Sunday, July 17, 2011

Finochio kecewa dengan Singapura


Finochio kesal dilayan kurang mesra di negara sendiri.


DILAYAN seperti anak tiri di negara sendiri.Itu yang berlaku ke atas kumpulan Finochio yang dianggotai oleh trio Fyno (vokalis), Aki (gitar utama) dan Zali (Gitar kedua) yang hadir ke studio Utusan Malaysia baru-baru ini sambil membawa kekecewaan di jiwa masing-masing.

Menurut Fyno selaku ketua kumpulan, biarpun Singapura merupakan sebuah negara yang dilihat berpotensi besar dalam bidang muzik, namun ia terbatas disebabkan oleh beberapa perkara.

Mempunyai belasan tahun pengalaman dalam bidang muzik, Fyno bagaimanapun mengaku, pengalaman dan bakat yang ada bukanlah sesuatu yang boleh dijual di sana.

Menurut Fyno, meski perjuangan muzik mereka cukup menebal, namun seringkali mereka dapati industri hiburan Singapura seolah-olah tidak banyak memainkan peranan untuk membantu pemuzik tempatan seperti mereka.

“Sudah lama kami memantau perkara ini. Kalau artis luar, tanpa cakap banyak mereka akan mudahkan laluan untuk masuk ke negara ini.

“Kalau pemuzik tempatan, jauh sama sekali. Boleh nampak perbezaan layanan itu. Baik dari stesen radio mahupun televisyen, anak tempatan tidak diutamakan.

“Walhal kami pun punya karya muzik yang baik. Kadang-kadang kalau sentuh soal bayaran pun begitu. Kami pun sudah malas nak ungkit benda ni sebab ia tidak akan berkesudahan,” katanya.

Melihatkan ketegasan Fyno menyuarakan pandangannya berhubung senario hiburan di Singapura, Pancaindera pantas mengaju pertanyaan apakah Finochio tidak bimbang jika keadaan bertambah tegang dan mereka semakin sukar mencipta nama di tanah kelahiran sendiri?

Tanpa sedikit gusar, kata Fyno, soal kebimbangan atau takut dihentam bukan menjadi isu utama memandangkan mereka berada di pihak yang benar.

“Kami cakap apa yang betul, jadi kami tak kisah kalau orang-orang industri sana nak hentam atau kutuk kami.

“Mereka sepatutnya menolong pemuzik tempatan, tapi balik-balik orang luar yang dirajakan. Bila pula pemuzik tempatan nak naik bukan?” katanya.

Kekesalan yang ditanggung ini juga merupakan punca utama mengapa mereka memulakan langkah untuk mencari tapak di Malaysia.

Membawa genre eksperimental rock, Finochio meletakkan harapan yang tinggi untuk diterima ramai di negara ini menerusi taruhan single berjudul Papa, I Love You.

Menurut Fyno, mereka memilih Malaysia kerana percaya muzik yang dibawa menepati selera pendengar di sini selain mahu mencuba nasib apalagi selepas melihat potensi untuk mengembangkan karier di sini lebih besar.

Bukan itu sahaja, tutur Fyno, hijrah mereka ke Malaysia juga merupakan satu usaha untuk menyemarakkan industri muzik Melayu.

“Kami percaya ada ruang buat kami di sini biarpun tahu persaingan pasti sengit. Apalagi kami ini datangnya dari negara jiran dan di Malaysia juga sudah ada lambakan band tempatan.

“Tapi itu bukan satu penghalang kerana kami juga berdarah Melayu. Muzik yang kami bawa juga ada jiwa Melayu,” katanya.

Dalam pada itu, Fyno menolak andaian pihak tertentu yang mengaitkan Finochio cuba menenggelamkan band-band tempatan sementelah kurang mendapat publisiti di negara sendiri.

“Kami tak ada niat nak bersaing dengan mana-mana band atau sebagainya. Soal ada publisiti atau tidak, itu bukan isunya sebab sasaran kami cuma mahu berkongsi produk yang kami ada. Itu sahaja,” katanya.

Sementara itu, Finochio juga merancang untuk melebarkan sayap mereka ke Indonesia dan Brunei selepas penaklukan mereka di Malaysia menampakkan hasil yang positif.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: