Tuesday, July 5, 2011

Gula-gula K-Pop Malaysia

Semanis gula-gula! Itulah perumpamaan yang sesuai untuk lima gadis cantik yang menggelar diri mereka sebagai Gula Gula ini.

Sebenarnya, sudah lama Zass menjejaki kumpulan ini lantaran terlalu banyak mulut bercerita mengenai mereka.

Lantas, satu pertemuan diatur dengan Nurfarahin Mohamed Khosaini (Rara), Erwina Lenny Niusan (Erwina), Joyce Antonius (Joy), Jenny Lim Mei Mei (Mei Mei) dan Rozalia Siteo (Achie) yang ditemani pengasas dan komposer mereka, Hadi Hassan.

Seorang lagi anggota Gula Gula, Noor Aishah Ibrahim atau Chacha bagaimanapun tidak dapat hadir kerana masalah kesihatan.

Lalu peluang yang ada digunakan untuk menyelami hati kelima-lima gadis ini, memandangkan kemunculan mereka dalam industri hiburan mencetuskan kontroversi.

Bukan saja dikatakan meniru muzik Korean Pop atau K-Pop yang melanda seluruh dunia ketika ini, malah imej seksi mereka dianggap keterlaluan dan tidak bersesuaian dengan budaya tempatan.

Lebih menyakitkan, ada yang sanggup menubuhkan ‘page’ khas ‘Anti Gula Gula’ di laman Facebook.

Menjelaskan isu itu, menurut Rara, tidak salah sekiranya mereka mengikut peredaran muzik semasa di mana genre pop menjadi pilihan.

“Kami memperjuangkan konsep K-Pop ‘fusion’ tetapi tidak sepenuhnya mengikut bunyi muzik dari sana.

“Sebaliknya, kami menjadikannya sebagai inspirasi dan menggabungkan dengan elemen tempatan agar lebih bersesuaian dengan pendengar Malaysia,” katanya.

Mengenai imej seksi Gula Gula, Mei Mei berkata, mereka bersedia menerima pandangan dan mengubah penampilan agar lebih bersesuaian dan sopan.

“Kritikan banyak membantu kami mengenal pasti kelemahan dan memperbaikinya. Misalnya, pemakaian kami yang dipertikaikan membuatkan kami lebih peka dengan sensitiviti masyarakat dan berhati-hati dalam pemilihan pakaian selepas ini,” katanya.


Dua ‘single’ bukti kemampuan

Lupakan seketika soal kontroversi, kerana Gula Gula yang bernaung di bawah syarikat Eight Tones Communications milik Hadi ini benar-benar serius dengan kerjaya mereka.

Mereka semua dipilih Hadi untuk membentuk Gula Gula selepas melepasi uji bakat yang dibuat akhir tahun lalu.

Kriteria yang dicari bukan sekadar rupa, sebaliknya mereka dinilai berdasarkan kebolehan menyanyi, menari dan komitmen.

Kesemua ahli Gula Gula mempunyai asas dalam bidang nyanyian, malah ada antara mereka yang mengambil kursus vokal di universiti.

“Kelebihan kami adalah setiap anggota mempunyai ‘range’ vokal yang berlainan namun harmoni.

“Kami juga mempunyai kebolehan bermain alat muzik seperti gitar, tabla, ‘keyboard’ dan piano, selain mampu menari dengan baik ketika persembahan,” jelas Erwina.

Dalam tempoh enam bulan sejak ditubuhkan, Gula Gula bekerja keras menyiapkan diri sebagai artis serba boleh, termasuk mencipta koreografi mereka sendiri tanpa bantuan pereka tarian terkenal.

Hasilnya, ‘single’ mereka berjudul Suka Gitu ciptaan Hadi dan lirik oleh J.Looy yang dilancarkan bulan lalu sudah mula berkumandang di corong radio.

“Lagu ini berentak rancak dan mengisahkan pahit manis dalam sesebuah hubungan percintaan.

“Sementara, single kedua Kongkong akan dikeluarkan dalam masa terdekat, “ kata Achie.

Sejujurnya, Gula Gula wajar dikagumi kerana mereka tidak mudah melatah dengan segala kritikan kerana sedari awal sudah mengetahui akan cabaran perlu ditempuhi apabila menceburi bidang hiburan.

“Mahu tidak mahu, kami perlu kerja keras dan teruskan apa yang diperjuangkan sejak mula lagi.

“Kami mohon masyarakat tidak terlalu cepat membuat penilaian negatif, sebaliknya beri peluang kepada kami bukti bakat,” kata Joy, yang dipersetujui rakan lain.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: