Saturday, May 28, 2011

Penjaja haram kebal

DEGIL...peniaga terus mempamerkan barangan jualan di dalam kenderaan selepas penguat kuasa DBKL membuat serbuan.
DEGIL...peniaga terus mempamerkan barangan jualan di dalam kenderaan selepas penguat kuasa DBKL membuat serbuan.

KUALA LUMPUR: Penjaja kebal. Itulah gelaran sesuai diberikan kepada kumpulan penjaja haram di ruang siar kaki di Jalan Pasar berhampiran Pasar Pudu, di sini.

Biarpun setiap hari digempur Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mereka tetap menjalankan perniagaan di situ. Apabila penguat kuasa datang, peniaga mengemaskan barang jualan dan duduk di sisi kenderaan masing-masing menunggu sehingga penguat kuasa beredar. Sebaik penguat kuasa beredar kira-kira 10 minit kemudian, peniaga kembali memulakan aktiviti jualan mereka seperti biasa, malah semakin rancak menjelang tengah hari.


Tinjauan Harian Metro ke kawasan itu mendapati suasana riuh dengan suara penjaja yang sibuk mempromosikan barang jualan masing-masing dengan tawaran menarik.

Pelbagai barangan boleh didapati di sini termasuk perkakas elektrik buatan China, ubat tradisional, ubat ‘kuat’ lelaki yang tidak mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan, jam tangan, beg, telefon bimbit dan aksesorinya yang dijual jauh lebih murah berbanding di pasaran. Turut dijual pelbagai jenis senjata seperti pisau lipat, pemetik api, lampu suluh, teropong dan peralatan bengkel.


Lebih 40 peniaga dipercayai tidak berlesen menjaja barangan mereka di sepanjang siar kaki premis perniagaan di jalan itu. Mereka menjaja secara bergerak dalam kenderaan masing-masing selain menjalankan perniagaan secara statik iaitu membentangkan kain di atas meja di tepi jalan bagi memudahkan mereka melarikan diri ketika diserbu pihak berkuasa.


Pekerja swasta yang hanya mahu dikenali sebagai Kamarul, 35, berkata, dia kerap mengunjungi kawasan itu untuk melihat pelbagai barang yang jarang ditemui di pasaran, tetapi dijual dengan harga murah di situ.

Katanya, kawasan itu sememangnya dikenali dan menjadi pusat tumpuan orang ramai. Malah, mereka sanggup datang dari jauh untuk membeli barang yang dijual di situ. “Barangan yang dijual seperti aksesori telefon bimbit, barangan elektrik dan ubat adalah buatan China, manakala telefon bimbit dan jam tangan berjenama berkemungkinan barangan curi yang dijual semula kepada orang awam.


“Tidak salah membeli barang di sini asalkan tidak memberi kesan atau berbahaya kepada pengguna ketika menggunakannya seperti barangan elektrik yang tidak mendapat kelulusan. “Selain itu, pihak berkuasa diharap dapat memantau barangan yang dijual di situ terutamanya senjata tajam yang dipamerkan secara terbuka,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: