Sunday, July 17, 2011

Gelanggang Tuk Wali masuk istana




BERMULA hanya dengan sebuah pementasan yang kecil, siapa sangka impaknya cukup besar hari ini. Kalau dulu pementasan teater Gelanggang Tuk Wali hanya untuk pementasan kecil di sekolah, tetapi kini naskah itu diangkat ke tempat yang lebih tinggi.

Naskah Gelanggang Tuk Wali yang ditulis oleh Ismail Kassan cukup untuk mengisahkan tentang perjuangan kental seorang guru silat yang mahu mempertahankan warisan budaya bangsanya. Biarpun mendapat tentangan daripada penduduk kampung yang lain, itu langsung tidak mematahkan semangat mereka.

Bukan soal silat yang menjadi taruhan tetapi isu-isu yang menjadi duri dalam daging masyarakat kita seperti mengadu domba, isu hasad dengki dan macam-macam perasaan iri hati diketengahkan untuk memberi pengajaran pada semua.

Mungkin naskah Gelanggang Tuk Wali ini impaknya tidak sebesar teater yang lain. Bukan menidakkan naskah hebat ini tetapi bila melihatkan barisan pelakon baru yang tersenarai, hati terdetik mampukah teater ini berdiri megah di pentas Istana Budaya (IB).

Cukup teruja untuk masuk ke panggung pada 28 hingga 30 Julai ini, Gelanggang Tuk Wali yang dibawakan oleh Beringin Entertainment ini cukup optimis apabila dapat bekerjasama dengan IB, Kelab Teater Sekolah Menengah Kebangsaan Wangsa Melawati, Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negara dan pihak kementerian.

Selain Mazlan Tahir, pelakon lain yang terlibat termasuklah Aeril Zafaril, Umi Kalsom, Syazwan Hashim, Zakaria Yusof, Mohd Azam, Eiz Omea, Atrash, Afiq Muiz, Afian Giman dan ramai lagi.

Syazwan Hashim

“JADI Ripin dalam teater ini memang menguji kemampuan saya. Watak anak murid kesayangan Tuk Wali ini cukup mencabar memandangkan banyak sisi lain yang saya perlu teroka sedikit demi sedikit.

“Nasib baik saya sudah ada pengalaman sebelum ini. Jadi untuk bangunkan watak Ripin ini tidak sesukar mana. Cuma apa yang paling penting saya dapat memuaskan hati semua penonton yang hadir ke IB nanti,” ujarnya yang sudah terlibat dalam 10 naskah teater tradisonal.

Afiq Muiz

“SEJUJURNYA saya cukup takut untuk terlibat dalam teater ini. Namun bila difikirkan ini merupakan peluang yang tak boleh dilepaskan oleh saya walaupun bukan watak yang besar.

“Biarlah ini menjadi permulaan buat saya dalam dunia teater. Kalau tidak besar sekalipun saya nak sangat rasa pengalaman menjadi pelakon teater yang diidam ramai itu,” ujar finalis Kacak Bergaya 2009 ini.

Afian Giman

“SAYA bawa watak Tuk Imam dalam teater ini. Memang watak yang lain memandangkan Tuk Iman ini penuh dengan hasad dengki dan ada sisi hitam dalam dirinya.

“Banyak perkara yang perlu saya pelajari sebenarnya. Selalu kita tengok imam yang baik tapi kali ini ia cukup lain. Mungkin saya kena kaji watak lebih untuk memberi impak pada peminat yang datang nanti,” jelas lelaki 32 tahun ini.

Eiz Omea

“SAYA ni kelam kabut sikit, tapi dalam teater ni saya dapat watak sebagai gadis yang lemah lembut. Memang sangat mencabar buat saya memandangkan itu berlainan karakter dengan diri saya ini.

“Dah tu saya kena belajar silat pula. Alhamdulillah lepas berlatih seminggu saya sudah tahu langkah yang perlu ada. Memang tak hebat mana tapi itu memang cukup berguna buat saya,” kata bekas peserta program realiti Anak Wayang ini.

Atrash

“Pengalaman berlakon dalam Gelanggang Tuk Wali ni memang satu peluang yang cukup besar buat saya. Banyak pengalaman yang saya kutip sepanjang latihan.

“Lagi banyak kita berlatih, lagi banyak ilmu yang kita dapat. Sebab tu saya tidak ada menolak watak kecil atau besar. Yang penting ilmu yang saya dapat,” kata Atrash.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: