Sunday, May 29, 2011

Tarian jalanan panaskan Showdown 2




IMPAK garang menjadi ayat pemanas kepada program realiti tarian Showdown 2011 yang kini memasuki musim kedua.

Dalam sesi uji bakat pertandingan yang diadakan baru-baru ini, hampir setiap lokasi menjadi ruang berhimpun peminat tarian tanpa mengira lapisan umur.

Rata-rata peminat yang hadir tidak malu mempertaruhkan kebolehan masing-masing meskipun tidak semuanya belajar menari secara formal.

Salah seorang penerbit Showdown 2011, Anusha Eliz Peterson memberitahu, program itu tidak mengehadkan atau mengutamakan kumpulan yang mempunyai latar belakang kerjaya tarian.

“Kebanyakan peserta tidak memiliki kerjaya dalam bidang tarian. Sebaliknya, ramai penari remaja breakdance beraksi menggamatkan suasana uji bakat.

“Sebenarnya, semua peserta berbakat cuma tiada pentas yang sesuai untuk mereka membuktikan keupayaan sebelum ini,” jelasnya.

Bagaimanapun, sudah tentulah peserta yang mempunyai asas tarian seperti tarian tradisional mampu memberikan kelainan dalam persembahan masing-masing.

Bagi kumpulan yang menggelarkan diri mereka sebagai Bounce Stepperz, pengalaman peribadi setiap ahli kumpulan tersebut dalam tarian zapin ternyata mampu mengasingkan mereka daripada kumpulan atau kru yang lain.

“Bukannya kru lain tidak bagus tetapi untuk meletakkan sesebuah kru itu di tahap yang lebih mantap, rentak tarian yang berlainan akan menjadi tarikan juri dan penonton,” kata Anusha.

Terbukti, juara Showdown 2010, Wakaka Crew akhirnya mampu menjadikan keunggulan tarian mereka sebagai kerjaya.

Pada mulanya mereka sekadar mencuba tetapi semangat bersungguh-sungguh membolehkan Wakaka Crew menerima jemputan sebagai penari undangan dalam pelbagai acara.

“Setelah berjaya mencipta nama menerusi Showdown, Wakaka Crew sekarang bergelar selebriti.

“Kami sendiri perlu membayar jika memanggil mereka membuat persembahan.

“Perkembangan ini sangat bagus kerana program ini ternyata mampu melahirkan penari profesional,” ujarnya lagi.

Mengimbau kembali Showdown musim pertama, Anusha berpendapat, ia sukar dibezakan kerana setiap musim, kru-kru tampil dengan pergerakan yang lebih energetik.

“Keupayaan barisan kru tidak tertumpu pada koreografi semata-mata.

“Ini kerana kebanyakan kru turut menampilkan idea masing-masing untuk memberi impak dramatik termasuk dari segi pencahayaan semasa persembahan.

“Begitu juga dari aspek kostum, mereka diberi kebebasan asalkan pakaian itu tidak menimbulkan masalah atau kontroversi,” tambah Anusha.

Bukan itu sahaja, setiap tugasan yang diberikan perlu disiapkan dalam tempoh seminggu sahaja. Sebenarnya, tempoh itu sangat mencabar.

“Dalam tempoh itu mereka harus menentukan gerak tarian yang sesuai dengan tema yang ditetapkan, selain pemilihan kostum dan aspek lain dalam persembahan.

“Mental dan fizikal mesti kuat kerana kru juga dikehendaki mengambil bahagian dalam raptai penuh sebelum program itu bersiaran secara langsung,” tutup Anusha.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: