknya tidur.

Tuah keluarga

Bagi Mohd. Zaki, 45, pula yang berasal dari Kota Tinggi Johor berkata, dengan mengisi satu borang penyertaan dan satu resit belian pada bulan dua lalu dia bersyukur terpilih menjadi pemenang utama. "Saya sememangnya pelanggan setia Tesco dan kemenangan ini memang tidak disangka-sangka kerana saya hanya mengisi satu borang penyertaan. "Sememangnya kemenangan ini merupakan tuah saya sekeluarga. Saya hanya perlu jawab dua soalan dan mencipta logo Tesco dalam pertandingan kali ini," katanya.

Menurut Mohd. Zaki, untuk melukis logo dalam pertandingan itu saya terpaksa mengambil masa yang lama dan terpaksa melakukannya sebanyak 10 kali. "Saya pernah masuk banyak pertandingan, tetapi kali ini saya bertuah dan memenangi hadiah utama. "Saya amat bersyukur dan berterima kasih kepada keluarga dan rakan-rakan yang memberi sokongan," kata ahli perniagaan dari Johor yang meminati kerja kreatif itu. Pengarah Tesco Stores (M) Sdn. Bhd., Vivian Yap berkata, peraduan ini memberi peluang kepada orang ramai untuk menghantar seberapa banyak borang penyertaan.

"Pertandingan itu cuma memerlukan pelanggan menjawab dua soalan mudah mengenai pasar raya Tesco. "Pertandingan ini juga tidak terhad kepada pembelian di Tesco sahaja malah ia turut melibatkan pembelian di premis yang sebumbung dengan Tesco," katanya. Lebih istimewa kata Vivian, pihaknya memberi peluang kepada setiap pemenang kereta Chevrolet Cruze memilih warna kegemaran mereka.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: