SEDIA FIZIKAL MENTAL...Noorsiha (tiga dari kiri) bersama kakitangan Pejabat Hutan Raub ketika mencari koleksi tumbuhan di Cameron Highlands.
MENYIMPAN lebih 5,000 koleksi tumbuhan tanah tinggi dan rendah sudah cukup membuktikan kelebihan dan kehebatan dimiliki Noorsiha Ayop, 44, sepanjang 18 tahun terbabit dalam bidang botani.
Kesungguhannya melakukan kajian terhadap tumbuhan dibuktikan lagi dengan kejayaan menakluk 30 gunung dan bukit di seluruh negara semata-mata untuk mengumpul seberapa banyak spesies pokok yang sukar ditemui.
Lebih membanggakan buat Noorsiha yang kini bertugas sebagai pegawai penyelidik kanan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) Kepong, Selangor apabila berjaya membangunkan empat taman botani yang menjadi kebanggaan negara.
Selain taman botani FRIM di Kepong, dia turut memajukan Taman Botani Putrajaya yang menjadi taman terbesar di negara ini dengan lebih 700 spesies pelbagai jenis tumbuhan tanah tinggi dan rendah.
Taman Botani Pulau Pinang yang dianggap sebagai tertua di negara ini apabila dibuka pada 1884 oleh pemerintah Inggeris itu turut mendapat sentuhan Noorsiha.
“Projek yang saya anggap paling mencabar dan memerlukan lebih perhatian adalah Projek Pembangunan Cameron Highlands Montane Park yang menempatkan pelbagai spesies tumbuhan gunung dari seluruh negara.
“Projek berkenaan bermula pada 2003 dengan kerjasama Jabatan Perhutanan Pahang. Ia bertujuan meningkatkan lagi sektor pelancongan yang berkembang pesat di tanah tinggi berkenaan,” katanya yang pernah mendaki Gunung Fuji di Jepun pada 2006.
Untuk menjadi penyelidik botani yang berjaya, selain minat, Noorsiha akui kecergasan juga menjadi faktor utama untuk menggalas tugas terutama membabitkan aktiviti mendaki bukit dan gunung selain meredah hutan belantara.
“Setiap kali mendaki bukit dan gunung, saya mendapat bantuan lima hingga 10 pembantu yang akan bertanggung�jawab membawa makanan, khemah dan peralatan termasuk koleksi tumbuhan yang akan dibawa pulang.
“Kerja secara berpasukan akan lebih mudah selain dapat menjamin keselamatan terutama apabila terpaksa bermalam di hutan dalam tempoh sehingga 15 hari.
“Walaupun saya hanya wanita tunggal dalam kumpulan, demi tugas dan minat, ia bukan penghalang kepada misi membawa seberapa banyak koleksi tumbuhan yang akan ditanam semula selain dikeringkan,” katanya yang sememangnya meminati aktiviti lasak.
Katanya, cabaran mendaki setiap gunung atau bukit memang berbeza.
Sebagai contoh, Gunung Kinabalu di Sabah memiliki bentuk muka bumi yang berbatu, angin yang kuat serta cuaca lembap dan memerlukan seseorang itu lebih berhati-hati untuk mengelak berlakunya sebarang kejadian tidak diingini.
Selain terbabit dengan aktiviti mendaki, dia juga menyusuri beberapa sungai bagi mendapatkan koleksi tumbuhan yang banyak terdapat di sesuatu kawasan.
“Saya pernah menaiki perahu panjang selama enam jam menyusuri sungai di Sarawak. Cerita buaya ganas di sungai berkenaan membuatkan hati sentiasa berdebar dan bimbang berlaku kejadian tidak diingini.
“Semangat dan minat terhadap bidang kajian tumbuhan membuatkan saya tidak pernah berasa semua cabaran sebagai penghalang kepada usaha mencari kepuasan yang sukar untuk diterjemahkan dalam bentuk kata-kata,” katanya.
Sepanjang 18 tahun terbabit dalam bidang penyelidikan yang memerlukan dia berada di hutan, beberapa kejadian aneh berlaku namun itu bukan penghalang kepadanya untuk terus berusaha.
Berada di hutan juga membuatkan dia sedar bahawa setiap individu tidak boleh manja, malas dan terlalu mengharapkan bantuan orang lain. Semua istilah berkenaan perlu ditinggalkan untuk �mengelak sebarang masalah.
Untuk memastikan ilmu yang dikumpul selama ini tidak hilang begitu saja, Noorsiha mengambil pendekatan �dengan berkongsi ilmu berkenaan bersama pelajar pusat pengajian tinggi serta rakan dan mereka yang meminati bidang sama.
“Saya berpuas hati dapat berkongsi ilmu dan pengalaman dengan lebih 150 pelajar beberapa universiti tempatan sejak beberapa tahun lalu. Hanya dengan cara ini saja hasil penyelidikan yang diperoleh selama ini dapat terus kekal.
“Pendedahan terhadap pendidikan alam sekitar membabit�kan remaja turut dilakukan di seluruh negara dan usaha ini akan terus dilakukan selagi termampu,” katanya.
Selepas berjaya mengumpul koleksi pelbagai tumbuhan darat, dia kini mula beralih kepada usaha memperkenal�kan pokok air yang terdapat di beberapa tasik di Malaysia.
Katanya, banyak tumbuhan air tumbuh di beberapa tasik seperti Tasik Chini dan Tasik Bera di Pahang yang mungkin begitu asing kepada �sesetengah pihak terutama �masyarakat bandar.
Dengan usaha itu, �masyarakat akan dapat melihat sendiri tumbuhan berkenaan yang akan ditempatkan di taman botani di Putrajaya, Pulau Pinang dan Kepong tidak lama lagi.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: