Sunday, May 1, 2011

Sai Baba lelaki ajaib


SELAMA beberapa dekad, pengikut Sai Baba menganggap lelaki itu sebagai jelmaan tuhan.


GURU spiritual dari India, Sri Sathya Sai Baba, 85, yang diangkat setaraf dewa oleh pengikutnya meninggal dunia Khamis lalu akibat kegagalan jantung, selepas lebih sebulan hidup dengan alat bantuan pernafasan.

Lelaki berambut afro dan bertubuh setinggi 157 sentimeter itu didakwa memiliki kuasa luar biasa dan dikatakan adalah jelmaan semula seorang tokoh kerohanian, Shirdi Sai Baba yang meninggal dunia pada tahun 1918.

Sepanjang hayatnya, Sathya Sai Baba didakwa menghidupkan sekurang-kurangnya 10 orang yang sudah mati. Salah seorang daripada mereka ialah pengikutnya yang berasal dari Amerika Syarikat (AS), Walter Cowan. Cowan diserang sakit jantung di bilik hotelnya di Madras, India pada Disember 1971, dan disahkan meninggal dunia semasa tiba di hospital.

Semasa isteri Cowan, Elsie dan beberapa rakannya tiba di hospital itu mereka terkejut melihat Sai Baba ada di situ, begitu juga Cowan yang masih hidup. Tiada siapa yang tahu bagaimana Sai Baba menghidupkan semula Cowan tetapi semasa bertemu keluarga Cowan selepas itu, Sai Baba berkata dia telah berjaya mengembalikan semula hidup Cowan.

Menariknya, selepas berjaya dihidupkan semula, penyakit buah pinggang dan kencing manis yang dihidapi Cowan turut sembuh. Kisah itu ada dicatat oleh Dr. John S. Hislop, seorang pengikut Sai Baba yang berasal dari AS, dalam buku My Baba and I yang diterbitkan pada tahun 1972.

Roh

Selain Cowan, Sai Baba juga berjaya menghidupkan kembali seorang pengikut setianya yang lain, V. Radhakrishna yang telah meninggal selama beberapa hari dengan keadaan mayatnya mula mereput.

Sai Baba juga terkenal kerana kebolehannya menyembuhkan orang sakit, mencelikkan mata yang telah buta dan membaca minda orang yang ada di sekelilingnya.

Bagaimanapun, boleh dikatakan kemampuan Sai Baba menjelmakan roh orang yang telah mati, begitu juga objek-objek lampau paling diperkatakan pengikutnya.

Ramai yang telah melihat sendiri bagaimana Sai Baba menghasilkan angin lembut daripada tapak tangannya yang seterusnya mencetuskan vibhuti (debu putih) untuk diletakkan di atas lidah dan dahi pesakit.

Namun, keupayaan kuasa ghaib itu kebanyakannya terjadi atas niat murni untuk membantu golongan yang memerlukan dan bukan untuk menunjuk-nunjuk kuasanya.

Seorang penulis, Howard Murphet yang menyiasat kuasa ajaib Sai Baba selama beberapa dekad mendapati lelaki itu mampu menjelmakan sekeping duit syiling lama AS.

"Ketika berkumpul di ruang tamu rumahnya, Sai Baba bertanyakan tahun kelahiran saya dan setelah memberitahunya, dia berjanji untuk mendapatkan sekeping syiling yang akan tertera tahun kelahiran saya.


SAI BABA turut didampingi bekas Perdana Menteri India, Atal Behari Vajpayee. Mendekati Sai Baba mampu memberi kelebihan kepada ahli politik di negara itu.


"Dia kemudian memusingkan pergelangan tangannya ke atas dan ke bawah di depan saya beberapa kali sambil menyebut bahawa syiling itu sudah ada di tangannya dan memang betul duit itu ada di tangannya," ujarnya dalam buku Man of Miracles.

Kemasyhuran Sai Baba turut dikaitkan dengan keberhasilannya menjelmakan sebuah patung emas dewa Krishna dan sebuah buku lama yang diterbitkan pada tahun 1530.

Malah jika bernasib baik, ada pengikut yang akan memperoleh debu suci daripadanya yang didakwa mampu menjelmakan roh orang yang telah mati.

Tidak mustahil juga ada antara mereka yang mendapat jam tangan atau ketulan emas yang keluar daripada mulut Sai Baba.

Sai Baba juga dikatakan boleh bertutur dalam bahasa asing yang tidak pernah dipelajarinya. Semasa pergi ke Tibet, dia bercakap dalam bahasa puak Adi manakala di Afrika, dia menggunakan bahasa Swahili.

Dengan pelbagai kuasa luar biasa itu, Sai Baba berupaya menarik berjuta-juta pengikut di seluruh dunia.

Sesetengah pihak seperti saluran televisyen BBC di Britain mendakwa keajaiban Sai Baba hanyalah satu helah silap mata termasuk debu putih yang keluar dari tangannya dan bebola emas dari mulutnya.

Dermawan

Bagaimanapun, kekaguman berjuta-juta pengikutnya bukan semata-mata disebabkan kuasa magik lelaki itu tetapi sikap dermawannya. Sai Baba telah mengubah sebuah perkampungan kecil, Puttaparthi di negeri Andra Pradesh, yang suatu ketika tidak diketahui kewujudanya oleh rakyat India sendiri kepada pusat pendidikan dan kesihatan yang terkenal di seluruh dunia.

Ramai kalangan profesional lahir dari universiti yang diasaskan oleh Sai Baba dan berjuta-juta lagi mendapat manfaat daripada yayasan yang ditubuhkannya. Kepada mereka yang telah mendapat kebaikan dengan kehadiran Sai Baba, tidak hairanlah mereka melayan lelaki itu seperti tuhan.

Kekuatan pengaruhnya turut menarik perhatian golongan terkemuka dunia, antaranya selebriti Goldie Hawn, Sarah Ferguson dan pengasas Hard Rock Cafe, Isaac Tigrett untuk mempercayai fahamannya.

Malah pada majlis sambutan hari jadinya yang terakhir, Presiden India, Pratibha Devisingh Patil bersama Perdana Menteri Manmohan Singh hadir memberi sokongan kepada Sai Baba.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: