Wednesday, July 13, 2011

Jariah cerewet demi kesempurnaan


Jariah memastikan setiap kerja bukan sahaja siap dilaksanakan tetapi yang penting dilakukan dengan sempurna.


MUNGKIN ia perlu ditulis sebagai catatan sejarah dan juga satu penghormatan buat golongan wanita apabila Datin Jariah Mohd. Said dilantik sebagai Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Pelantikan itu meletakkan Jariah sebaris dengan golongan wanita pembuat dasar di negara ini yang mana ia merupakan pengiktirafan kepada mereka.

Bagi JPN sendiri, pelantikan itu merupakan sejarah tersendiri kerana Jariah merupakan wanita pertama menjadi ketua pengarah - selama ini jawatan berkenaan disandang oleh lelaki.

Namun, pelantikan itu datang bersama dengan komitmen, amanah dan tanggung jawab yang perlu digalas dengan penuh dedikasi.

Itu semua memang telah sedia terbekal dalam jiwa Jariah yang sangat komited dengan kerja-kerja yang diamanahkan kepadanya biarpun pelantikan tersebut bermula 22 Jun lalu.

"Itu semua tidak menjadi masalah kepada saya kerana dalam kehidupan, saya memang suka bekerja dan kuat bekerja. Bukan kerana pangkat tetapi kerana amanah yang telah diberikan.

''Saya akan melaksanakan tanggungjawab dan kewajipan yang diamanahkan sesempurna mungkin dengan sedaya upaya," katanya ketika ditemui pada majlis ramah mesra bersama media di pejabatnya di Putrajaya, baru-baru ini.

Jariah yang dilahirkan di Matang, Perak dan mempunyai tiga orang anak, berkelulusan Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Ekonomi dari Universiti Malaya pada tahun 1977.

Sentiasa komited dengan setiap kerja yang dilakukan sehingga beliau banyak menerima anugerah dan sijil perkhidmatan cemerlang sepanjang bertugas di pelbagai jabatan termasuk Jabatan Imigresen dan Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Biarpun sebelum ini bertugas sebagai Setiausaha Bahagian Pendaftaran Negara dan Pertubuhan KDN, akui beliau, kerjanya sekarang satu skop yang berbeza tetapi bukan bermakna ia sesuatu yang baru.

Ditanya bagaimana beliau boleh membahagikan kerjaya dengan keluarga, katanya, mungkin kerana pada peringkat ini tiada banyak kekangan sementelah anak-anak sudah dewasa.

Apa pun, kata Jariah, laluan kerjayanya pada peringkat awal bukanlah sesuatu yang mudah.

"Saya gembira dan bersyukur kerana keluarga saya dan anak-anak sentiasa memberi sokongan dan memahami kerjaya saya," katanya yang gemar beriadah bersama suami, Datuk Dzulkarnain Abdul Rahman, dengan berjalan tiga kilometer setiap hari dalam kawasan perumahannya sebagai salah satu aktiviti selain gemar beraerobik.

Menjadikan aktiviti memasak sebagai hobi pada waktu senggang, wanita ini gemar dengan masakan mi rebus yang resipinya diambil dari negeri Johor.

Sebagai insan yang memegang jawatan tinggi pasti ada individu lain yang menjadi idolanya selama ini.

Tetapi Jariah tidak mendedahkan siapa idolanya itu kerana padanya biarlah disimpan untuk diri sendiri sebagai pendorong kepada kemajuannya.

Dalam pada itu apabila ditanya mengenai dasar penglibatan sekurang-kurangnya 30 peratus golongan wanita di peringkat pembuat keputusan dalam sektor korporat yang bertujuan meningkatkan bilangan wanita sebagai ahli lembaga pengarah yang telah diluluskan Parlimen, baru-baru ini, beliau menyifatkan dasar itu memang ditunggu-tunggu.

Pada masa sama, beliau juga meminta agar pelantikan itu dilakukan bukan setakat hanya untuk memenuhi kuota.

Tetapi apa yang penting individu yang dilantik itu mestilah dari kalangan mereka berjaya menunjukkan komitmen dan amanah terhadap kerja yang dilaksanakan.

Apabila ditanya mengenai persepsi bahawa wanita yang menjadi ketua dikatakan lebih cerewet, beliau menjelaskan sikap 'cerewet' perlu ada.

Namun, katanya, kecerewetan itu perlu kena pada tempatnya untuk kesempurnaan sesuatu kerja.

Tapi sikap seperti itu katanya, perlu berpada-pada dan jangan sampai keterlaluan.

''Bagi saya sendiri, saya mementingkan sesuatu kerja itu bukan sahaja siap dilaksanakan tetapi apa yang penting kerja itu dilakukan dengan sempurna," jelasnya.

Justeru, sebagai pemegang tonggak kepada satu jabatan yang penting, Jariah berjanji akan melakukan sebaik mungkin bagi memantapkan lagi JPN untuk kemudahan dan kebaikan rakyat di negara ini.

Antara lain, katanya, ialah menerusi meningkatkan tahap kualiti MyKad, memudahkan urusan pendaftaran kelahiran dengan sentiasa memastikan pihaknya turun padang biarpun ke kawasan pedalaman terutamanya di Sabah dan Sarawak.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: