SATU persatu kelibat manusia membuka pintu besi tidak bertombol di sebuah perkampungan yang barangkali didirikan sendiri warga asing di tengah-tengah ibu kota. Telahan penulis mungkin benar lantaran pakaian kebanyakan mereka yang dilihat seperti baru pulang bekerja, nampak kotor dan comot. Tona warna kulit mereka yang gelap juga sudah dapat mentafsirkan jenis kerja yang dilakukan. Biasanya, itulah gambaran seorang pekerja kontraktor binaan di Kuala Lumpur.
Langkah masing-masing nampak lemah longlai pada lewat petang itu. Tiada senyuman yang diukir. Peluh di dahi dibiarkan menitis begitu saja. Perkampungan yang betul-betul terletak di nadi ibu kota dan dipagari itu tidak bernama. Agaknya, pada bila-bila masa, kalau diajak membeli-belah di pusat beli-belah di KLCC mereka tidak ada masalah. Lokasi penempatan mereka juga kurang 300 meter (m) dari kompleks beli-belah terkenal itu. "Awak datang sini ambil gambar ada apa-apa isu ke, nanti keluar suratkhabar ke?," sapa seorang lelaki bertubuh sasa yang menoktahkan pemerhatian jitu penulis di kawasan yang dijadikan tempat berlindung sekumpulan warga asing yang didominasi warga Indonesia. Suku daripada mereka yang tinggal di perkampungan tersebut berasal dari Bangladesh. Lelaki itu yang mengaku berasal dari suku Madura, Indonesia jelas tidak senang dengan kehadiran seorang petugas media. Penulis bertindak menjauhkan diri daripadanya dan mendekati beberapa penghuni-penghuni lain.
Ternyata, mereka jauh lebih mesra. Dengan hati terbuka, seorang lelaki yang selesa mahu disapa dengan nama Pak, 30-an, mempelawa penulis melewati kediaman mereka yang berupa sebuah kabin yang bersaiz kecil.
"Inilah rumah saya, tempat saya berlindung," katanya. Bagaimanapun, sukar untuk mendefinisikan kediamannya adalah sebuah rumah. Ruang yang agak sempit memaksa kabinnya menjadi pusat sehenti untuk semua aktiviti termasuk bersantai, menonton TV waima untuk melelapkan mata. Di kabin tersebut kelihatan pakaian disangkut merata-rata, tiada perabot mewah atau katil. Lantai adalah tilam mereka. Namun lelaki yang tinggal bersama isterinya itu mempunyai kelengkapan sebuah TV dan kipas angin. Ruang antara kabin terbentang sebuah sofa lusuh. Di situlah, dia bersama rakan-rakan senegara melabuhkan punggung bersembang pada setiap petang dan malam.
Mencari rezeki
Kawasan itu nampak gersang dan berdebu. Getus hati penulis, kediaman seperti ini memang tidak sesuai untuk didiami orang melainkan individu yang terdesak seperti warga asing yang mencari rezeki di negara ini. Tetapi kebanyakan mereka seperti tidak kisah. Yang penting ada tempat berteduh dan bebas daripada gangguan, mungkin itu saja yang bermain di fikiran mereka. Lelaki yang berlenggeng dan hanya memakai kain pelekat itu meminimumkan percakapannya. Namun daripada loghat bahasanya, dia boleh disifatkan sebagai sudah lama menetap di negara ini. "Alhamdulillah semuanya baik-baik saja, semua orang pun sama," katanya ringkas.
Sememangnya, perkampungan yang berkeluasan kira-kira 50 X 50 meter itu seperti sudah dikenali oleh penduduk tempatan. Hadirnya beberapa penjaja warga tempatan yang menjual barang-barang runcit dengan motosikal menyebabkan penulis berani berkata demikian. Seperti sudah ada waktu-waktu tertentu, beberapa penduduk berpusu-pusu keluar dari celah pintu dan membeli barangan keperluan asas seperti beras, gula tepung dan sebagainya. Pada petang itu juga penulis dapat merumuskan, warga asing ini juga menjalani kehidupan mereka di negara mereka sama seperti kehidupan kita. Mereka turut mahu menikmati hiburan.
Beberapa wanita berpakaian cantik dengan solekan tebal keluar dari pintu besi itu untuk ke bandar. "Saya mahu ke Bukit Bintang," kata salah seorang daripada mereka dengan nada bersahaja.
Kabin kelamin
Di wilayah perkampungan yang ditakluki kira-kira 20 hingga 30 orang warga asing itu secara keseluruhannya mempunyai lebih daripada 10 kabin. Ada kabin kelamin tetapi lebih banyak yang tinggal bersama rakan-rakan. Lokasinya yang dikelilingi bangunan pencakar langit dan apartmen mewah itu menyebabkan bunyi lalu-lalang kenderaan hanya sayup-sayup kedengaran. Seperkara yang baru disedari, tiada satu pun bayang kanak-kanak kelihatan. Justeru, dapat diramal matlamat mereka merantau ke negara ini. Kesemua hanya mencatur untuk mengumpul sebanyak mungkin wang di Malaysia. Kemudian kembali ke negara asal dengan membawa harta yang melimpah-ruah.
Daripada pemerhatian rambang, kebanyakannya adalah pekerja binaan, pekerja kilang dan tukang cuci di sekitar Kuala Lumpur. Tiada kerja-kerja pembinaan di kawasan berhampiran ketika itu. Kehidupan di perkampungan yang tidak bernama itu segala-galanya dikongsi. Warga asing tersebut sedikit pun tidak rasa kekok berkongsi satu bilik air tanpa dinding antara lelaki dan perempuan. Tidak tahu dari mana sumber air diperoleh namun yang pasti terdapat sebuah kolah air besar. Sedang penulis sibuk mencari sudut terbaik untuk mengambil foto, pandangan penulis terarah kepada seorang wanita warga emas dalam lingkungan umur 50-an, yang sedang menghidupkan unggun api di tengah-tengah laman kabin.
Wanita yang berkain batik Jawa itu dilihat membakar beberapa ekor ikan dan kemudiannya membawa ke kabinnya. Menghampiri pukul 7 malam, kabinnya dikerumuni oleh sebilangan warga Indonesia. Penulis diajak duduk semeja untuk menikmati makan malam oleh wanita tersebut. "Saya bukannya berniaga tapi tolong masak untuk semua orang. Marilah makan, jangan pergi kerja dulu, mari makan," katanya ibarat penghulu di perkampungan itu. Menu pada petang itu ialah nasi putih, ikan panggang, gulai dan sambal kicap. Masing-masing makan dengan lahap. Sangkaan penulis bahawa ia berupa kedai sama sekali meleset kerana tempat itu dijadikan 'pusat' untuk mereka bermuzakarah dan berbual-bual bersama rakan senegara. Barangkali, wanita itu yang disapa penulis dengan nama 'ibu', dibayar sejumlah wang setiap bulan sebagai tanda terima kasih para penghuninya.
Sentimen dua warganegara
Benar kata orang, kadangkala budaya yang berbeza berupaya menjarakkan hubungan. Walaupun warga Indonesia dan Bangladesh berada dalam satu perkampungan, mereka dilihat seperti membuat hal masing-masing. Buktinya, keriuhan di tempat makan tadi menyaksikan tiada seorang pun warga Bangladesh yang turut serta. Sebaliknya, rakyat Asia Selatan itu dilihat bersendirian menyediakan makanan di kabin masing-masing. Boleh jadi itulah gambaran rutin yang dilalui oleh mereka saban hari. Rasanya, tidak perlulah untuk menggali terlalu jauh tentang hubungan kedua-dua warga asing tersebut. Seperti kata seorang warga Indonesia kepada penulis : "Kami mencari rezeki halal di sini." Benar, jika mahu menyekat warganegara asing ke Malaysia, mungkin banyak projek negara yang terbengkalai. Siapakah yang sanggup berjemur di tengah-tengah panas kalau bukan mereka?
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: