ANA Raffali dan Dafi bakal menjadi tumpuan apabila kedua-duanya muncul bersama dalam teater muzikal Kenangan Mengusik Jiwa...60-an (KMJ) di Istana Budaya (IB) dari 27 Mei hingga 5 Jun.
Tiada masa mengeluh
Berbanding Ana Raffali, Dafi pernah menimba pengalaman di TV sebagai pelakon. Penyanyi lagu Bila Terasa Rindu ini barangkali tidak mempunyai masalah untuk beraksi di pentas teater.
“Tetapi jelas sekali teater memberi suasana berbeza berbanding lakonan untuk TV dan layar perak. Saya bertuah berdampingan dengan pelakon dan penyanyi 60-an yang terbabit dalam pementasan ini kerana ia menjadi ruang terbaik mengutip pengalaman berharga.
“Kesempatan berlakon pementasan muzikal ini juga diibaratkan seperti mimpi jadi kenyataan kerana saya memang menggemari dunia muzikal,” kata anak muda ini.
Bukan hanya KMJ, tahun ini juga bakal menyaksikan penyanyi yang baru muncul dengan single Euphoria ini sekali lagi beraksi di pentas menerusi teater Dreamgirls, yang juga akan dipersembahkan di lokasi sama bermula 14 hingga 24 Julai nanti.
“Kedua-dua teater ini menuntut pengorbanan masa untuk saya. Tapi ia bukan alasan untuk mengeluh, sebaliknya mengajar saya untuk bijak membahagikan masa,” kata kata Dafi yang menjalani latihan Dreamgirls pada sebelah pagi hingga petang, manakala malam pula untuk KMJ.
Dalam teater arahan Lokman Abdul Ghani itu, Dafi memegang watak sebagai Rey pada waktu muda, manakala Ana pula memegang watak Rose zaman muda.
“Berlakon dengan Ana memang cukup menyenangkan. Dulu kami pernah terserempak ketika terbabit sebuah persembahan. Tapi kini berpeluang berlakon bersama. Biasalah, awalnya terbit rasa janggal dan ia perkara normal. Tambahan pula, watak kami turut menuntut sisi romantis sedangkan saya bukan lelaki yang romantik. Namun ruang latihan menjadi saluran terbaik untuk kami mencipta keserasian,” katanya yang dilantik sebagai duta Bank Rakyat, baru-baru ini.
Kali kedua dilamar Lokman
ARTIS Baru Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2010 ini memberitahu, tawaran berlakon di pentas KMJ ini adalah yang kedua daripada pengarahnya, Lokman Ghani.
Mula-mula untuk teater Teratak Minang, namun terpaksa menghampakan Lokman kerana ada komitmen lain yang perlu diutamakan, tetapi pelawaan kali kedua ini tidak dapat lagi dielak.
“Terima kasih kepada Lokman kerana membuka peluang kepada Ana untuk membabitkan diri ke pentas teater. Ana melihat peluang ini sebagai ruang untuk terus belajar. Lagi pun Ana memang meminati apa saja cabang seni persembahan,” katanya bersemangat.
Penyanyi yang dikenali dengan imej berbaju kurung ini juga membuka cerita perkenalannya dengan Lokman ketika terbabit membuat persembahan di Laman Santai, Istana Budaya, tahun lalu. Malahan idea lagu Kalau Berpacaran dendangannya bersama Sohaimi Mior Hassan dan Altimet antara yang menyuntik idea kepada KMJ.
“Biarpun tiada pengalaman, tapi tawaran berlakon teater cukup Ana hargai,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: