Sunday, July 17, 2011

Ardeshir sayang Malaysia kerana aman




Wajah-wajah asing semakin ramai di negara ini. Rata-rata anak muda negara negara Timur Tengah dan Asia Barat memilih institusi pengajian tinggi di negara ini untuk meneruskan pengajian. Ardeshir Bangi dari Tehran, Iran seorang daripadanya. Dia baru saja tamat pengajian di salah sebuah universiti swasta di Kuala Lumpur.

Dia menghabiskan pengajian dalam bidang Pengurusan Perniagaan hujung tahun lalu dan ketika ini berusaha mencari peluang pekerjaan.

“Seronok berada di negara Malaysia yang aman, kawan-kawan di sini juga baik dan menerima kehadiran orang asing seperti kami. Sifat itulah yang membuatkan pelancong asing rasa selesa dan selamat berada di Malaysia,” kata Ardeshir kepada Pancaindera.

Ardeshir datang ke Malaysia pada 2007 untuk menyambung pengajian dan dalam masa yang sama mengintai bidang peragaan.

Dunia peragaan di Malaysia yang semakin berkembang turut membuka peluang kepada orang asing yang sedang belajar atau bekerja di sini. Selain pembabitan mereka untuk tujuan pengiklanan di Malayia, ada juga yang terpilih menjadi model untuk kempen di luar negara.

Jamal Tommy Talents Agency salah sebuah agensi yang aktif membuka peluang kepada wajah-wajah asing di Malaysia.

“Saya juga salah seorang bakat dalam agensi Jamal Tommy. Saya mencuba nasib di sini kerana memiliki sedikit pengalaman peragaan semasa di negara saya,” kata Ardeshir yang mengintai peluang untuk iklan cetak atau iklan televisyen.

Ardeshir juga terpanggil untuk berbicara pasal perhimpunan haram Bersih 2.0 yang dilakukan segelintir masyarakat Malaysia yang menurutnya tidak menghargai keamanan yang sedang dilalui.

“Saya sangat tak setuju dengan perhimpunan minggu lalu. Saya rasa rakyat Malaysia memiliki peluang untuk hidup dalam keamanan dengan pelbagai kemudahan yang disediakan oleh kerajaan.

“Perhimpunan itu mengingatkan saya dengan situasi masa lalu di Iran. Walaupun saya tidak lahir zaman itu, tapi sejarah mengatakan bahawa kami juga ada kebebasan sebelum berlakunya revolusi.

“Demonstrasi itu kononnya untuk mendapat lebih kebebasan, tapi hakikatnya selepas itu lain pula yang dialami, ” kata Ardeshir yang mahu rakyat Malaysia belajar daripada sejarah itu.

Sementara itu, Ardeshir sedang berusaha mencari peluang pekerjaan di Malaysia selepas beberapa bulan tamat pengajian. Usahanya masih gagal kerana ada syarikat yang berasa payah berususan dengan pihak berkaitan.

“Saya sangat cintakan Malaysia. Tapi kalau tak dapat peluang bekerja saya terpaksa meninggalkan negara aman yang saya cintai ini dengan penuh memori indah.

“Pelajar asing tidak boleh bekerja sambil belajar. Pada pendapat saya, kalau peraturan itu dilonggarkan pasti lebih ramai pelajar asing memilih institusi pengajian tinggi di Malaysia,” katanya yang sudah lima tahun di Kuala Lumpur.

1 comment:

  1. It's good to see my interview in here :) I will be glad to hear about your comments. you can email me as "ardemilk@yahoo.com"

    Thanks

    Ardeshir Bangi

    ReplyDelete

Tinggalkan Komen Anda Sini: