MEMBESAR dalam keluarga yang menjalankan perniagaan fabrik dan jahitan telah menyemai minat Siti Sumera Deyana Sukri, 26, untuk melibatkan diri dalam bidang yang sama secara serius.
Sebaik saja menamatkan pengajian di Kolej Pusat Teknologi dan Pengurusan Lanjutan (PTPL) dalam jurusan Diploma Pengurusan Perniagaan empat tahun lalu, dia mula berjinak-jinak mengusahakan perniagaan pakaian secara dalam talian iaitu di meaonlineshoppe.com.
Pada peringkat permulaan, Siti Sumera atau mesra dengan panggilan Mea, menawarkan koleksi busana kasual, seleksi jubah moden dan dres labuh yang hadir dalam pelbagai warna serta potongan.
Tidak ketinggalan, para pelanggan turut berpeluang membeli bermacam-macam corak dan jenis kain sari yang diimport khas dari Dubai, Pakistan dan India.
“Kini saya melibatkan diri dalam bisnes solekan dan busana pengantin di bawah label Mea Sukri Make Up. Pengalaman membantu ibu di butik sewaktu kecil seperti pemilihan kualiti dan warna fabrik serta menjahit manik saya praktikkan sebaik mungkin. Lagipun, saya memang meminati bidang fesyen dan kecantikan sejak menuntut di sekolah menengah.
“Biarpun terpaksa bersaing dengan kelompok pereka fesyen dan mak andam tempatan yang senior tetapi saya tidak gusar. Saya melihat bisnes solekan dan pakaian pengantin sentiasa mendapat permintaan tinggi kerana kini ramai yang merancang untuk berumah tangga,” jelas Mea sambil menunjukkan taburan manik jahitannya yang menghiasi baju pengantin rona coklat lembut.
Berbicara lanjut, anak kelahiran Kota Bharu, Kelantan itu menyatakan perincian dan hiasan bagi sepasang busana pengantin wajar dititikberatkan.
Manik dan labuci
|
|
Ia membantu menyerlahkan penampilan pengantin wanita agar tampak anggun dan menawan pada hari bahagia. Selain batu permata, bahagian kaki baju, pergelangan tangan dan leher baju turut diserikan dengan labuci dan manik.
“Tetapi ini tidak bermakna saya bebas meletakkan perincian pada semua koleksi pakaian pengantin yang dihasilkan. Taburan manik atau labuci sebenarnya bergantung pada fabrik dan personaliti si mempelai.
“Lazimnya, saya memilih perincian bagi fabrik polos atau rona yang lembut. Bagi kain renda atau sutera yang sudah sarat dengan perincian pula saya hanya fokus pada rekaan dan potongan,” tutur Mea yang gemar memilih fabrik sifon dan kain renda Perancis kerana kedua-dua jenis kain tersebut menyerlahkan konsep glamor dan elegan.
Menyentuh mengenai rekaan pakaian pengantin yang ditawarkan, Mea memberitahu dia mengetengahkan busana pengantin yang berkonsepkan moden kontemporari dan tradisional.
Buktinya, selain baju kebaya labuh, pendek dan baju kurung moden, Mea turut mereka dres moden meleret serta gaun kembang nuansa putih.
Jelas Mea, penghasilan busana pelbagai konsep bertujuan memberi banyak pilihan kepada si pengantin untuk bergaya pada majlis perkahwinan.
“Jika inginkan kelainan ketika adat merenjis, pengantin boleh menyarungkan busana berunsurkan tradisional kerana ia bersesuaian dengan gelaran raja sehari.
“Namun, bagi acara memotong kek, penampilan pengantin boleh diserlahkan dengan memakai gaun kembang yang digayakan bersama topi atau layah,” terang Mea yang gemarkan warna-warna lembut dan pastel seperti coklat, biru dan hijau.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: