Monday, July 11, 2011

Majikan Malaysia - pembantu rumah Indonesia saling memerlukan

Agus Triyanto

NAMA: Agus Triyanto A.S (Pak Agus)

UMUR: 51 tahun

ASAL: Semarang, Jawa Tengah, Indonesia.

JAWATAN: Atase Ketenagakerjaan, Kedutaan Besar Republik Indonesia (KBRI) di Malaysia.

Latar belakang pembantu rumah Indonesia di Malaysia

> Setakat ini terdapat seramai 729,809 pekerja Indonesia yang berdaftar di Malaysia.

> Daripada jumlah itu, 189,500 orang berkhidmat sebagai amah atau pembantu rumah.

> Selain pembantu rumah, sektor lain melibatkan pekerja Indonesia seperti pembinaan, perkhidmatan dan perladangan.

> Lebih 90 peratus pembantu rumah Indonesia di Malaysia adalah beragama Islam.

> Lebih 70 peratus daripada mereka datang dari Kepulauan Jawa iaitu Jawa Timur, Jawa Tengah dan Jawa Barat.

> Bagaimanapun terdapat kira-kira 61,000 pembantu rumah Indonesia tidak sah di negara ini.

> Daripada jumlah itu, 11,000 orang tidak mempunyai dokumen sah manakala 50,000 orang bekerja sebagai pembantu rumah separuh masa.

> Kebanyakan pembantu rumah separuh masa datang ke Malaysia secara sah tetapi tidak mempunyai permit kerja (contoh; mengikut suami yang bekerja di Malaysia).

> Jika tidak bekerja sebagai pembantu rumah, mereka ini bekerja di restoran atau di premis-premis jualan.

Trend di Malaysia

> Pengurangan bilangan pekerja Indonesia berdaftar di Malaysia bukan disebabkan oleh pembekuan pengambilan pembantu rumah.

> Ia ada kaitan dengan penambahbaikan ekonomi di Indonesia bagi sektor ladang dan pembinaan.

> Selain itu Malaysia juga mempunyai kuota bagi pengambilan pekerja asing yang kebiasaannya diturunkan setiap tahun.

> Walau bagaimanapun permintaan majikan di Malaysia terhadap pembantu rumah Indonesia semakin meningkat.

> Dianggarkan permintaan majikan terhadap pembantu rumah Indonesia sekitar 5,000 - 6,000 setahun.

> Pada 2010, terdapat usaha majikan mengambil pembantu rumah dari Kemboja, Vietnam dan Filipina.

> Tapi kenyataannya tidak ramai pembantu rumah dari negara tersebut yang mampu dibawa masuk kerana beberapa faktor.

> Faktor tersebut termasuklah masalah perbezaan bahasa dan agama.

> Permintaan pembantu rumah Indonesia bukan sahaja dari Malaysia tetapi dari negara-negara lain.

> Disebabkan Malaysia menerima masuk pembantu rumah berpendidikan rendah maka ramai rakyat Indonesia bersedia berkhidmat di sini.

Pertembungan dua budaya, agama berbeza punca utama konflik

> Kebanyakan masalah yang timbul antara majikan Malaysia dan pembantu rumah Indonesia berpunca daripada perbezaan budaya, agama dan karakter.

> Perkara pertama yang harus difahami oleh majikan yang ingin mengambil rakyat Indonesia sebagai pembantu rumah ialah negara itu mempunyai 280 etnik.

> Kebiasaannya, satu etnik mempunyai dua bahasa.

> Kebanyakan pembantu rumah Indonesia datang dari sebahagian Sumatera, Kepulauan Jawa, Lombok dan Nusantara Tenggara Timur (NTT) di mana masing-masing mempunyai cara hidup yang berbeza.

> Lebih daripada 90 peratus penduduk di NTT adalah bukan Islam.

> Perbezaan-perbezaan ini menyebabkan mereka pada peringkat awal sukar untuk menyesuaikan diri dengan budaya dan persekitaran baru di Malaysia.

> Ini terutama bagi mereka yang menetap di kawasan pedalaman dan berpendidikan rendah yang memerlukan tunjuk ajar yang lebih daripada majikan.

> Antara kesulitan yang berlaku seperti sukar untuk berkomunikasi dan mempunyai masalah dalam mengendalikan peralatan dan kemudahan di rumah majikan.

> Perbezaan agama antara pembantu rumah dan majikan turut menjadi faktor permasalahan yang berlaku apabila ia melibatkan isu halal, pelepasan untuk solat dan puasa.

> Dianggarkan 45 peratus majikan di sini yang menggaji pembantu rumah Indonesia terdiri daripada majikan beragama Islam dan 40 peratus berbangsa Cina.

> Disebabkan ramai pembantu rumah Indonesia beragama Islam dan permintaan daripada majikan bukan Islam di Malaysia juga tinggi, maka kelonggaran diberikan.

> Pembantu rumah beragama Islam boleh bekerja dengan majikan bukan Islam, tetapi majikan perlu mematuhi syarat tertentu.

> Harus diperjelaskan bahawa terdapat masyarakat di Indonesia yang tidak mengamalkan budaya memberi khidmat kepada orang lain.

> Tempat-tempat tersebut seperti Kalimantan, Aceh dan Sulawesi.

Aduan di KBRI

> Sebanyak 974 kes diterima daripada pembantu rumah Indonesia kepada KBRI di Malaysia.

> Jumlah aduan itu diterima dari Januari sehingga Jun 2011.

> Mereka membuat aduan menerusi panggilan telefon dan datang sendiri ke KBRI.

> Daripada jumlah aduan yang dilaporkan, sebanyak 540 kes (55.4 peratus) disebabkan pembantu rumah tidak dibayar gaji oleh majikan.

> Selain itu, aduan lain yang dilaporkan adalah mengenai perselisihan faham antara pembantu rumah dan majikan iaitu 87 kes (8.9 peratus) dan eksploitasi, 62 kes (8.9 peratus).

> Aduan turut disebabkan oleh penderaan fizikal dan seksual, masing-masing 31 kes (3.2 peratus) dan 10 kes (1 peratus)

Hak pembantu rumah dan majikan

> Secara amnya KBRI bertanggungjawab melindungi semua warganegara Indonesia yang bekerja di Malaysia termasuklah pembantu rumah.

> Disebabkan pembantu rumah menghabiskan hampir seluruh masa mereka dengan majikan, secara tidak langsung majikan juga mempunyai tanggungjawab memberi perlindungan kepada mereka.

> Terdapat majikan sering meletakkan harapan yang tinggi apabila mengambil rakyat Indonesia untuk berkhidmat sebagai pembantu rumah.

> Mereka menganggap semua pembantu rumah mampu melakukan semua jenis kerja rumah sepanjang masa.

> Tanggapan ini menyebabkan ada pembantu rumah dipaksa melakukan kerja-kerja berat dan tidak bersesuaian oleh majikan.

> Terdapat pembantu rumah yang beragama Islam disuruh menyediakan makanan tidak halal dan melakukan kerja tidak sepatutnya seperti memandikan anjing.

> Sebenarnya, tugas pembantu rumah hanya terhad kepada empat bidang tugas iaitu memasak, mencuci baju, mengemas dan menggosok baju.

> Bagaimanapun jika pembantu rumah ingin menjalankan tugas lain secara sukarela, itu tidak menjadi masalah.

> Tidak mungkin pembantu rumah mampu bekerja tanpa henti kerana secara logiknya manusia hanya mampu bekerja antara 8 sehingga 10 jam sehari.

> Pembantu rumah memerlukan masa rehat dan diberikan sekurang-kurangnya satu hari cuti pada setiap minggu.

> Syarat seperti cuti, tempoh bekerja sehari dan menghormati agama yang dianuti pembantu rumah terdapat dalam surat perakuan yang perlu ditandatangani majikan sebelum mereka mengambil pembantu rumah.

> Bagaimanapun terdapat segelintir majikan yang ingkar.

> Keengganan majikan mematuhi syarat yang dipersetujui akan menyebabkan pembantu rumah tertekan, seterusnya membawa kepada tercetusnya beberapa masalah.

Program HELPER, usaha KBRI

> Program HELPER ialah Sistem Perlindungan, Pemantauan dan Kebajikan Hal Ehwal Pembantu Rumah Indonesia.

> Merupakan kerjasama antara Saba Islamic Domestic Help Advisory (SAIDHA) dan KBRI dalam usaha mewujudkan kesejahteraan antara pembantu rumah Indonesia dan majikan di Malaysia.

> KBRI sangat menyambut baik program ini malah memberi sokongan terutama dalam bentuk pengurusan dan aktiviti.

> Dalam konteks ini KBRI mewakili pembantu rumah Indonesia di Malaysia.

> KBRI juga menyokong penubuhan Persatuan Majikan Amah Malaysia (MAMA) yang mewakili majikan-majikan pembantu rumah Indonesia di negara ini.

> 4 hala tuju utama program ini ialah latihan untuk pembantu rumah, kesedaran untuk majikan, aktiviti pemantau keganasan dan mengendalikan sistem penggajian.

> Program ini mewajibkan penyertaan daripada pembantu rumah Indonesia di Malaysia dan majikan yang mahu menggunakan khidmat mereka.

> KBRI mencadangkan sebaik-sebaiknya dimulakan apabila warga Indonesia tiba ke Malaysia sebelum mereka memulakan tugas sebagai pembantu rumah di rumah majikan.

> Seminar bersama majikan dan pembantu rumah Indonesia kemungkinan diadakan di KBRI di Malaysia atau satu tempat yang akan dirancang kelak.

> Program ini bukan sahaja untuk majikan sedia ada bahkan turut mengalu-alukan calon-calon majikan yang berminat mengambil khidmat pembantu rumah Indonesia.

> KBRI mahu memperjelaskan kepada majikan tentang sifat dan karakter rakyat Indonesia yang mana lebih sesuai diambil sebagai pembantu rumah.

> Usaha KBRI termasuk menyambut ketibaan pembantu rumah melalui ‘Welcoming Programme’ serta diberikan penerangan mengenai tugas sebelum dibawa oleh agensi pekerjaan bertemu majikan.

> Menteri Tenaga Kerja dan Transmigrasi Indonesia Muhaimin Iskandar baru-baru ini menetapkan syarat kepada tenaga kerja Indonesia yang ingin bekerja di luar negara supaya lulus ujian kecekapan selama 200 jam bertujuan meningkatkan daya saing mereka supaya lebih diterima di pasaran tenaga kerja dunia.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: